Oleh: Shaykh Ismail Kamdar
Nasihat ini ditujukan kepada para bapa yang mahu anak lelaki mereka membesar menjadi lelaki sejati. Adalah menjadi harapan saya agar apabila satu generasi mengamalkan cara didikan yang baik, ia dapat memperbaiki kecenderungan lelaki yang tidak matang serta melahirkan generasi lelaki sejati yang baharu. Berikut adalah beberapa cara untuk membesarkan anak lelaki menjadi lelaki sejati.
1. Jadilah model mereka
Kanak-kanak mencontohi apa yang ibu bapa mereka lakukan, bukan apa yang mereka ucapkan. Ini berlaku terutamanya apabila melibatkan peranan dan dinamik jantina. Di zaman dahulu, ibu bapa tidak perlu mengajar bagaimana anak lelaki menyerlahkan kejantanan mereka kerana anak-anak ini akan memperolehnya secara organik daripada bapa dan mentor mereka. Mereka akan memerhatikan sendiri dalam etika kerja bapa mereka, sikap tidak mementingkan diri sendiri, keberanian, dan komitmen bapa mereka terhadap keluarga.
Pada masa lalu, kanak-kanak boleh melihat bapa mereka mempamerkan kualiti yang cemerlang ini, tetapi dalam sesetengah masyarakat, seluruh generasi lelaki telah terkecuali daripada pengalaman ini. Disebabkan ketiadaan bapa, bapa yang lembut, bapa yang curang, bapa yang mendera menyebabkan kanak-kanak ini tidak dapat menyaksikan mana-mana teladan maskulin yang positif. Tetapi, tidak semuanya musnah. Generasi kini masih boleh menghidupkan semula amalan mewariskan kualiti ini secara organik.
Para bapa perlu sedar akan hal ini dan secara aktifnya mempamerkan kualiti yang mereka mahu anak lelaki mereka miliki. Jika anda mahukan anak lelaki anda membesar menjadi seorang yang rajin, anda perlu menjadi rajin terlebih dahulu. Jika anda ingin membesarkan seorang pemuda yang berani yang akan memimpin rakyatnya, maka anda juga perlu menjadi seperti itu. Keibubapaan bermula dengan pemodelan, di mana tindakan anda lebih berkuasa daripada apa sahaja yang ucapkan, jadi hati-hati dengan semua contoh yang anda pamerkan kepada anak-anak anda.
Jadilah suami yang hebat, bapa yang hebat, lelaki yang hebat. Jadilah model hebat mereka. Tempatkan mereka di dalam perkahwinan yang bahagia, keibubapaan yang baik, dan berikan mereka seorang lelaki yang soleh. Biarkan mereka melihat faedah apabila lelaki menjadi lelaki sejati dan wanita menjadi yang lemah lembut ketika mereka memerhatikan hubungan ibu bapa mereka. Ini adalah cara terbaik untuk menyampaikan sifat maskulin kepada generasi akan datang secara organik.
2. Dekatkan mereka kepada mentor
Mentor merupakan unsur penting bagi remaja di masa lalu. Apabila kanak-kanak lelaki semakin dewasa, mereka akan menghampiri pemimpin masyarakat dan belajar daripada mereka. Ini akan memberi mereka akses kepada kebijaksanaan, pengalaman dan pengetahuan yang mungkin tidak dimiliki oleh ibu bapa mereka. Seorang mentor akan membantu seorang remaja untuk mencapai potensi dirinya yang sebenar.
Konsep bimbingan mentor ini perlu dihidupkan semula di dalam komuniti kita. Lelaki yang berjaya perlu melabur masa ke dalam generasi muda dengan membangunkan hubungan sedemikian dengan remaja di dalam komuniti mereka. Ibu bapa juga perlu aktif mencarikan mentor untuk anak-anak mereka dalam bidang yang mereka minati.
Jika anda mempunyai anak lelaki yang ingin menjadi seorang ulama Islam, bantulah dia membina hubungan mentor yang rapat dengan seorang ulama tempatan. Jika anak anda ingin menjadi pengarang, hubungkan dia dengan seorang pengarang yang berjaya. Walau apa pun kebijaksanaan dan pengalaman yang diperlukan oleh anak anda untuk mencapai potensinya, bantulah menghubungkannya dengan seseorang di dalam komuniti yang boleh membantunya.
Saya bersyukur kerana saya membesar di kalangan ramai mentor. Saya kehilangan ayah ketika saya berumur lapan tahun tetapi saya tidak pernah kekurangan sosok seorang bapa. Saya mempunyai mentor dalam kerja-kerja Islam, biasiswa, dakwah, penulisan, pembelajaran di rumah, dan keibubapaan. Setiap lelaki ini memainkan peranan penting dalam membentuk saya menjadi lelaki seperti saya sekarang. Membantu seorang remaja mencari mentor ialah salah satu perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk membantu remaja itu mencapai potensinya.
3. Beri mereka tanggungjawab semenjak kecil
Salah satu sebab mengapa kanak-kanak lelaki tidak matang hari ini adalah kerana ibu bapa mereka memanjakan mereka terlalu lama. Kita boleh faham jika ibu bapa memanjakan anak kecil atau bayi. Kanak-kanak itu masih kecil, dan ibu bapa teruja dan mencari cara untuk meluahkan cinta mereka. Tetapi, jika hubungan itu tidak pernah berkembang melebihi tahap ini, kanak-kanak itu tidak akan matang.
Tanggungjawab, kesusahan, dan cabaran hidup itu menyebabkan remaja menjadi lelaki. Apabila ibu bapa melindungi anak-anak mereka daripada cabaran hidup dan tidak memberi mereka sebarang tanggungjawab, anak itu akan kekal di dalam alam kanak-kanak yang tidak berpenghujung. Ibu bapa seperti ini tidak membantu anak mereka. Mereka membantutkan pertumbuhannya, menghalangnya daripada mencapai potensi, dan menjadikannya sentiasa bergantung dan tidak berguna. Kanak-kanak lelaki memerlukan tanggungjawab untuk maju.
Ibu bapa mesti menambah tanggungjawab anak mereka apabila dia semakin dewasa. Mereka mesti memberinya peranan yang lebih besar di dalam rumah, sama ada membantu membuat kerja rumah, menyelia pendidikan mereka sendiri, menjaga adik-adik, dan memperbaiki apa-apa kerosakan di rumah. Apabila seorang lelaki muda dipercayai dengan tanggungjawab, dia akan membesar dengan lebih cepat.
Seiring dengan tanggungjawab, ibu bapa juga perlu membiarkan anak lelaki menangani cabaran hidup sendiri. Ada kalanya, ibu bapa mungkin perlu campur tangan, tetapi berilah ruang kepada anak itu untuk menguruskan masalahnya sendiri. Pengalaman membuat kesilapan, belajar daripadanya, dan memperbaikinya adalah bahagian yang perlu dan penting dalam perjalanan dari zaman kanak-kanak hingga dewasa. Jika anda mahu anak anda membesar, berikan dia tanggungjawab dan biarkan dia belajar menyelesaikan masalah sendiri. Dia akan membesar dengan lebih cepat.
4. Galakkan perkahwinan muda
Ini mungkin perkara yang paling sukar untuk meyakinkan ibu bapa. Dalam dunia moden, lelaki muda menghabiskan masa remaja dan umur dua puluhan mereka menonton pornografi dan berzina. Mereka hanya bersetuju untuk berkahwin dalam lingkungan usia tiga puluhan selepas hidup mereka dipenuhi dosa. Sesetengah ibu bapa berfikir bahawa anak lelaki mereka boleh menunggu sehingga umur tiga puluhan tanpa melakukan dosa apabila anak-anak ini berada di tengah-tengah budaya dosa. Ini selalunya tidak berakhir dengan baik, sama ada anak itu akan ketagih konten lucah yang akan membunuh semua dorongan atau alasan untuk berkahwin, atau ia berakhir dengan perzinaan yang datang dengan komplikasi dan masalah sosialnya sendiri.
Pada masa dahulu, kanak-kanak lelaki akan berkahwin sekitar masa akil baligh. Tanggungjawab mempunyai pasangan, dan tidak lama selepas itu mempunyai anak, memaksa seorang lelaki untuk membesar, bekerja keras, dan menjadi lelaki sejati. Saya tidak mengatakan seorang lelaki harus berkahwin sejurus selepas mereka mencapai akil baligh, tetapi sekurang-kurangnya pada awal dua puluhan. Seorang lelaki berada di puncak seksualnya antara akil baligh dan tiga puluh. Adalah tidak wajar, tidak sihat dan berbahaya bagi seorang lelaki untuk menghabiskan tempoh ini sendirian.
Saya sangat menyarankan agar ibu bapa memudahkan urusan perkahwinan orang muda. Sama ada membantu mereka dari segi kewangan semasa mereka membina kehidupan mereka, atau membantu mereka memulakan perniagaan pada usia muda, setiap keluarga perlu memikirkan cara untuk menjayakan usaha ini.
Sesetengah ibu bapa bimbang memikirkan yang anak mereka belum bersedia untuk berkahwin. Jika anda membesarkan dia dengan baik, dan dia serius tentang perkahwinan, maka berkahwin muda akan memaksa dia untuk membesar, menjadi lelaki, dan mencapai potensi sepenuhnya. Tiada apa yang memaksa seorang lelaki untuk bekerja keras dan mencapai matlamatnya seperti bertanggungjawab terhadap keluarganya.
5. Dorong mereka untuk menjadi versi terbaik diri mereka
Kanak-kanak lelaki memerlukan dorongan. Jika ibu bapa terus memanjakan mereka, mereka tidak melihat sebab untuk membesar. Seorang budak lelaki memerlukan dorongan untuk menjadi seorang lelaki. Dia perlu tahu bahawa ibu bapanya mengharapkan perkara yang hebat daripadanya. Ibu bapa perlu bercakap dengan anak lelaki mereka tentang bakat, kemahiran, dan potensi mereka. Mereka mesti memberitahu anak-anak mereka bahawa mereka mempunyai peranan yang lebih besar untuk dimainkan dalam ummah dan mereka mengharapkan mereka untuk menerima peranan itu.
Ibu bapa perlu membimbing anak lelaki mereka mengenali bakat dan minat mereka dan membantu mereka mencari kerjaya yang sesuai dengan bakat dan minat tersebut. Mereka harus membantu perkembangan anak mereka di bidang itu, supaya dia boleh mencapai potensi penuhnya. Apabila seorang lelaki muda mengetahui apa yang dia mahu lakukan dalam hidupnya, dia akan membesar dalam sekelip mata.
Apabila seorang lelaki muda menyedari bakatnya dan apa yang dia ingin capai dalam hidupnya, anda akan melihat dia berubah dalam sekelip mata menjadi seorang lelaki yang bersemangat, rajin, rajin belajar, bertekad dalam merealisasikan impiannya. Apabila dia mencapai tahap itu, berikan dia ruang untuk berkembang, dan bersedia untuk melepaskannya tidak lama lagi.
6. Mempunyai komunikasi terbuka mengenai topik yang sukar
Apabila anak anda mencapai akil baligh, dia sudah menjadi seorang lelaki muda. Pada ketika itu, gaya keibubapaan anda perlu berubah untuk memenuhi perubahan ini. Satu perubahan penting ialah mengambil peranan untuk menjadi penasihat dalam hidupnya. Anak anda sedang melalui perubahan dan berhadapan dengan cabaran baharu, cabaran yang mungkin anda hadapi pada usianya. Dia memerlukan seseorang untuk bercakap tentang isu-isu ini.
Jika anda boleh menjadi orang itu untuknya, ia boleh membentuk ikatan yang kukuh di antara ayah dan anak. Tetapi, tidak semua ibu bapa mampu membincangkan topik yang sukar dengan anak lelaki mereka. Jika sekiranya anda merasakan anda tidak mampu menawarkan nasihat yang mereka perlukan, hubungkan mereka dengan seseorang yang boleh melakukan tugas itu, sama ada daripada ahli keluarga, ketua komuniti atau mentor.
Remaja memerlukan seorang dewasa untuk bercakap dengannya, untuk membantu mereka menangani perasaan baharu dan perubahan tubuh mereka serta belajar mengawal keinginan mereka. Mereka memerlukan bimbingan tentang apa yang perlu dilakukan dengan kehidupan mereka, dan bagaimana untuk mencapai potensi penuh mereka. Ibu bapa boleh memainkan peranan ini dalam kehidupan mereka atau melantik seorang dewasa yang dihormati untuk membantu. Walau apa pun caranya, budak lelaki memerlukan hubungan sedemikian untuk matang dengan lebih cepat.
7. Benarkan mereka membesar
Salah satu sebab mengapa ramai kanak-kanak lelaki tidak pernah membesar adalah kerana ibu bapa mereka tidak memberi mereka ruang untuk berbuat demikian. Sesetengah ibu bapa tidak mahu melepaskan fasa kanak-kanak ini. Mereka terus memanjakan anak lelaki dari bayi sehingga dewasa. Saya telah bertemu lelaki yang berumur dua puluh tahun malah tiga puluh tahun yang masih dilayan seperti kanak-kanak dan terus berkelakuan seperti kanak-kanak. Ini bencana kepada perkembangan seorang remaja lelaki.
Salah satu pemberian terbaik kepada seorang remaja lelaki ialah ruang untuk membesar. Selepas akil baligh, berikan dia lebih banyak ruang, privasi dan ruang untuk berkembang. Biarkan dia meneroka topik yang diminati, belajar untuk berdiri di atas kakinya sendiri, dan membangunkan kemahiran hidup yang penting. Jangan tahan dia daripada belajar memandu, mengembara sendirian, atau memulakan perniagaan.
Apabila ibu bapa membiarkan anak lelaki mereka membesar, maka mereka akan menjadi lelaki sejati. Dalam banyak kes hari ini, sebab seorang budak lelaki belum dewasa adalah kerana ibu bapanya menghalangnya. Lepaskan dan saksikan anak lelaki anda membesar menjadi lelaki sejati.
8. Lepaskan mereka
Akan tiba masanya dalam kehidupan setiap ibu bapa apabila mereka perlu melepaskan anak mereka pergi. Ini tidak bermakna memutuskan hubungan atau mengelak untuk berkomunikasi. Ini bermakna membiarkan mereka menjalani kehidupan mereka sebagai seorang lelaki, tanpa gangguan. Sebaik sahaja anak anda sudah berkahwin dan bebas kewangan, sudah tiba masanya untuk ibu bapa berundur. Anda telah melakukan tugas anda dan membesarkannya dengan baik, jangan biarkan dia menjalani hidupnya dan menggunakan masa tambahan itu untuk memberi tumpuan kepada matlamat dan impian anda sendiri.
Hadir untuknya sebagai kawan, mentor, dan seseorang yang boleh dia harapkan ketika kecemasan, tetapi jangan mengganggu perkahwinan, kerjaya atau kehidupan peribadinya. Bebaskan mereka, dan dia akan terbang dan mencapai potensi penuhnya.
Tentang Penulis: Shaykh Ismail Kamdar ialah pakar dalam bidang Feqah, Tafsir, Sejarah, Perkembangan Peribadi, and Pendidikan
Artikel Asal: Izzah Academy
Leave a Reply