Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita membina ketakwaan yang kukuh dalam kehidupan dengan melaksanakan perintah-perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita menjadi hamba-Nya yang diredai dan dimasukkan ke dalam syurga yang kekal abadi.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Belia Permata Negara”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Belia merupakan generasi yang amat penting dan dan menjadi aset bernilai kepada negara. Kekuatan dan potensi mereka dalam membangunkan serta memacu kemajuan negara tidak dapat dinafikan. Bukan sahaja bernilai pada masa kini, mereka juga merupakan tonggak kepada pembangunan negara pada masa hadapan. Justeru, jatuh bangunnya masa hadapan sesebuah negara sebenarnya bergantung kepada pembangunan belia pada hari ini.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 13 yang dibacakan di permulaan khutbah mesti dijadikan inspirasi oleh semua para pemuda. Ayat tersebut membawa maksud: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”
Memasuki era cabaran baharu dunia moden kini khususnya Revolusi Industri 4.0, para belia harus menyedari bahawa perkembangan teknologi seperti artificial intelligence (AI), kemajuan internet of things (IoT) dan penggunaan robotik sedang mengambil alih sebahagian peranan manusia.
Generasi belia harus bersiap sedia menghadapinya dengan menerokai pelbagai ilmu, mempelajari kemahiran yang sesuai dengan kehendak semasa, bersikap positif terhadap perubahan zaman dan memiliki sahsiah yang mulia di samping memperkukuhkan keimanan agar tidak hanyut dalam kelekaan sehingga tergelincir daripada petunjuk agama.
Semua pihak sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan, ibu bapa mahupun masyarakat harus berganding memainkan peranan dan tanggungjawab agar dapat membina jati diri dan modal insan para belia permata negara.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Perkara utama yang harus dititik beratkan adalah pembangunan ilmu pengetahuan sama ada bersifat ukhrawi mahupun duniawi. Ilmu ialah asas petunjuk kepada kebenaran bagi mencapai kesejahteraan hidup manusia. Ia menjadi kayu ukur sama ada sesuatu perkara yang dilakukan seseorang itu benar atau salah. Justeru, para belia mestilah bersungguh-sungguh mencari ilmu pengetahuan sebagai pedoman kehidupan di dunia untuk mencapai kebahagiaan di akhirat. Dalam masa yang sama, pelbagai kemahiran mestilah diterokai oleh para belia seperti keusahawanan, kepimpinan, teknologi dan sebagainya. Mimbar yakin dan percaya, setiap belia yang ada di negara ini mempunyai kelebihan, kemahiran dan kecenderungan masing-masing. Oleh itu, gilaplah ia ke arah yang dapat memajukan diri, agama, masyarakat dan negara.
Generasi belia yang bernilai di sisi Allah SWT ialah belia yang berjasa kepada masyarakat dan negara, mereka yang memiliki akidah yang utuh, akhlak yang terpuji dan ibadah yang ikhlas. Tidak dinafikan, banyak cabaran yang harus dihadapi pada usia belia ini sama ada ia berpunca daripada ancaman dan anasir-anasir luar atau disebabkan juga kelemahan diri.
Akidah yang benar, akhlak yang terpuji dan ibadah yang diterima Allah SWT umpama benteng kukuh kepada mereka dalam mendepani cabaran kehidupan. Golongan anak-anak muda mesti menjadi generasi yang istiqamah mengimarahkan masjid dan surau dan menggiatkan diri dengan aktiviti-aktiviti pengimarahan. Generasi pemuda yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid sudah tentu dipayungi rahmat dan keberkatan Allah SWT di dunia dan mendapat perlindungan-Nya di akhirat.
Aspek kesihatan jasmani dan mental juga amat penting bagi seseorang belia. Di usia muda ini mereka mestilah mengamalkan pemakanan yang halal lagi baik dan menyihatkan, melakukan aktiviti senaman, menjauhkan diri daripada arak dan dadah, mengurus emosi dengan baik dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan tekanan hidup. Inilah gaya hidup yang mesti diamalkan bagi menjamin kesejahteraan dan kehidupan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Tema sambutan Hari Belia Negara 2023 ialah “Ini Masa Kita”. Tema ini mengingatkan kita betapa berharganya masa muda yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Masa muda inilah waktu yang terbaik untuk belia di negara kita tampil melalui pelbagai ruang dan peluang yang ada bagi bersama-sama menyumbang ke arah kemajuan agama, masyarakat dan negara. Imam al-Baihaqi meriwayatkan hadis, daripada Abdullah bin ‘Abbas Radiallahu‘anhuma, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.”
Mimbar turut ingin mengajak semua agar mendekati belia dengan pendekatan yang sesuai dan hampir dengan mereka. Program-program keilmuan khusus untuk belia, latihan kepimpinan dan pengukuhan sahsiah, pemantapan latihan dan kemahiran serta peluang perniagaan, memperkasakan pertubuhan-pertubuhan belia di setiap kawasan dan
menyalurkan dana bagi menghasilkan sesuatu inovasi yang lahir daripada idea segar mereka.
Semoga dengan usaha-usaha ini, para belia akan sentiasa mendapat bimbingan yang sewajarnya dan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat. Sesungguhnya merekalah permata yang bakal mewarisi negara yang tercinta ini.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Belia merupakan aset (modal insan) penting kepada negara. mereka menjadi tonggak kepada kepimpinan dan pembangunan negara pada masa hadapan yang teguh iman dan takwanya serta jati diri yang mantap.
Kedua: Mainkan peranan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan masyarakat untuk membina jati diri dan modal insan para belia sebagai permata negara.
Ketiga: Pertingkatkan usaha memantapkan kekuatan intelektual, emosi dan spiritual para belia negara sebagai persediaan menjadikan mereka pewaris kepimpinan negara yang unggul di masa hadapan.
Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah SWT telah mengangkat kedudukan umat Islam sebagai umat terbaik atau khayra ummah yang mempunyai peranan penting untuk menyebar luaskan rahmat kebaikan agama Islam ke seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin). Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”
Oleh yang demikian, seluruh umat Islam mestilah berganding bahu untuk bersama-sama menjayakan ikhtiar membina semula kegemilangan tamadun ummah. Dalam hubungan ini, marilah kita sama-sama mengukuhkan perpaduan sesama umat Islam serta memelihara keharmonian hidup di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Umat Islam juga dinasihatkan supaya sentiasa meningkatkan kefahaman Islam, bersikap objektif, tenang serta berhati-hati dalam memberikan reaksi dan tindak balas terhadap isu-isu yang sentiasa berkembang dalam kehidupan masyarakat. Ini akan memastikan umat Islam menjadi masyarakat contoh di mana kita sentiasa dihormati kerana memilki kefahaman Islam yang jitu dan tidak mudah didorong oleh sentimen dan emosi. Nasihat ini amat penting demi memastikan negara kita sentiasa dalam keadaan sejahtera, aman dan makmur.
Dalam hubungan ini, pihak kerajaan akan terus berusaha dan berikhtiar meninggikan kedaulatan Islam menerusi pengukuhan institusi- institusi Islam, memelihara kesucian simbol-simbol ajaran Islam serta melestarikan penghayatan nilai-nilai ajaran Islam yang syumul, maju dan madani dalam kehidupan ummah dan rakyat Malaysia.

Tarikh Dibaca: 28 Syawal 1444H/19 Mei 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a Reply