Mengupas Kulit Manusia 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 56 yang maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa 4:56)

Allah SWT telah memberikan peringatan dan ancaman kepada golongan kuffar dengan azab api neraka sekiranya mereka tetap degil dan terus berada dalam kekufuran dan engkar kepada Allah SWT. Golongan yang engkar terhadap Allah dan engkar terhadap ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT berhak menerima azab yang berpanjangan di dalam neraka. Bahkan kesakitan yang dialami oleh penghuni neraka juga akan berterusan tanpa henti.

Allah SWT menceritakan keadaan di neraka itu. Salah satu dari azab di neraka adalah akan dibakar dengan api neraka. Tentunya apabila kena bakar, dengan kepanasan yang entah berapa ribu juta darjah celcius, kulit mereka akan terbakar.

Akan tetapi, Allah SWT beritahu dalam ayat ini, setiap kali kulit mereka terbakar, Allah SWT akan ganti tukar dengan kulit yang lain, dan penukaran kulit ini bukan macam di dunia dimana mengambil masa yang lama. Allah SWT boleh tukar dengan sekelip mata sahaja. Kenapa begini? Tujuan kulit mereka diganti dengan kulit yang baru adalah untuk terus merasakan azab kepada mereka. mereka akan dikenakan dengan azab itu berterusan. Kalau kulit Azab itu bukan nak sekejap sahaja dirasakan kepada mereka tetapi sudah tiada, tidak ada rasa sakit lagi.

Hal ini disebabkan kulit penghuni neraka akan sentiasa ditukar baru bagi mengekalkan azab dan kesakitan kepada mereka. Allah SWT telah menceritakan mengenai cara penghuni neraka itu diazab. Apabila kulit tubuh mereka hangus terbakar, kulit yang baru akan tumbuh dan tubuhnya dibakar lagi sehingga hangus. Kemudian tumbuh lagi kulit yang baru dan dibakar lagi, dan begitulah seterusnya mereka diseksa berulang-ulang dengan penuh kesakitan. Perlu diingat bahawa penghuni neraka tidak akan mati kerana azab siksaan yang berterusan. Segalanya untuk merasai kesakitan dan kepedihan yang berterusan.

Persoalannya ialah apakah kaitan ditukar kulit yang baru kepada penghuni neraka dengan kesakitan berpanjangan yang akan dirasai oleh mereka? Di sinilah hebatnya al-Quran dalam mengungkapkan sesuatu. Setiap ungkapan al-Quran sekiranya dikaji akan dapat dirasai rahsia mukjizat yang terdapat di dalamnya.

Isu Saintifik

Kulit merupakan organ homeostasis yang penting. Ia merupakan organ manusia yang paling besar yang memiliki berat sekitar enam paun. Kulit bertindak sebagai rintangan di antara persekitaran luar dan dalam badan iaitu sebagai pemisah. Kulit berperanan melindungi otot dan organ manusia.

Permukaan kulit mengandung saraf-saraf yang memiliki bentuk dan fungsi yang berbeza-beza. Hujung saraf tersebut iaitu sebagai berikut:

  1. Paccini – Hujung saraf pada kulit yang peka terhadap rangsangan berupa tekanan atau saraf perasa tekanan kuat letaknya di sekitar akar rambut
  2. Ruffini – Hujung saraf pada kulit yang peka terhadap rangsangan panas. 
  3. Meisner – Hujung saraf perasa pada kulit yang peka terhadap sentuhan.
  4. Krause – Hujung saraf perasa pada kulit yang peka terhadap rangsangan sejuk.
  5. Lempeng Merkel – Hujung perasa sentuhan dan tekanan ringan, terletak dekat permukaan kulit.
  6. Hujung saraf tanpa selaput – Hujung saraf perasa sakit.

Jika dilihat di bawah mikroskop, kulit terdiri daripada dua lapisan iaitu lapisan epidermis dan lapisan dermis.

Lapisan Epidermis adalah lapisan luar yang terus berganti, tipis dan tidak mempunyai pembuluh darah ataupun sel saraf. Lapisan dermis terletak di bawah epidermis terdiri atas sel-sel yang longgar dengan letak yang berjauhan, serta banyak mengandungi pembuluh darah. Pada bahagian kulit terdapat reseptor khusus untuk dapat membezakan sentuhan, tekanan, suhu (panas dan sejuk), serta rasa sakit. Sebahagian besar reseptor terletak pada lapisan dermis dan ada juga yang terletak pada lapisan epidermis. Pada hujung saraf tersebut ada yang terbungkus kapsul jaringan ikat (disebut korpuskel) dan ada yang tidak terbungkus (disebut hujung-hujung saraf bebas).

Sehubungan itu, kesakitan akan dirasai oleh kulit yang terdapat pada tubuh badan manusia apabila ia dibakar kerana deria atau saraf sakit yang terdapat pada kulit itu akan mengesannya. Namun, apabila kulit tersebut dibakar dalam tempoh yang lama, maka deria  atau saraf tersebut akan mati, seterusnya rasa sakit itu pun akan hilang. Maka disinilah hikmahnya Allah SWT menggantikan dengan kulit yang baharu bagi penghuni neraka agar kesakitan itu tidak terhenti setelah dibakar pada kali pertama, bahkan kesakitan itu akan terus berpanjangan dengan wujudnya kulit baharu yang mempunyai deria dan saraf yang baharu.

Seorang pengkaji telah memeluk Islam apabila kajian yang dibuatnya itu sudah diterangkan maklumatnya di dalam al-Quran! 

Kajian yang telah dibuat oleh beliau ialah tentang kulit manusia yang tidak akan merasai sakit apabila dibakar berulang-kali. Beliau amat terpegun apabila mendapati bahawa al-Quran telah sekian lama membicarakan perkara tersebut melalui ayat 56 Surah al-Nisa’ seperti yang dinyatakan di atas.

Dalam ayat ini, dengan jelas Allah menyatakan bahawa kulit penghuni neraka yang hangus terbakar akan digantikan dengan kulit baru yang lain. Ia bertujuan agar penghuni neraka tersebut akan terus merasai sakit dan peritnya api neraka. Apabila menghayati ayat ini, lantas tanpa ragu-ragu lagi beliau terus memeluk agama Islam yang suci murni ini.

Petikan daripada Mukjizat Bahasa & Sains Al-Quran oleh Mohd Sukki Othman

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: