Oleh: Mymuslimin.com
Setelah bertahun lama bekerja di tempat kerja yang sama, kehidupan akan terasa terjamin dan selesa. Tiada tercetus keinginan untuk berpindah atau mencari peluang baru di luar sana. Perasaan selesa di dalam pekerjaan ini tidak akan mendorong seseorang untuk melakukan perubahan atau menghasilkan kelainan dalam kerjaya.
Kesannya, pembangunan insan terencat dan kurang pembaharuan dibawa ke dalam kerjaya yang akan menyebabkan nilai pekerja mendatar di pasaran kerana tiada kemahiran baru atau unik untuk ditawarkan. Namun begitu, selagi tiada distruption atau gangguan yang muncul di dalam kerjaya, mungkin seseorang tidak perlu risaukan tentang zon selesa. Tetapi, apabila distruption berlaku, adakah mereka yang berada di dalam zon selesa bersedia menghadapinya? Contohnya, apabila syarikat memerlukan kemahiran baharu dan pekerja sedia ada tidak mampu memenuhinya.
Apakah zon selesa? Zon selesa ialah keadaan psikologi di mana seseorang berasa selesa di dalam sesuatu jawatan kerana kemahirannya tidak diuji, dia sentiasa berada di dalam persekitaran dan kemahiran yang dia tahu, tiada pengalaman atau cabaran baharu yang perlu ditangani, dan semua ini membuatkan dia merasakan bahawa semuanya berada di dalam kawalan dan tiada apa yang perlu dirisaukan.
Pekerja yang kekal di dalam zon selesa ini selalunya mereka yang tidak gemarkan dan tidak pandai menguruskan tekanan atau ketidaktentuan. Apa sahaja yang berada di luar zon selesa, merimaskan bagi mereka. Lantas, lebih mudah untuk kekal di dalam zon selesa dan sekiranya tiada apa yang mendesak, mereka tidak perlu meninggalkan zon ini.
Pemikiran sebegini agak bahaya kerana teknologi dan kehendak syarikat sering berubah seiring perubahan zaman. Di antara kesetiaan pekerja dan strategi serta perancangan masa depan, syarikat tentu sekali akan memilih kelangsungan perniagaannya. Oleh itu seperti kata mutiara Albert Enstein, ‘The measure of intelligence is the ability to change’ oleh itu mereka yang bijak sedar bahawa perubahan itu perlu. Zon selesa tidak akan menjadi pemangkin kepada perubahan dan jika kita tidak berubah, kitalah yang akan diubah.
Persoalannya, mengapa sukar sekali meninggalkan zon selesa ini?
Ini berlaku kerana di dalam persekitaran yang biasa, anda tahu mengawalnya. Selesa dengan laluan ke tempat kerja, biasa dengan rutin harian, lali dengan perangai rakan-rakan sekerja, masak dengan karenah ketua dan faham dengan masalah-masalah yang perlu dihadapi. Pendek kata, semua data sudah ada di dalam kepala.
Dengan mencuba sesuatu yang baharu atau bertugas di tempat yang baharu membuatkan seseorang berhadapan dengan ketidaktentuan yang merimaskan. Semuanya perlu dimulakan dari kosong, untuk memperoleh kepercayaan rakan sekerja, untuk mencari keserasian dengan ketua, dan sebagainya. Bagaimana kalau semuanya tidak kena? Adakah perlu mencari lagi dan, sampai bila?
Kepada mereka yang ingin bersiap sedia dan akhirnya tiada masalah meninggalkan zon selesa, mungkin anda boleh mencuba dua tips ini.
Lakukan Satu Perkara Yang Anda Ingin Lakukan Selama Ini
Kerja ialah kerja, melainkan anda memang melakukan kerja yang benar-benar dekat di hati anda, yang benar-benar anda minati. Jika kerja itu bukan minat anda, carilah satu perkara yang ingin anda cuba selama ini tetapi tidak pernah ada ruang, peluang atau keberanian untuk melakukannya. Contohnya, berlatih untuk larian maraton, merentas negara dengan menaiki motorsikal, membina kebun peribadi di rumah, dan sebagainya, kerana apabila minat disemarakkan dengan perancangan dan persediaan, ini akan membuat seseorang bersemangat dalam hidup dan semangat ini akan diterjemahkan ke dalam cara kerja.
Belajarlah satu kemahiran atau ilmu baru
Tiada ruginya menambah ilmu dan kemahiran. Untuk memperbaiki nilai kita di pasaran kerjaya, sasarkan satu kemahiran atau ilmu untuk dikuasai. Lakukan kajian tentang kemahiran yang diperlukan di sektor kita, dan ambil bahagian. Kemahiran menulis dengan baik, kemahiran membuat pembentangan dengan cara terkini, kemahiran berkomunikasi, kemahiran menggunakan aplikasi terbaru, dan banyak lagi. Hanya kita yang tahu apa yang diperlukan jawatan kita, oleh itu upskill! Jangan merasakan apa yang kita ada sudah cukup untuk mengekalkan kita di dalam kerjaya untuk selama-lamanya.
Kesimpulannya, jangan dibiarkan zon selesa menghukum akibat kita tidak peduli dengan perubahan semasa.
Leave a Reply