Oleh: mymuslimin.com
Malaysia bukan sahaja berbilang bangsa, malah berbilang sarapan pagi yang berlainan jenis di setiap negeri. Sebagai contoh, walaupun orang Malaysia suka nasi lemak, persembahan dan lauk-pauknya ada perbezaan dari satu negeri ke negeri yang lain. Selain nasi lemak, banyak lagi sarapan menarik di negeri lain seperti sate, dim sum, pau, lontong, lempeng, nasi dagang, nasi kerabu dan sebagainya. Mari kita terokai sarapan yang dinikmati di Malaysia dan kita mulakan dari Perak ke negeri Johor. Jom!
Mymuslimin.com senaraikan 12 Port Sarapan Sedap & Popular dari Ipoh ke Johor Bahru
Canning Dim Sum – 1, Lebuh Cecil Rae, Taman Canning, 31400 Ipoh, Perak



Bila di Ipoh, dapatkan sarapan dim sum sedap dan halal di Canning Dim Sum yang terletak di Lebuh Cecil Rae, Taman Canning, Ipoh. Pelanggan boleh memilih lebih daripada 60 jenis dim sum, pau dan kuih-muih yang lazat dan berkualiti tinggi.
Restoran Yik Mun – 6043, Persiaran Slim Permai 8, 35900 Tanjong Malim, Perak



Dibuka kali pertama pada tahun 1926, restoran Yik Mun di Tanjong Malim Perak ini cukup dikenali kerana paunya. Pau putih yang dikukus lembut dengan isi yang lazat, Yik Mun menawarkan inti kari ayam, kaya, kacang merah dan kari daging. Resepi pau yang sudah menjangkau 100 tahun ini memang menjadi kegemaran ramai warga Malaysia.
Warung Dimyati Roti Canai Pelangi – Lot 2430 Batu 3 Kampung Sungai Yu 1, Kampung Sungai Yu, 45000 Kuala Selangor, Selangor



Meriahkan hujung minggu anda dengan pilihan roti canai yang pelbagai daripada Warung Dimyati Roti Canai Pelangi yang terletak di Kampung Sungai Yu di Kuala Selangor. Bukan sekadar gimik warna roti persis pelangi, roti canai di sini memang lembut di dalam dan garing di luar yang membuatkan seorang pengunjung makan lebih daripada sekeping!
Restoran Lontong Klang – 20, Jalan Zirkon E7/E, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor


Lontong Klang membawa pelanggan menikmati lontong dengan cara yang berbeza dan begitu lazat sekali. Lontong ini dihidang dengan kuah, tempe, bergedil, telur serta protein pilihan dan serunding kelapa. Betul-betul unik dan menarik!
Nasi Lemak Tanglin – Kompleks Makan Tanglin, Gerai, No. 6, Jalan Cenderasari, 50480 KL



Sambal Nasi Lemak Tanglin istimewa kerana rasanya yang lain daripada sambal nasi lemak yang lain. Ianya pekat, tidak begitu pedas, tidak manis, tidak juga masin, sukar untuk digambarkan rasanya tetapi apabila dicampur dengan nasi lemak, semuanya menjadi sedap.
Kafe Kampung Kaw – PT3038, Jalan Haji Sirat, Kampung Baru, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan



Nasi lemak di sini dihidangkan bersama sambal, kangkung celur, kacang dan ikan bilis goreng, beberapa hirisan telur dadar dan kambing yang dibakar sempurna. Kedengaran ‘berdosa’ pula makan kambing di pagi hari kan? Dan, untuk menambah lagi rasa bersalah, kafe ini juga menawarkan Nasi Lemak Tulang Rusuk serta Nasi Lemak Ayam Bakar.
Restoran Anak Nogori – 58, Jalan S2 G2, Garden Avenue, 70300 Seremban, Negeri Sembilan



Roti Sarang Burung datang dengan dua biji telur mata kerbau dengan telur kuningnya masih separuh masak di tengah roti, ditambah dengan sesudu rendang, dan dimakan dengan kuah roti canai biasa, unik dan lazat untuk dicuba.
Restoran Faizal Mohd Yusof (Gerai No 11) – 3123C, Jalan Limbongan, 75250 Melaka



Di restoran ini, anda boleh memilih kari atau asam pedas ikan siakap, kari atau asam pedas ikan pari, kari atau asam pedas ikan senangin, kari kambing istimewa, sambal sotong kering sebagai hidangan tambahan kepada roti canai biasa. Memang sedap kari ikannya!
ZZ Satay Warisan – 13, Jalan Majidi, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor



Sate di restoran ini diperap sebati dengan rempah ratus, dibakar menggunakan bara kayu arang untuk mendapatkan rasa sate asli yang digemari ramai semenjak dahulu. Sate daging di sini disempurnakan dengan seketul lemak di tengah-tengah lapisan daging untuk menambah keenakan.
Original Kluang Rail Coffee – KTM, Jalan Station, 86000 Kluang, Johor



Kerana Roti Bun Bakar Kaya Mentega inilah, kami sanggup memandu lebih 250km untuk bersarapan di The Original Kluang Rail Coffee di Kluang, Johor. Mengapa roti bun bakar ini istimewa? Bukan sahaja roti bun ini dibakar sempurna dengan sedikit kehangusan di tepi-tepi bun, mentega di tengahnya juga diletak tebal dan kemudiannya ditambah dengan selapisan kaya manis bersari!
Kacang Pool Haji – Jalan Sabar, Taman Dato Onn, 80350 Johor Bahru, Johor


Kacang Pool Haji yang bertempat di Jalan Sabar menyediakan hidangan Kacang Pool yang lazat dan memuaskan! Lihat sahaja roti tebalnya yang dipanggang kuning keemasan, dicolek dengan Kacang Pool kaya dengan daging, sememangnya hidangan sarapan yang menyelerakan!
Pondok Santapan Larkin – No. 8, Jalan Puyuh Larkin Jaya, Larkin, 80350, Johor



Bertempat di Jalan Puyuh, Larkin Jaya, restoran ini menyediakan menu sarapan Melayu kampung yang lazat dan beraneka seperti lempeng, roti arab, nasi ambeng dan sebagainya, rambang mata untuk membuat pilihan!
Leave a Reply