Komunikasi Positif Membuahkan Cinta

Oleh: Ida Natasha

Ramai yang akan menuding jari kepada wanita apabila kita berbicara tentang mulut tiada insuran. Memanglah wanita itu jiwanya lebih lembut berbanding lelaki, mudah tersinggung, mudah terasa. Namun hakikatnya, mulut yang tidak dipasang penapis ini merbahaya kerana ianya mampu membinasakan perhubungan, tidak kiralah jantina mana, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berumahtangga, berhati-hatilah dengan kehadiran ‘mulut lepas’ ini di dalam diri masing-masing.

Jangan sering menuduh pasangan dengan penggunaan perkataan-perkataan am seperti ‘tak pernah’, ‘selalu’, ‘memang’, untuk mengkritik atau menegur pasangan. Jangan kerana sakit hati akibat tidak memperoleh sesuatu yang dihajatkan, kita mula menggunakan bait-bait seperti “Awak memang tak pernah kisah tentang saya!” atau “Awak memang tak pernah buat apa-apa untuk saya!”. 

Tidak kiralah sama ada ayat tadi bukan fakta, hati yang mendengar akan berdarah kerana dituduh seteruk itu. 

Jangan sebut, “Awak memang selalu perangai macam ni.” “Awak selalu tak endah apa yang saya suruh.” Dan apabila perasaan marah semakin memuncak, terkeluar pula tuduhan-tuduhan liar seperti “Awak memang tak sayang saya!” atau “Awak memang tak hiraukan saya!” 

Dalam mengekalkan perhubungan yang sihat, elakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan umum yang tiada asas sebegini. Tidak adil untuk pasangan. 

Sebaliknya, gunakan perkataan-perkataan yang positif dan sekiranya anda ingin menekankan tentang sesuatu topik, fokus tentang topik itu sahaja. Contohnya, “Tadi awak tak contact saya pun di pejabat. Rindu.” berbanding “Awak bukan pernah kisah pasal saya pun, sehari tak contact pun tak apa!”.

Dalam menguruskan rumahtangga misalnya, “Awak terlupa ke beli barang yang saya kirim tadi?” adalah lebih baik daripada “Awak ni tak pernah ingat kalau saya suruh buat apa-apa,” atau “Awak terlupa ke yang saya suruh tadi?” adalah lebih baik daripada “Apa-apa asyik saya! Tolong sikit pun tak boleh!”

Satu lagi yang perlu dielakkan ialah menuduh perkara yang belum terjadi. Contohnya, apabila melihat pasangan berpakaian bergaya kerana dia ada majlis mustahak di tempat kerja, anda terus mengeluarkan komen, “Nak pergi jumpa siapa la tu hari ini?” dengan nada negatif. Berburuk sangka di pagi hari akan mengeruhkan sepanjang hari anda dengan prasangka. 

Daripada menyindir, lebih baik memulakan pagi dengan “Cantiknya isteri abang, jangan lupa jaga diri baik-baik di pejabat.” atau “Handsome suami saya, teruja tengok.” Bukan sahaja dia akan gembira, anda juga akan dapat perasaan positif itu.

Kalau pasangan terpaksa balik lambat sikit dan telefon anda untuk memberitahu, janganlah dijawab dengan nada yang teruk walaupun anda sedikit kecewa. Adalah lebih baik kalau dijawab begini “Ye ke? Kesian awak kerja kuat. Lepas kerja terus balik ye. Saya rindulah.”

Siapa yang tak nak bergegas balik berjumpa keluarga selepas seharian bekerja? Tuduhan sembrono tidak mendatangkan kebaikan kepada perhubungan. Sesiapa pun tidak suka dituduh yang bukan-bukan.

Kesimpulannya, apabila berbicara, gunakan perkataan yang baik-baik. Daripada menghantar Whatsapp “Awak tak ingat saya ke?” adalah lebih baik menghantar “Saya rindu awaklah.” 

Perkataan yang baik-baik akan menghasilkan reaksi yang baik-baik. Jangan impikan perhubungan romantis apabila perkataan yang sering digunakan bagaikan sudah bersedia untuk bersengketa. 

Mulakan hari baru kita semua dengan azam untuk menjaga tutur kata dalam perhubungan agar ikatan lebih mesra dan berpanjangan.

Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.”(HR Al-Tirmidzi)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: