Bumi Semakin Panas Akibat Perbuatan Manusia 

Sekarang ini dunia sedang mengalami perubahan iklim yang hebat dan kesannya dapat dirasai dengan suhu harian yang tinggi, taburan hujan yang tidak menentu, kemarau, ribut dan sebagainya. Apakah ini berlaku secara semulajadi atau ada hubungkaitnya dengan sikap manusia? Sebagai orang Islam kita perlu sedar akan tanggungjawab kita untuk menjaga bumi yang Allah SWT kurniakan sebagai tempat tinggal kita. 

Alam sekitar merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan manusia malah ia berhubung kait dengan semua makhluk ciptaan Allah SWT. Sekalian makhluk atas muka bumi ini memerlukan alam sebagai tempat untuk meneruskan kehidupan dan mendapatkan makanan. 

Keselesaan hidup manusia bergantung kepada tahap kualiti alam sekitar di sekeliling mereka. Sebagai contoh, udara yang bersih diperlukan untuk pernafasan haiwan dan tumbuhan. Sebarang kesan buruk daripada persekitaran akan menjejaskan pula hidupan lain. 

Oleh yang demikian, penjagaan alam sekitar perlu diberi penekanan yang lebih agar kehidupan harian manusia tidak terganggu atau terjejas atas sebab pencemaran dan kerosakan alam sekitar.

Penjagaan alam sekitar dititik beratkan dalam Islam. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyeru manusia untuk menjaga alam sekitar. Walaupun tiada ayat al-Quran yang menyebut secara khusus berkenaan cara dan kaedah penjagaan alam sekitar namun terdapat banyak juga ayat al-Quran yang menerangkan secara umum gesaan memakmurkan alam. 

Antaranya termasuklah firman Allah SWT yang bermaksud: 

Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka iaitu Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah daripada perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya.” (Hud 11:61)

Imam al-Qurtubi ada menukilkan tafsiran Ibn al-‘Arabi terhadap ayat ini, beliau menyatakan bahawa sebahagian ulama mazhab Syafie meletakkan tuntutan memakmurkan bumi sebagai suatu kewajipan daripada Allah SWT[4].

Bukan itu sahaja, tuntutan menjaga alam ini juga boleh dilihat melalui larangan Allah SWT ke atas sekalian manusia daripada melakukan kerosakan ke atas muka bumi. Allah SWT berfirman yang maksudnya:Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” (Al-A‘raf  7:56)

Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya: Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas 28:77)

Apa sahaja bentuk kerosakan di atas muka bumi, ia termasuk dalam perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan dibenci oleh-Nya. Tambahan pula, kita sebagai individu Muslim sudah semestinya wajib mentaati arahan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ancaman Buat Para Pemusnah Alam Sekitar

Selain daripada tuntutan memakmurkan bumi, al-Quran juga banyak menyentuh berkenaan kerosakan dan pencemaran alam yang berlaku dikaitkan dengan tingkah dan perbuatan manusia. 

Firman Allah SWT yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Al-Rum 30:41)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menafsirkan ayat ini bahawa ujian dan bencana yang melanda umat manusia adalah disebabkan perbuatan manusia yang bersikap kufur, syirik, melampaui batas, melakukan maksiat, meninggalkan perintah-Nya di samping melanggar hak dan juga mengambil hak orang lain[5].

Perbuatan-perbuatan seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa buangan termasuk bahan kimia secara terus ke dalam laut dan sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan secara berleluasa, menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak terkawal, melakukan pembakaran secara terbuka dan pelbagai lagi merupakan beberapa contoh bentuk melampaui batas dan juga pengambilan hak orang lain sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis ini.

Aktiviti seumpama ini telah menjadi suatu tabiat dalam kalangan rakyat Malaysia seterusnya memberikan kesan jangka masa panjang kepada alam sekitar. Maka, dengan sebab itulah berlakunya peningkatan suhu bumi, pencemaran sumber air, pencemaran udara, banjir besar, tanah runtuh, pembakaran hutan, kepupusan flora dan fauna dan perubahan cuaca tidak menentu yang pastinya menjejaskan kehidupan manusia sejagat. Jelas di sini bahawa pelbagai bentuk bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia ini adalah disebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia itu sendiri.

Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama

Sesungguhnya hubungan manusia dan alam sekitar sememangnya rapat, malah kedua-duanya saling memerlukan. Sekiranya satu musnah, maka sengsaralah pihak yang satu lagi. Oleh kerana itulah, manusia diberikan tanggungjawab untuk menjaga kemakmuran muka bumi dan menjaganya mengikut ajaran yang dibawa Islam. Dalam sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Baginda bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya dunia ini manis lagi menghijau dan sesungguhnya Allah SWT menyerahkan urusan dunia ini kepada kamu semua. Lalu Dia akan melihat bagaimana kamu melakukannya. Berhati-hatilah dengan dunia dan juga wanita. Sesungguhnya ujian pertama yang berlaku ke atas Bani Israel adalah berkaitan wanita.” (Riwayat Muslim 2742)

Syeikh Fuad ‘Abd al-Baqi mengulas berkenaan hadis ini, beliau menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan umat manusia sebagai khalifah atau pentadbir atas muka bumi ini, dan Dia juga memerhatikan umat-Nya adakah mereka mentadbirnya mengikut arahan-Nya atau dengan kemaksiatan terhadap-Nya[6]

Bertitik tolak daripada keperluan menjaga alam sekitar daripada segala sifat rakus dan tamak manusia atau sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mencemari bumi Malaysia dengan melakukan kerosakan atau pelbagai lagi bentuk kemudaratan, maka perlunya wujud kebersamaan dan kerjasama semua pihak dalam usaha menanganinya dan melaksanakannya. 

Seterusnya, apabila alam dapat dijaga dengan baik, maka secara tidak langsung masyarakat bersama-sama melaksanakan perintah Allah SWT dengan sebaiknya iaitu menjaga alam dan memakmurkan bumi, malah persekitaran yang baik juga dapat membantu masyarakat Muslim menjaga Maqasid Syariah yang lima iaitu tuntutan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta[7].

Kesimpulannya, kita sangat perlu bersama-sama menyambut baik apa sahaja usaha untuk menjaga alam sekitar dengan turut serta menjalankan kewajipan sebagai seorang individu Muslim dan juga rakyat di bumi Malaysia ini dengan menjaga alam persekitaran daripada sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan dan berbagai lagi anasir yang tidak baik.

Usaha ini termasuk dalam amal kebajikan terhadap agama kita yang diterima Allah seterusnya dapat meraih pahala di akhirat kelak.

Wallahu A‘lam.

Artikel Asal: Penjagaan Alam Sekitar Dalam Agama Islam

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: