Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan, kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya Islam sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Bahkan Allah SWT mengiktiraf kedudukan orang yang berilmu, sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang dibacakan tadi, yang bermaksud:
“…Allah meninggikan kedudukan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Al-Mujadalah 58:11)
Ayat tersebut jelas menunjukkan Allah SWT mengangkat tinggi nilai-nilai keilmuan dan yang berkaitan dengannya, termasuklah orang yang menyampaikan ilmu dan penuntut ilmu. Ini menunjukkan martabat guru sangat tinggi dan mulia. Imam at-Tirmizi meriwayatkan hadis, daripada Abu Umamah al-Bahili Radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Guru mempunyai peranan yang sangat penting untuk mendepani cabaran pendidikan masa kini. Mereka bertanggungjawab melahirkan generasi anak-anak muda yang berjiwa besar, di dalam dadanya tersemat semangat patriotik yang tinggi, berilmu dan memiliki jati diri yang kukuh untuk menongkah kehidupan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Guru juga berperanan menyediakan pengajaran yang bermakna, membimbing dan mentarbiyah anak-anak kita sehingga mencapai matlamat pendidikan dan karamah insaniah melalui pembudayaan ilmu dalam hidup mereka.
Melihat kepada kepentingan pendidikan yang menyeluruh dalam pembelajaran akademik dan Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut mempunyai peranan melalui penubuhan institusi pendidikan. Di bawah JAWI, terdapat sebanyak 5 buah Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) dan 72 buah Sekolah Rendah Agama JAWI bagi peringkat pengajian sekolah rendah dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). Bagi pendidikan di peringkat awal kanak-kanak, MAIWP telah menubuhkan Tadika Permata MAIWP, manakala di peringkat sekolah menengah pula MAIWP juga telah menubuhkan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP) dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (SMISTA MAIWP).
Institusi-institusi pendidikan tersebut telah memberi peluang kepada khususnya anak-anak di negeri ini untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik.
Kerjaya sebagai guru merupakan pekerjaan yang mulia. Mereka bukan sahaja berilmu dan menyampaikan ilmu, malah mereka juga adalah muallim (yang memberi ilmu), mudarris (yang mengajar), muaddib (yang mendidik adab), murabbi (yang melatih) dan mursyid (yang membimbing) dalam usaha membentuk akhlak dan membina kecemerlangan para pelajar.
Sedarlah siapa pun kita pada hari ini, di mana pun kedudukan kita, semuanya adalah hasil daripada jasa dan pengorbanan para guru.
Sesuai dengan nilai dan falsafah pendidikan, maka hari ini, peranan guru adalah sangat besar dan mencabar untuk melahirkan pelajar yang cemerlang ilmu dan adab. Untuk itu guru perlu memberi komitmen yang terbaik sekaligus merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dan sekali gus mewujudkan suasana “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Ilmu tanpa adab dan akhlak akan membawa kerosakan. Adab dalam menuntut ilmu sangat dititik beratkan untuk mendapat keberkatan. Para sahabat Nabi SAW merupakan golongan yang sangat memuliakan guru mereka iaitu Rasulullah SAW, mereka amat menjaga kelakuan dan tuturkata ketika bersama dengan guru mereka. Urwah bin Mas’ud Radiallahuanhu menyatakan yang bermaksud: “…Apabila Baginda SAW bersabda, (para sahabat) akan merendahkan suara mereka di sisi baginda, mereka tidak menajamkan penglihatan kepada Baginda sebagai tanda hormat kepadanya…”
Imam an-Nawawi juga ada menyatakan di dalam kitab al-Majmu’: “Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat daripadanya, dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang didengari daripada guru tersebut.”
Justeru, jelaslah kepada kita bahawa adab ketika menuntut ilmu sangatlah penting bagi mewujudkan hubungan yang harmoni antara guru dan murid. Nilai ini sudah tentu dapat melahirkan generasi pelajar yang beretika dan bersahsiah tinggi untuk mendepani keperluan semasa dan cabaran akan datang bagi melahirkan insan cemerlang.
Dewasa ini cabaran sebagai seorang pendidik bukan hanya berhadapan dengan karenah murid-murid di sekolah sahaja. Hilangnya hormat dan nilai adab kepada seorang guru telah menjadi perkara biasa yang dibimbangi semakin menghakis jati diri dan peribadi anak-anak kita.
Jika nilai hormat kepada guru kian pudar, kita bimbang hilangnya keberkatan dalam menuntut ilmu. Justeru sidang jumaat sekalian, marilah kita saling berganding bahu dengan menerapkan nilai-nilai adab dalam diri anak-anak kita sejak dari usia kecil.
Sedarlah bahawa, Islam mengajar kita untuk menghormati dan menghargai guru yang mencurahkan ilmu kepada kita agar dengan ilmu tersebut kehidupan kita akan sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Adab dan ilmu menjadi teras kepada pembinaan generasi madani.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Allah SWT mengangkat tinggi nilai-nilai keilmuan dan yang berkaitan dengannya, termasuklah orang yang menyampaikan ilmu dan para penuntut ilmu.
Kedua: Berilah sokongan dan dorongan yang padu kepada para guru yang telah berjasa memberikan didikan tanpa pernah rasa lelah bagi memastikan anak-anak kita menjadi generasi yang berilmu dan berjaya dalam kehidupan.
Ketiga: Didiklah anak-anak kita agar menghormati dan menghargai para guru supaya mereka mendapat keberkatan bukan sekadar untuk kejayaan di dunia tetapi berterusan hingga ke akhirat kelak.
Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah az-Zumar, ayat 9 bermaksud: “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya), Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Az-Zumar 39:9)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengambil keberkatan di bulan Syawal ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan rakan strategik akan menganjurkan majlis “Aidilfitri Malaysia MADANI@Dataran Merdeka” pada hari Sabtu, 13 Mei 2023 bermula jam 10 pagi hingga 12 tengahari di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sememangnya penganjuran majlis ini mempunyai pelbagai manfaat dengan membawa pendekatan dakwah bil hal di tengah-tengah bandar raya dengan mempromosikan masjid dan surau sebagai pusat penyatuan ummah.
Penganjuran program ini juga dapat memupuk persaudaraan dalam kalangan masyarakat, membentuk semangat kerjasama dalam kalangan Jawatankuasa Kariah dan mencetuskan perasaan prihatin terhadap masyarakat yang kurang berkemampuan untuk merasai pelbagai juadah yang disediakan di samping mempromosikan keunikan makanan-makanan Malaysia kepada para pelancong dari dalam dan luar negara.
Marilah kita mengambil peluang untuk hadir bersama dengan ahli keluarga dan rakan taulan bagi memeriahkan lagi majlis ini selaras dengan adat dan tradisi masyarakat Islam di negara ini yang sangat menggalakkan amalan kunjung mengunjung dan beramah mesra dengan kaum keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga demi menjalinkan dan mengeratkan persaudaraan di bulan Syawal yang mulia ini.

Tarikh Dibaca: 21 Syawal 1444H/12 Mei 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply