Oleh: Mymuslimin.com
Kalau di Muar, bersarapan sate itu biasa. Di Melaka pula, warganya bersarapan roti canai dengan asam pedas ikan. Bagaimana pula di Ipoh? Tentu sekali menikmati dim sum di pagi hari itu budaya. Dan di mana lagi untuk mendapatkan dim sum sedap dan halal kalau bukan di Canning Dim Sum. Restoran ini terletak di No 1, Lebuh Cecil Rae, Taman Canning, Ipoh, berhadapan dengan restoran New Holly Wood, yang juga tidak kurang terkenalnya.


Halaman Canning Dim Sum dihias cantik persis studio agar pengunjung dapat bergambar sakan sebelum memasuki restoran. Restoran yang menghidangkan pelbagai jenis dim sum dan pau ini mula dibuka pada tahun 2018 dan ianya telah mendapat sambutan yang hebat daripada pelanggan berbilang bangsa yang menggemari juadah popular bangsa Cina ini. Di Canning Dim Sum, pelanggan boleh memilih lebih daripada 60 jenis dim sum, pau dan kuih-muih untuk dinikmati.
Di Canning Dim Sum, pelayan akan membawa sedulang dim sum dan pau berbagai jenis ke meja anda, dan pilihlah yang mana berkenan di hati. Jika yang diidamkan tidak dibawa ke meja, tempah sahaja dan hidangan akan disediakan secepat mungkin.




Dumpling Ayam Shanghai Berkuah, Gyoza Bunga Telang Dumpling Bunga Telang, Siew Mai, Gyoza Cendawan antara yang lazat di sini. Dumpling Ayam Shanghai itu istimewa kerana di dalam dumpling itu diletakkan sesudu sup untuk dihirup. Bukan calang-calang tukang masak yang mampu menghasilkan dumpling jenis ini. Gyozanya pula garing dengan inti cukup rasa, sememangnya berbaloi-baloi.
Inti dumpling selalunya isi ayam, udang atau kombinasinya. Jadi, bagi mereka yang alah kepada makanan laut, sila bertanya dahulu sebelum menjamu selera. Warna biru pada kulit dumpling itu ialah pewarna semulajadi Bunga Telang yang banyak ditanam di sekeliling restoran. Tiada apa-apa perbezaan daripada segi rasa tetapi lain pula cerita bila dilihat astetik fotonya. Sudah makan dim sum dan dumpling, hidangan kaki ayam dan kek lobak goreng juga lazat untuk dicuba.


Selain pau-pau berinti kacang, coklat, pandan, dan bijan, Canning Dim Sum juga menawarkan pau berinti unik seperti kimchi, pizza dan isi ketam! Kuih bom atau Sesame Ball juga sedap di sini, memang yang membuatnya seorang pakar kerana tekstur dan rasanya cukup sempurna. Selain itu, sila juga cuba Tat Telur Portugis. Pastrinya rangup dan isinya lemak manis berkrim, mengasyikkan.
Kepada yang berjalan ke Ipoh, mymuslimin mencadangkan restoran ini untuk sarapan tetapi disarankan agar datang seawal pagi kerana takut restoran sudah penuh terutama pada hujung minggu.
Canning Dim Sum
1, Lebuh Cecil Rae, Taman Canning, 31400 Ipoh, Perak
Buka Setiap Hari: 7:30 pagi -3:30 petang
Tutup: Rabu
My favourite place…
LikeLike