Akibat Lidah, Malapetaka Menanti

Ramai Muslim terlibat dalam penyalahgunaan lidah ini, malah tanpa mereka sedari akibat daripadanya yang sememangnya jahat. Oleh itu Rasulullah SAW bersabda: “Seorang hamba berkata sesuatu yang difikirkannya tidak mudarat, dan kerana itu dia dicampakkan ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun.” (At-Tirmidhi)

Di antara penggunaan lidah yang nampak tidak membahayakan ialah, meminta-minta, memuji-muji orang lain, menyanyi, berjenaka dan berbalah. Antara ujian paling besar mengenai penyalahgunaan lidah, yang dihadapi oleh umat Islam hari ini ialah nyanyian. 

1. Meminta-Minta itu Sifat Yang Dikeji

Walaupun ia sudah menjadi kebiasaan bagi seseorang itu dengan sewenangnya meminta-minta untuk mendapat keperluan duniawi, di dalam Islam ia merupakan sesuatu yang dikeji. 

Di dalam banyak hadis Rasulullah s.a.w. dengan tegas tidak menggalakkan mengemis atau meminta- minta. Sebagai contoh Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seseorang sentiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sepotong daging pun di wajahnya” (Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Baginda bersabda: “Aku bersumpah atas tiga perkara, Tidak berkurang harta kerana sadaqah, tidak teraniaya seorang hamba dengan aniaya yang ia sabar atasnya melainkan Allah Azza Wa Jalla menambahinya kemuliaan dan tidak membuka seorang hamba pintu permintaan melainkan Allah membuka atasnya pintu kefakiran.” (Abu Ya’la, Ahmad & Al-Bazar)

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang meminta).” (Bukhari, Muslim & lain-lain)

Mengemis hanya dibolehkan dalam keadaan yang terdesak.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Meminta-minta tidaklah halal kecuali untuk tiga golongan orang fakir yang sangat sengsara (dzi faqr mudqi’), orang yang terlilit hutang (dzi ghurm mufzhi’), dan orang yang berkewajipan membayar diyat (dzi damm muuji’).” (Baihaqi dan Abu Dawud)

Baginda s.a.w. bersabda lagi: “Barangsiapa mengemis (meminta-minta) padahal dirinya tidaklah fakir, maka ia seakan-akan memakan bara api.” (At-Tabarani & Ibnu Khuzimah)

Selain daripada mengemis, orang ramai digalakkan di dalam Islam untuk bekerja keras secara jujur untuk memenuhi keperluan duniawinya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada seseorang memakan suatu makanan yang lebih baik daripada makanan hasil kerja keras tangannya sendiri….” (Al-Bukhari)

Di dalam satu lagi hadis Baginda s.a.w. menyebut: “Barangsiapa yang mengemis dalam kecukupan, ia akan ditunjukkan sesuatu dimukanya pada hari pembalasan.” (Ahmad, Al-Bazar, At-Tabarani)

2. Memuji Berlebihan

Walaupun kita tidak dilarang untuk menunjukkan penghargaan atau rasa terimakasih kepada seseorang atau hasil kerjanya, tetapi jika ia dilakukan berlebih-lebihan atau mengangkat-angkatnya adalah dilarang. Ada tujuh keburukan dalam sesuatu pujian. Empat bahayanya ada pada orang yang memuji dan tiga lagi ada pada orang yang dipuji.

Bahaya bagi orang yang memuji:

  1. Berbohong – Seseorang mungkin berlebih-lebihan dalam memuji, dan dengan itu dia mengatakan sesuatu yang tidak benar justeru terlibat dalam pembohongan.
  2. Berlakon – Seseorang mungkin memuji orang itu untuk mendapatkan sesuatu daripadanya, maka ia cuma lakonan. Walaupun dalam melakukannya, secara lahiriah jelas menampakkan dia menyayangi orang itu, tetapi di dalam hatinya dia tidak percaya pada apa yang dikatakannya. Dia cuma menunjuk-nunjuk, maka ini samalah juga dengan kemunafikan.
  3. Meneka-Neka – Dia menyatakan sesuatu perkara yang dia tidak pasti dan tentang perkara yang dia tidak mempunyai hak atau pengetahuan untuk menilai.
  4. Memuji Kezaliman – Melalui pujiannya, dia mungkin boleh membuatkan orang yang dipuji itu rasa senang, walaupun dia seorang penindas. Ini adalah Haram di dalam Islam. Penindasan atau penganiyaan yang dilakukan oleh orang ini mestilah dihalang, dan bukannya dibela. 

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tolonglah saudara mu yang menganiaya maupun yang teraniaya.” Dikatakan: “Wahai Rasulullah aku menolong yang teraniaya lalu bagaimana aku menolong yang menganiaya?” “Kamu bersabda: Beliau mencegahnya dari perbuatan aniaya, demikian itulah pertolonganmu kepadanya.” (Ahmad, Bukhari & At-Tirmidhi)

Bahaya bagi orang yang dipuji:

  1. Angkuh – Pujian boleh menimbulkan rasa angkuh dan bangga dalam dirinya. Sifat ini akan membinasakannya jika ia menguasai diri seseorang itu.
  2. Ketagih Pujian – Dia akan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian lagi, dan bukan melakukannya kerana Allah semata-mata.
  3. Berpuas Hati – Jika dia dipuji, dia mungkin berasa puas hati dengan usaha yang telah dilakukannya akan teteapi mengakibatkan keinginannya untuk bekerja dengan lebih baik lagi terhenti.

Jika pujian itu bebas daripada kejahatan yang disebut di atas, maka tidak ada buruknya dalam memuji jika ia adalah pujian ikhlas terhadap usaha baik seseorang. Ini sangat-sangat dipujikan, jika secara khususnya ia dapat menggalakkan seseorang meneruskan kerja-kerja baiknya. Dan Allah itu Maha Mengetahui. 

Sangatlah penting bagi orang yang dipuji untuk berhati-hati supaya tidak membenarkan keangkuhan, kagum pada diri sendiri, dan berpuas hati menguasai dirinya. Dia juga harus ingat bahawa dia mengetahui tentang dirinya sendiri lebih dari orang yang memujinya, dan jika rahsia dan kesalahannya yang tersembunyi terbongkar kepada orang yang memujinya sudah tentu orang itu akan berhenti daripada memujinya.

Apabila orang memuji Ali r.a., dia akan berkata: “Ya Allah,ampunilah aku atas apa yang mereka tidak ketahui dan jangan hukum aku atas apa yang mereka katakan dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan kepadaku.”

Hadis berikut ini memberi amaran kepada kita tentang bahaya pujian yang berlebihan. Abu Bakrah berkata: “Seorang laki-laki memuji laki-laki lain di sisi Nabi s.a.w. Lalu beliau bersabda: “Ah! engkau telah memotong leher teman engkau”. Perkataan ini diulangnya beberapa kali. Kemudian beliau bersabda: “Barangsiapa di antara kamu yang terpaksa memuji saudaranya, hendaklah ia berkata: “Saya kira si Anu, sepanjang dugaan saya orang itu begini atau begitu; Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.” (Al-Bukhari Vol.8 #87)

3. Menyanyi Lagu-Lagu yang Berlirik Jelik

Di antara ujian yang paling besar yang melibatkan penyalahgunaan lidah, yang dihadapi oleh umat Islam hari ini, ialah nyanyian. Ini kerana ia menghiasi kehodohan dan kelucahan pertuturan dan menjadikan ia sedap didengar oleh telinga dan diterima oleh hati manusia. 

Seterusnya cara bagaimana kemungkaran ini dialunkan melalui lagu membuatkan ia bukan sahaja diterima malah ia juga diminati. Kata-kata yang sama jika ditutur dalam perbualan biasa akan sama sekali ditolak atau dibenci. Ini jelas terbukti apabila orang dewasa dan kanak-kanak akan sama-sama menyenandungkan lagu yang mengandungi bahasa lucah, kesat, kasar dan ganas dan gambaran kedua-dua lelaki dan wanita yang tidak senonoh.

Apa yang lebih teruk ialah kata-kata yang membawa maksud syirik kadang-kadang digunakan di dalam lagu. Lagu-lagu mengindahkannya dengan cara yang boleh menampakkan ia bukan sahaja sesuai diterima tetapi juga diminati.

Aspek lain nyanyian yang ramai tidak sedar telah terlepas pandang, ialah apabila ramai ibu bapa sangat berhati-hati dalam memerhatikan rakan-rakan yang didampingi anaknya namun sebaliknya mereka tidak cukup berminat untuk mengakui akibat buruk daripada lagu-lagu yang didengari anak-anak mereka, yang mana dalam sesetengah kes ia lebih berbahaya dari pengaruh teman yang tidak baik yang dilarang oleh para ibu bapa untuk mendekati anak mereka. 

Idea-idea yang membinasakan, kepercayaan mungkar, pemikiran yang tidak senonoh ialah perkara yang telah menjadi kebiasaan, kerana melalui lagulah yang bertindak sebagai medium menyebabkan ia tersebar. Kesucian dan kehormatan seorang wanita menjadi sesuatu yang telah lapuk kerana gambaran yang jelas tentang wanita telah dinyanyikan. Justeru, sesuatu yang suatu masa dahulu sangat dilarang untuk diperkatakan atau ditonton oleh masyarakat telah sekarang ini menjadi sangat biasa malah jika tidak terlibat dengannya ia dianggap sebagai berfahaman kuno dan akan dipandang rendah.

Tidak disangkal lagi lagu merupakan salah satu alat yang paling berjaya yang telah digunakan oleh syaitan untuk memerangkap orang dewasa, remaja malah kanak-kanak juga terlibat di dalam aktiviti jahat, tidak bermoral, melalaikan dan tidak menghormati hukum-hukum Allah, begitu juga undang-undang yang dicipta manusia. 

Allah S.W.T. berfirman: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; …” (Luqman 31:6)

Ibnu Kathir, di dalam bukunya Tafsir Al-Quran, menerangkan cerita-cerita dan perkara hiburan itu merujuk kepada nyanyian. Ini berdasarkan kepada satu keterangan terhadap ayat ini oleh sahabat Rasulullah Ibnu Mas’ud r.a.

Pada hari ini, alat-alat muzik mengiringi nyanyian. Malah, sesuatu lagu bukan dikira sebagai lagu jika tidak diiringi oleh alat muzik. Di dalam Islam alat muzik adalah haram. Oleh itu lagu yang diiringi dengan muzik bertambahlah lagi haramnya. Dan Allah Maha Mengetahui.

4. Senda, Gurau dan Jenaka

Apa yang dibenci tentang senda gurau ialah ia satu amalan yang berlarutan menurut sesuka hati dan keterlaluan, dan juga mereka-reka cerita, berbohong dan menokok tambah cerita yang separuh benar (membesar-besarkan sesuatu atau menyimpang dari kebenaran), hanya untuk membuatkan orang lain ketawa. 

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah! Celakalah!” (Ahmad, Abu Dawud dan lain-lain) 

Namun begitu, jika seseorang dapat mengawal dirinya dengan hanya berjenaka perkara yang benar, tidak menyebabkan orang lain tersinggung dan tidak pula dia bekerterlaluan dengannya, maka tidaklah berdosa dengan jenaka itu dan tidaklah ia membawa kepada kemudaratan. Dan Allah lebih Mengetahui. 

Hidup ini merupakan amanah Allah maka dengan sebab itu ia harus diolah dengan serius. Rasulullah s.a.w. sendiri selalu berjenaka. Namun, baginda dapat menentukan hadnya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku bersenda gurau tetapi aku tidak mengatakan, selain yang benar.” (At-Tabarani)

Orang Muslim tidak seharusnya menurut hati di dalam perkara-perkara yang menyebabkan mereka membinasakan diri mereka. Oleh itu, mereka sepatutnya menahan diri mereka daripada terlalu seronok dalam bersenda gurau. Hadis berikut dari Rasulullah s.a.w. harus menjadi panduan kepada kita. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” (Ahmad, Tirmidhi, Baihaqi & lain-lain) 

Senda gurau yang berlarutan dan menurut hati boleh dianggap sebagai bermain dan hiburan. Manakala gurauan yang berlebih-lebihan akan membawa kepada ketawa yang terlampau, dan akan membunuh hati. 

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.” (Ahmad & Tirmidhi)

Cuba perhatikan bahawa hadis dari Rasulullah s.a.w ini bertentangan sekali dengan kata-kata yang popular bahawa “ketawa bagus untuk hati.”

5. Perbalahan dan Pertengkaran

Terlibat di dalam perbalahan dan pertengkaran yang sia-sia adalah dilarang berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. ini: “Tidak ada orang menjadi sesat selepas beriman melainkan selepas mereka melibatkan diri dengan perbalahan.” (Ahmad, Tirmidhi & Ibnu Majah)

Bilal ibnu Sa’id berkata: “Jika kamu melihat seorang lelaki yang mendesak, suka berbalah, dan ego, maka orang itu telah lengkap kekalahannya (kerugiannya).”

Ibnu Abi Laila berkata: “Aku tidak akan bertengkar dengan sesiapapun, kerana aku akan sama ada menyebabkan dia berdusta, atau aku akan menyebabkan dia marah, kerana bertengkar ialah satu bentuk bangkangan kepada percakapan orang lain dengan tujuan untuk menunjukkan kekurangan di dalamnya, sama ada dengan perkataan yang digunakannya atau makna yang dia maksudkan atau dengan niat yang dia inginkan. Oleh itu untuk menghentikan perkelahian, hentikan bangkangan, supaya setiap perkataan yang anda dengar, jika ia benar, maka terimalah ia dan jika ia merupakan pertuturan yang dusta atau tiada hubungan dengan agama, maka biarkanlah ia dengan hanya berdiam diri.”

Kenyataan di atas dari Ibnu Abi Laila tidak bertentangan dengan perintah: “dekati kebaikan dan jauhi kemungkaran” kerana ia amat sukar untuk memerintah kepada kebaikan dan melarang daripada kejahatan jika caranya ialah perbalahan.

Allah S.W.T. berfirman: “..dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;” (Al-Furqan 25:63)

Sumber: Kejahatan Lidah, terjemahan Nor Aini Ismam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: