Oleh: mymuslimin.com
Islam itu komprehensif, holistik, syumul. Islam memberi panduan kepada manusia dalam semua aspek kehidupan termasuklah cara pemakanan. Bukankah semua ini common sense? Melihat kepada peningkatan masalah obesiti dan penyakit yang dihadapi manusia di seluruh dunia, jelas sekali manusia itu perlu bimbingan. Rujukan Al-Quran dan hadis memberikan panduan yang sangat berguna untuk manusia menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik dan bermakna.
Makanlah Yang Halal & Kawal Kuantiti
Pastikan makanan yang diambil ialah halal dan dibenarkan oleh Allah SWT. Apa sahaja yang diharamkan oleh Allah SWT kepada manusia akan membawa mudharat. Oleh itu, pilihlah yang halal dan thayyib.
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.“ (Al-Baqarah 2:172)
Kemudian, janganlah makan secara berlebihan. Panduan ini sebenarnya ringkas dan kelihatan mudah untuk dilaksanakan. Malangnya ramai manusia gagal untuk berdisiplin dalam menjaga makan kerana makan itu sedap, dan ianya melempias nafsu manusia.
“Makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Al-A’raf 7:31)
Zaman ini, kita terdedah dengan bermacam jenis makanan dan minuman yang berada di pasaran, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menjaga diri kerana tubuh kita ini diperlukan untuk beribadat kepada Allah SWT.
Tubuh yang sihat itu adalah lebih baik seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan,” (HR. Muslim)
Jagalah Perut
Makan memanglah sedap tetapi jika tidak dikawal, segala masalah kesihatan akan muncul kerana segalanya berpunca dari perut. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan.” (Riwayat ad-Dailami)
Dalam menjaga dan mengawal keadaan perut, elakkan makan terlalu banyak sebagai kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan. Apabila perut tidak dijaga dengan baik, badan akan dilanda pelbagai penyakit.
Selain daripada kuantiti makanan, Rasulullah SAW juga mengambil berat tentang tekstur makanan agar ianya tidak membebankan perut. Sebagai contoh, Rasulullah SAW akan memilih makanan bertekstur lembut jika sedang pulih dari sakit. Dalam satu riwayat dari Imam Ahmad yang maksudnya: Aisyah RA telah berkata: ‘Adalah Nabi SAW apabila diberitahu kepadaNya bahawa seorang telah sakit dan tidak memakan makanan, lalu bersabda Rasulullah SAW : “Hendaklah kamu menyediakan Talbinah dan berilah minum Talbinah itu kepadanya”’. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)
Talbinah ialah sejenis bubur lembut daripada gabungan tepung barli dan gandum yang masih ada kulitnya, kemudian dicampur dengan air atau susu dan dimasak dengan api perlahan. Untuk sedikit manis, bubur ini boleh ditambah madu.
Mengapa talbinah? Kerana teksturnya yang lembut dan ianya tidak membebankan perut serta membantu fungsi pencernaan. Makanan seperti talbinah sesuai untuk mereka yang sakit kerana pencegahan itu lebih baik daripada mengambil ubat-ubatan.
Utamakan Makanan Dari Sumber Yang Asli
Dalam zaman yang sarat dengan makanan yang diproses, Islam menyarankan agar kita mencari makanan dari sumber yang asli. Makanan segar dari sumber asli atau organik adalah lebih baik berbanding yang telah diproses.
Rasulullah SAW suka kepada makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan. Ada juga disebutkan dalam hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim, bahawa Nabi SAW bersabda tentang madu; “Berubatlah kamu dengan dua jenis ubat iaitu madu dan al-Quran.”
Selain itu, Baginda juga menggunakan madu untuk mengubati orang lain. Daripada Abu Said al-Kudri RA katanya: “Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu ia berkata, ‘Saudaraku sakit perut sehingga dia buang-buang air’, berkata Rasulullah SAW. ‘Minumlah madu lebah kepadanya’ Lalu diminumkan madu kepadanya. Kemudian dia datang balik kepada Rasulullah SAW lalu katanya ‘Telahku minumkan madu kepadanya tetapi sakitnya bertambah’, Rasulullah pula menyuruhnya meminumkan madu sebanyak tiga kali. Dia datang lagi untuk kali keempat. Nabi SAW terus menyuruhnya supaya meminum madu, Kata orang itu, ‘Aku telah menyuruhnya meminumnya Ya Rasulullah, namun sakitnya bertambah juga’. Sabda Rasulullah SAW. ‘Allah Maha Besar, perut saudaramu itulah yang dusta’. Lalu Rasulullah SAW sendiri memberi minum lelaki tersebut dengan madu, maka sembuhlah saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kawal Adab Makan dan Minum
Abu Juhaifah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Saya tidak makan sambil bersandar”… (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi) Dan Rasulullah SAW juga melarang umatnya minum sambil berdiri. : “Jangan sekali-kali kalian minum sambil berdiri; siapa yang terminum sambil berdiri dalam keadaan terlupa hendaklah dia memuntahkannya kembali” (Sahih Muslim 2026)
Selain tidak digalakkan untuk minum berdiri, kita juga tidak digalakkan untuk meneguk air yang diminum sekali gus. Daripada Anas bin Malik RA berkata yang maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum. Baginda SAW bersabda: “Itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat.” Anas berkata: Aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum.” (Riwayat Muslim 2028)
Imam al-Nawawi meletakkan hadis ini di dalam bab kemakruhan bernafas di dalam bekas dan sunat bernafas di luar bekas minuman sebanyak tiga kali. Hadis ini juga menunjukkan larangan bernafas di dalam bekas minuman. Tambahan pula hadis ini bermaksud dengan mengikuti cara Nabi SAW ini akan menyelamatkan kita daripada penyakit dahaga dan dikatakan juga terselamat daripada penyakit yang datang disebabkan meminum dengan satu nafas. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 198-199/13]
Bersyukurlah Dengan Rezeki Allah SWT
Kita juga jangan lupa mengucap syukur kepada Allah SWT dengan limpahan rezeki dari-Nya. Mulakan makan dan minum dengan membaca ‘basmalah’ dan ucaplah Alhamdulillah sebagai tanda syukur apabila telah selesai, agar kita memperoleh keberkatan Allah SWT daripada rezeki kita tersebut.
Dan akhirnya, hormatilah setiap butir rezeki yang diturunkan Allah SWT. Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Abu Hurairah RA juga meriwayatkan tentang sikap Nabi SAW ketika dihidangkan dengan makanan yang tidak disukai Baginda yang bermaksud: “Nabi SAW tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya maka Baginda akan memakannya dan jika Baginda tidak menyukainya, maka Baginda akan meninggalkannya.”
Islam memberikan banyak panduan dalam semua hal kehidupan. Sebagai orang Islam, ambil masa dan rujuklah Al-Quran, hadis dan sumber-sumber sahih untuk kehidupan yang lebih baik. Wallahu a’lam.
Rujukan:
Hukum Makan dan Minum Sambil Berdiri
Leave a Reply