Oleh: Norana Johar
Kebelakangan ini pelbagai wacana tercetus tentang kemajuan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengganggu gugat peluang pekerjaan yang melibatkan sumber manusia. Ketika automasi telah melenyapkan kerja-kerja pembuatan dan pengeluaran di kilang-kilang dan di pejabat, kegusaran tentang kewujudan AI di tempat kerja ada asasnya.
Pengenalan ChatGPT kepada dunia baru-baru ini juga menggusarkan ramai tenaga kerja apabila program ini dilihat mampu mengambil alih tugasan manusia seperti menjawab soalan dengan maklumat tepat, membantu dalam tugasan yang melibatkan bahasa termasuk mengarang e-mel, esei, surat, kod dan sebagainya.
Adakah perkembangan terbaru ini akan mengurangkan kebergantungan syarikat kepada kemahiran manusia dan membuatkan ramai kehilangan pekerjaan?
Penggunaan kecerdasan buatan ataupun AI ini bukanlah baru. Penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini sudah dijalankan melebihi dua dekad dan pengunaannya telah membantu perniagaan dalam pelbagai aspek. Semenjak tahun 2000 lagi, robot dan sistem automasi telah perlahan-lahan menghapuskan sejumlah lebih 1.7 juta pekerjaan dari sektor pembuatan. Namun begitu, dengan adanya AI, dunia juga dijangka akan mencipta berjuta pekerjaan baharu menjelang 2025 untuk melengkapi AI dan mewujudkan keberkesanan keseluruhan ekosistem baharu perniagaan ini.
Tidak dinafikan bahawa sesetengah pekerjaan lebih terkesan dengan kemunculan AI berbanding yang lain terutamanya pekerjaan yang mempunyai proses berulang-ulang atau pekerjaan yang berdasarkan arahan atau peraturan yang khusus. Jika seorang pekerja boleh menghasilkan bilangan x dalam masa y, automasi yang dipacu AI dalam proses yang sama dilihat lebih jauh berkesan. Ditambah lagi bila berjenis aplikasi dibangunkan untuk memudahkan tugasan-tugasan ini seperti Canva untuk mereka grafik, Grammarly untuk menyemak tatabahasa Inggeris dan sebagainya.
Namun, apabila ChatGPT, mula diperkenalkan, AI melangkah setapak lagi dalam mengurangkan fungsi manusia di dalam bidang pekerjaan. Chat GPT merupakan model pembelajaran mesin atau sistem yang menggunakan kaedah pembelajaran mendalam bagi menjana teks di alam maya serupa seperti pemikiran manusia dalam masa nyata.
Di antara pekerjaan yang digugat oleh ChatGPT ialah pekerjaan berkaitan media termasuklah dalam pengiklanan, pemasaran, penulisan teknikal, kewartawanan, pereka grafik, dan sebarang peranan yang melibatkan penciptaan kandungan dan banyak lagi. Walaupun ChatGPT atau model yang serupa dengannya masih belum boleh menandingi daya kreativiti insan, ia sudah digunapakai secara meluas sebagai pemangkin untuk mencetus idea serta membantu penciptaan konten yang mudah dan berulang.
Persoalannya, adakah AI sudah cemerlang sehingga mampu menggantikan sumber manusia secara total? Adakah AI mampu mengambil alih tugasan yang memerlukan sentuhan insan? Jawapannya tentu sekali belum lagi kerana banyak jenis pekerjaan yang memerlukan kebolehsuaian dan fleksibiliti yang masih tidak mampu dicapai teknologi.
Manusia secara semula jadinya mempunyai kemahiran dalam penyelesaian masalah dan pemikiran abstrak yang diperlukan di dalam pekerjaan. Penilaian dan keputusan manusia itu tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada AI semata-mata untuk memperoleh hasil yang berkesan.
Hakikatnya, banyak lagi pekerjaan yang tidak boleh diganti oleh AI walaupun AI boleh membantu pekerjaan dalam beberapa aspek. Setakat ini, AI belum mampu mengganti fungsi manusia dalam sudut kreatif, dalam kerja-kerja yang memerlukan empati serta tugasan yang memerlukan keputusan strategik.
Cara terbaik untuk memajukan sumber manusia selari teknologi semasa ialah dengan tidak melihat AI sebagai pesaing. Sebaliknya, gunakanlah AI untuk menambah nilai kepada diri dan kerjaya. AI bukanlah program yang tiba-tiba sahaja pintar. AI memerlukan latihan yang lama dan berterusan untuk data, penyelenggaraan, pengurusan anomali, dan pantauan. Tanpa penglibatan manusia dalam pembangunan AI, ianya tidak akan berkembang mekar dan berkemungkinan menjadi kacau bilau. Kewujudan AI memerlukan kepakaran dan penglibatan manusia secara langsung dan oleh itu, tentu sekali pekerjaan-pekerjaan baru akan tercipta.
Untuk kekal relevan di dalam dunia yang dipacu AI, selain kemahiran yang diperlukan dalam bidang asas matematik, komunikasi lisan dan tulisan, kreatif, pengurusan manusia, serta kecerdasan emosi, pekerja juga perlu mengasah keupayaan pemikiran kritikal serta penyelesaian masalah ke tahap yang lebih cemerlang.
Penulis: Mempunyai Ijazah Psikologi Sains dari Indiana University, Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat selama lebih 2 dekad menerajui bahagian penjualan, pemasaran dan operasi produk automasi masa antarabangsa, dan telah berurusan dengan ramai kakitangan yang mengalami cabaran demi cabaran dalam kerjaya.
Leave a Reply