“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, – Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, – Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” (Al-Fiil 105: 1-5)
Ada yang mengatakan bahawa orang yang pertama kali menjinakkan gajah adalah Afridun bin Atsyfiyan, demikian yang dikatakan oleh Ath-Thabari. Selain menjinakkan gajah, dia juga orang yang pertama kali memasang pelana pada kuda. Adapun orang yang pertama kali menundukkan kuda dan menungganginya adalah Thuhmurats, dia adalah raja yang ketiga dari raja-raja penguasa dunia.
Ada juga yang berpendapat, “Orang yang pertama kali menunggang kuda adalah Ismail bin Ibrahim AS. Ada kemungkinan bahawa Ismail adalah orang yang pertama kali menunggang kuda dari kalangan bangsa Arab.” Wallahu a’lam.
Dikatakan, “Gajah dengan tubuhnya yang besar itu, teramat takut dengan kucing. Sewaktu memerangi orang-orang India, beberapa panglima perang gunakan taktik dengan membawa masuk kucing ke medan pertempuran, maka gajah pun lari bertempiaran (kerananya).“
Ibnu Ishaq berkata, “Kemudian, Abrahah membina gereja Al-Qullais di Shan’a. Dia membina sebuah gereja yang megah yang tidak pernah wujud pada masa itu. Abrahah lantas menulis surat kepada An-Najasyi, ‘Sesungguhnya, Aku telah membina sebuah gereja yang megah untuk kamu yang belum pernah dibina untuk raja kamu sebelum ini. Dan aku tidak akan berhenti membina gereja sehingga aku berjaya mengalihkan haji orang Arab kepadanya.”“
Seorang lelaki dari Kinanah keluar dari negerinya dengan tujuan menghina gereja Al-Qullais, lantas dia buang hajat di dalamnya, kemudian pulang ke negerinya.
Mengetahui akan kejadian itu, Abrahah menjadi marah dan bersumpah bahawa dia akan pergi ke Baitullah di Mekah untuk menghancurkannya.
Dalam perjalanannya ke Kaabah, beberapa puak Arab cuba menghalang langkahnya, tetapi usaha Abrahah mudah dipatahkan malah ketua mereka, Nufail bin Habib, telah ditangkap.
Abu Righal adalah orang yang bertindak sebagai penunjuk jalan kepada Abrahah dan pasukannya ke Makkah. Apabila mereka tiba di Al-Mughamas, Abu Righal meninggal dunia di sana. Kemudian, kuburnya dilempari batu oleh orang Arab. Sehingga sekarang kubur ini dilontar dengan batu oleh orang Arab di Al-Mughamas. Abu Righal berasal dari kaum Thamud. Berdasarkan rekod yang dikumpul dari pelbagai sumber, ternyata Abu Righal adalah serupa dengan nama moyangnya, kuburnya juga dilontar orang ketika orang melontar kubur Abu Righal junior. Wallahu a’lam.
Jarir berkata: “Apabila Farazdaq mati, lemparilah ia sebagaimana kalian melempari kuburan Abu Righal.”
Kemudian, Allah mengirim untuk Abrahah dan pasukannya burung-burung seperti burung layang-layang dari arah laut. Setiap burung membawa tiga biji batu. Batu-batu itu menyerupai kacang humus dan adas. Namun, tidak semua tentera Abrahah terkena batu-batu tersebut. Mereka berlari lintang-pukang, berebut-rebut mencari jalan keluar, dan mencari Nufail untuk menunjukkan jalan ke Yaman. Melihat kejadian itu, Nufail bersyair:
“Engkau tidak dimuliakan kerana kami wahai Rudainah.
Kita semua telah menikmati pagi bersama-sama Rudainah;
Andai engkau melihat, sayang engkau tidak melihatnya.
Apa yang kami lihat di sebelah Al-Muhashshab,
Nescaya kamu akan memahamiku dan memuji perbuatanku.
Serta engkau tidak bersedih atas apa yang hilang dari kami.
Aku memuji Allah ketika aku melihat burung,
dan aku khuatir bebatuan dilemparkan ke arah kami,
Semua bala tentera bertanya tentang Nufail,
seolah-olah aku memikul hutang untuk bangsa Habsyah.”
Menurut pendapat yang masyhur, pada tahun inilah Rasulullah SAW dilahirkan. Kemudian sang raja kembali ke Yaman di bawah kekuasaan Saif bin Dzu Yazin.
Sumber: Ringkasan al-Bidayah Wan Nihayah, Syaikh Ahmad Khani
Leave a Reply