Oleh: Mymuslimin.com
Ramai yang mengeluh menjelang hujung bulan kerana duit di dalan akaun sudah susut teruk. Selain jumlah pendapatan yang tidak memberangsangkan, amalan seharian yang kurang berhemah juga boleh menyebabkan duit kita hanya touch and go di dalam akaun, tidak cukup sehingga hujung bulan, apatah lagi untuk dibuat simpanan.
Mymuslimin menyenaraikan 8 amalan biasa yang buat poket anda cepat pokai.
1. Vape & Rokok – Ini bukan zaman 80-an di mana rokok 7 batang boleh dibeli dengan harga RM1.50. Merokok dan vape ialah gaya hidup yang mahal kerana tabiat ini perlu dilempias setiap hari dan harganya tinggi. Selain menyebabkan masalah kesihatan di masa akan datang, anda juga berdepan dengan ketagihan. Membuang tabiat merokok boleh menjimatkan belanja yang banyak dalam sebulan. Banyak hospital awam dan swasta yang menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok. Google sahaja Klinik Berhenti Merokok yang berdekatan dan mendapatkan khidmat nasihat ini. Selamatkan diri, selamatkan poket anda.
2. Kopi Mahal & Minuman di Restoran – Sekali-sekala untuk belanja diri sendiri tentu sekali tiada masalah. Namun, jika setiap masa anda menginginkan kopi berjenama, artisan, frappucino, latte dengan susu badam, duit di dalam dompet tentu sekali tak akan kekal lama. Jangan dihirau perangai orang kaya, duit mereka tiada sempadan. Kopi berjenama ini bukanlah boleh dibeli dengan harga kurang RM10, yang basic sahaja sudah mahal, apa lagi ada penambahan krim dan sebagainya. Ditambah lagi apabila makan di luar anda memesan minuman, semuanya akan membuatkan anda cepat pokai.
3. Sering Makan Di Luar – Makan sedap memanglah sedap, tetapi makan di luar bukanlah murah. Fikirkanlah cara bagaimana untuk mengurangkan kekerapan makan di luar seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Mungkin boleh cuba makan sebelum keluar rumah, roti letak jem dulu dengan secawan kopi supaya belanja makan di luar dapat dikurangkan. Bawa bekal beberaapa kali sebulan juga boleh dijadikan pilihan. Kurangkan juga menempah makanan secara penghantaran kerana ini akan menambah belanja anda.
4. Kerap Beli Pakaian Berjenama – Memanglah ada pepatah, ‘alah membeli, menang memakai’ dan tentu sekali ada kebenarannya kerana jenama yang baik selalunya menghasilkan kualiti yang baik. Tetapi, janganlah kerap membelinya. Sebagai contoh, jika anda ingin membeli jaket berjenama, simpan duit dan beli satu untuk digayakan dengan bermacam stail terutama yang berkait dengan kerja. Tiga bulan sekali beli, setahun anda sudah ada 4 pakaian yang baik. Ini adalah lebih baik berbanding selalu membeli pakaian murah yang anda tidak selalu pakai.
5. Melanggan Pelbagai Aplikasi – Selain Netflix, Astro, apa lagi aplikasi yang anda langgan dan bayar secara bulanan? Adakah mana-mana aplikasi yang anda terlupa untuk batalkan langganan dan terus dicaj tanpa sedar? Sila semak dan buat audit, serta tamatkan aplikasi yang jarang anda guna agar duit anda tidak mengalir keluar begitu sahaja.
6. Malas Cari Diskaun – Membeli ketika diskaun memberi penjimatan kepada perbelanjaan. Janganlah malu nak beli benda yang ada potongan harga. Asalkan barang atau perkhidmatan yang ditawarkan memuaskan hati, membeli dengan diskaun lebih baik berbanding membeli dengan harga biasa. Jimat RM1 atau RM2 pun jimat juga!
7. Tidak Buat Bajet Bulanan – Ini amalan yang agak bahaya untuk poket yang tidak berapa nak tebal. Sebelum menerima gaji bulanan, buatlah bajet yang bersesuaian dan stick to the budget. Elakkan perangai ‘asal berkenan, beli’. Dana peribadi anda bukanlah tiada hadnya, jadi berhati-hatilah dalam mengurus kewangan.
8. Berlumba Teringin Gajet Terkini – Sudah-sudah dengan perangai nak flex benda, tidak perlu nak tunjuk siapa ada apa. Yang penting gajet yang kita beli itu dapat melakukan fungsi yang kita mahukan. Tidak perlu iPhone, banyak telefon Android biasa boleh membuat panggilan yang sama, menerima WhatsApp yang sama, mengambil gambar cantik, muat turun banyak aplikasi dan sebagainya. Mengapa perlu berbelanja lebih untuk ‘gaya hidup’ yang bukan anda punya? Ukurlah jenis telefon dengan gaji sendiri.
Kesimpulannya, pendapatan kita cukup jika kita tahu mengendalikannya dengan baik. Buang jauh-jauh pemikiran ‘biar papa asal bergaya’. Lihat kembali gaya hidup kita dan buatlah pelarasan tabiat semasa supaya poket kita sentiasa selesa. Insya Allah.
Leave a Reply