Oleh: Mymuslimin.com
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)“. (Al-Ahqaf 46:15)
Dalam ayat Surah Al-Ahqaf yang ke 15 ini, usia 40 telah disebut secara spesifik di dalam Al-Quran, di mana umat Islam disarankan untuk membacakan doa yang mengilhamkan seseorang untuk bersyukur kepada nikmat Allah yang telah diberikan kepada diri dan ibu bapa, berdoa agar sering melakukan amal soleh yang diredai, mendoakan sifat-sifat kebaikan kepada generasi akan datang, serta memperkukuhkan janji taubat dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Jadi, mengapa 40 yang disebut? Menurut buku tafsir, empat puluh tahun merupakan umur di mana manusia itu mencapai kematangan intelek dan juga kerohanian. Empat puluh tahun ialah umur di mana seseorang boleh lebih fokus kepada ibadah dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Dan, empat puluh juga dikatakan umur kenabian semua nabi kecuali Nabi Isa yang mengetahui tentang kenabiannya semenjak kecil lagi. Lantas, umur 40 ini perlu diberi perhatian serius oleh setiap manusia.
Sering kita mendengar orang berkata, life begins at 40. Apakah maksudnya dan bagaimana kita sebagai seorang Islam perlu bersedia apabila memasuki usia 40-an? Apakah yang didefinisikan sebagai life di situ? Andai tersasar definisinya, manusia akan berada di dalam kerugian yang berpanjangan.
Dunia kapitalisma sering merujuk kepada usia 40 sebagai umur di mana seseorang itu mencapai kestabilan dalam kerjaya, kedudukan kewangan serta emosi. Kestabilan ini akan memperkenalkan manusia kepada gaya hidup yang terarah kepada kebendaan, hiburan dan aktiviti yang bersifat mementingkan diri. Ketika usia dalam lingkungan 40, kebanyakkan manusia akan mula mengumpul harta, membeli barangan mewah, merantau ke serata dunia, dan melakukan apa yang dihajatkan selama ini, kerana dia sudah mula mampu.
Sememangnya tidak salah untuk bermewah dan berhibur selagi tidak melakukan kemaksiatan dan perkara yang bertentangan dengan Islam. Namun, sebagai seorang Islam, adalah lebih baik sekiranya definisi life itu difokuskan kepada bekalan kehidupan akhirat dan berusaha untuk menjadi lebih akhirat-centric dalam melayari penghujung kehidupan. Bukan bermakna kita perlu terus meninggalkan dunia, tetapi lebih kepada melaraskan kehidupan kita agar kita untung di dunia dan juga untung di akhirat kelak.
Apabila manusia sudah mencapai usia 40, kita sudah berada di hujung jalan kehidupan dunianya dan sudah tiba masa untuk berfikir tentang bekalan yang akan dibawa ke dunia yang abadi. Rasulullah SAW wafat pada usia 63 tahun. Oleh itu, secara matematiknya, umur 40-an itu ialah dua pertiga daripada kehidupan.
Mymuslimin Menyenaraikan 5 tips Untuk Menyambut Umur 40 Bagi Muslimin Di Luar Sana
1. Audit Diri
Tekan brek, duduk sebentar, muhasabah diri dan audit kehidupan yang diberi Allah SWT selama 40 tahun. Jujur dengan diri sendiri dan senaraikan the do’s and don’ts yang diperlukan untuk memperbaiki diri. Mulakan dengan audit solat fardhu harian. Apakah kita sudah patuh, atau masih ada yang tercicir dek kesibukan tugas di pejabat atau kelesuan tubuh dan sendi untuk rukuk dan sujud kepada Ilahi? Apa cerita pula puasa? Masihkah ada hutang puasa yang masih belum dijelaskan? Selain zakat fitrah ketika Aidilfitri, sudahkah zakat pendapatan, zakat harta dikeluarkan? Sudahkah kita membuka akaun di Tabung Haji dan mulakan niat untuk menunaikannya? Bagaimana dengan hubungan kita dengan Al-Quran? Sudah sempurnakah bacaan kita, dan bagaimana pula dengan tadabburnya? Auditlah kehidupan kita, apakah realitinya. Lihatlah ruang-ruang yang perlu diperbaiki, dan carilah solusi agar kehidupan itu selari dengan apa yang disyorkan agama.
Kemudian, kita perlu lihat ke dalam hati sendiri. Perhatikan apa yang kita sering rasa. Adakah hati kita mempunyai amrāḍ al-qulūb, penyakit hati yang memudharatkan? Sekali lagi kita perlu jujur dengan diri sendiri. Adakah hati kita menzahirkan sifat ‘ujub (sombong), kibr (melihat diri lebih baik berbanding orang lain dalam hal-hal dunia), riyā’ (melaksanakan atau menawarkan ‘ibādah dengan niat mendapatkan pujian atau kekaguman mereka), hasad (cemburu, dengki), sū’ al-zānn (mempunyai prasangka buruk terhadap Tuhan atau orang lain), ghadab (marah), bukhl (kedekut), hubb al-jāh (cintakan kuasa, duit, pangkat dan kemahsyuran).
Apabila banyak sifat-sifat ini di dalam diri, berkemungkinan bahaya sifat-sifat ini mampu membatalkan atau mengurangkan pahala kita untuk ibādah dan perbuatan baik yang kita lakukan. Oleh itu, rawatlah penyakit hati dengan kerja-kerja pembersihan. Mulakan dengan membaca kitab mahsyur al-Imām al-Ghazālī rahimullah, Ihyā’ al-‘Ulūm al-Dīn (Kebangkitan Sains Agama) yang menyediakan kedua-dua penyelesaian teori dan praktikal untuk menyelesaikan penyakit hati, dan carilah jalan untuk mengenali ilmu Tasawwuf untuk penyucian hati agar amalan yang kita lakukan lebih berkualiti.
Kemudian, kita perlu perhatikan persekitaran kita, sekeliling kita. Lihat sahabat-sahabat kita, gaya hidup kita, adakah melalaikan atau mengingatkan kita kepada Allah SWT? Apakah yang sering dilakukan di waktu terluang? Adakah kita melakukan aktiviti bermanfaat atau banyak masa yang terluang sekadar berlibur kosong, terisi dengan menghiburkan diri sendiri. Perhatikan buku-buku yang kita baca, tajuk-tajuk yang ada di dalam rumah, adakah membantu pembangunan akal dan rohani, atau masih lagi ghaflah mencari duniawi? Tingkatkanlah pemahaman kita tentang agama Islam dengan membaca kitab-kitab yang baik, mengikuti kelas-kelas, ceramah agama dan sebagainya.
Bagaimana pula dengan cara pemakaian? 40 itu sudah mendekati usia tua. Sudah masa untuk kita hindarkan perasaan ingin kelihatan muda kerana perjalanan menuju tua itulah yang mengingatkan kita kepada kematian yang menginsafkan, membawa kita pulang mengingati Allah SWT. Setelah melakukan proses muhasabah diri, tanamkan semangat untuk menambahkan amalan kebaikan yang disarankan Islam agar kita mempunyai cukup bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti.
2. Taubat Nasuha
Mulakanlah dengan bertaubat, dengan berikrar sepenuh hati bahawa kita tidak mahu lagi terlibat di dalam maksiat yang telah kita lakukan di masa lampau. Ingatlah bahawa syaitan itu sentiasa akan cuba membuat kita percaya bahawa dosa kita terlalu banyak sehingga tidak boleh diampun Allah SWT. Namun, sebagai Islam kita perlu yakin bahawa Allah SWT itu Al-Ghaffar, Al-Ghaffur, Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Berkali-kali Allah SWT berfirman dalam Al-Quran tentang keampunan-Nya. “Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(Al-A’raf. 7:153)
“Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih.” (Hud 11:90)
Jangan sekali-kali bersangka buruk dengan Allah SWT tentang keampunan-Nya. Wa’ima dosa sebanyak buih di lautan sekali pun, Allah SWT akan tetap membukakan pintu ampunan dosa untuk hamba-Nya. Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW baginda bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak 33x, dan bertahmid kepada Allah 33x, dan bertakbir kepada Allah 33x, hingga semuanya berjumlah 99, dan baginda menambah dan kesempurnaan seratus adalah membaca
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ,
maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan.” (Sahih Muslim No: 939)
3. Meningkatkan Khidmat Bakti Kepada Ibu Bapa
Untuk yang masih mempunyai ibu bapa, inilah masanya untuk mempertingkatkan amalan bakti kepada mereka kerana di usia ini, ibu bapa akan memerlukan lebih banyak bantuan kerana umur mereka yang sudah senja. Renungkan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman 31:14)
4. Perbanyakkan Amalan Soleh
Perbanyakkanlah amal soleh di dalam kehidupan. Jangan berfikir yang amal soleh ini sukar untuk dilakukan. Senyum itu juga adalah amal soleh. Merapatkan silaturrahim, memperbaiki hubungan suami-isteri, menjaga pertuturan dengan baik, bersabar, membaca Al-Quran, menziarah orang sakit, bersedekah dan sebagainya. Amal soleh ialah amalan-amalan baik yang dianjurkan Islam.
Ingatlah kepada hadis yang dikeluarkan oleh Abu al-Fath al-Azadi daripada Ibn Abbas r.a. bermaksud: “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”. Oleh itu, tambahkanlah amalan soleh kita dan jauhkan diri daripada dosa dan maksiat.
5. Mengingati Mati
Di dalam konteks ini, mengingati mati itu bukan bermaksud tidak bersemangat untuk meneruskan kehidupan, tetapi agar kita sentiasa mengingati hakikat bahawa nyawa kita adalah milik Allah SWT dan ajal kita boleh sampai pada bila-bila masa sahaja. Dengan mempunyai kesedaran ini, sepatutnya kita memperbanyakkan ibadah serta amalan, dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT agar kita semua dapat meninggal dunia dalam keadaan husnol khotimah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Melangkah ke umur 40 tidak sepatutnya menjadikan kita semakin terbuai kepada keindahan dunia, sebaliknya, kita dituntut untuk memikirkan nasib kita di alam abadi dan membuat persiapan ke arahnya.
Bacaan Tambahan:
Leave a Reply