Oleh: mymuslimin.com
Bila membaca ulasan para pengunjung ke restoran ini, rata-rata mereka akan bercerita tentang ayam gorengnya yang sangat lazat. Restoran Al-Ehsan yang terletak di Taman Paramount, Petaling Jaya ini ialah restoran mamak yang dahulunya dibuka 24 jam tetapi masa operasinya telah ditukar kepada 2 pagi hingga 2 petang setiap hari, menurut maklumat yang kami dapat di internet.

Masuk sahaja ke restoran ini, pelanggan akan disaji dengan visual timbunan ayam goreng panas super crispy yang begitu menyelerakan.
Nasi lemak Restoran Al Ehsan dihidang bersama telur mata kerbau goreng goyang (separuh masak), sambal, kacang dan ikan bilis. Namun begitu, secarik timun pun tidak kelihatan. Nasi lemaknya berbau harum kerana ditanak bersama daun pandan dan halia. Warna nasi lemaknya juga legit, tidak terlalu putih kerana butiran nasinya disalut santan. Cuma, pada pendapat kami, halia yang diletak di dalam nasi lemaknya sedikit terlebih.

Restoran ini tidak kedekut sambal tetapi sambalnya memang manis. Lihat sahaja warnanya yang gelap kerana kuantiti gula yang banyak. Kepada yang menggemari sambal manis, anda tentu sekali akan menyukai sambal di sini.
Dan akhir sekali ialah reviu hidangan utama Restoran Al Ehsan iaitu AYAM GORENG! Antara reviu yang ditinggalkan pelanggan ialah ‘kalau dah rasa ayam di sini, KFC boleh dilupakan!’, ‘satu ketul mana cukup!’, dan selepas mencuba ayam goreng Restoran Al-Ehsan di Petaling Jaya ini, kami bersetuju dengan pendapat ramai bahawa ayam gorengnya padu!

Ayamnya rangup di luar, lembut di dalam, ditambah dengan serdak ayam yang garing, ayam goreng ini sempurna untuk dipadankan dengan nasi lemak atau dimakan begitu sahaja. Disebabkan ayam gorengnya, kami tentu sekali akan datang lagi ke Restoran Al-Ehsan di lain masa. InsyaAllah.
Restoran Al-Ehsan
17, Jalan 20/14, Taman Paramount, 47000 Petaling Jaya, Selangor
Buka – 2am – 2pm setiap hari
Leave a Reply