Jika Engkau Tidak Malu…

Daripada Abu Mas’ud, Uqbah bin ‘Amr al-Anshari al-Badri RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebahagian daripada apa yang telah dikenali orang daripada ungkapan kenabian yang pertama adalah: ‘Jika engkau tidak malu, berbuatlah sekehendakmu.’” (Riwayat al-Bukhari no. 3483)

Huraian dan Inti Sari

Sabda Rasulullah SAW: “… berbuatlah sekehendakmu,” mengandungi dua pengertian: Pertama, bererti ancaman dan peringatan keras, bukan merupakan perintah, sebagaimana sabda Baginda: “Lakukanlah sesuka kamu.” Yang juga bererti ancaman, sebab kepada mereka telah diajarkan apa yang harus dijalankan dan apa yang harus ditinggalkan.

Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menjual khamar (arak) maka hendaklah dia memotong-motong daging babi.” (Riwayat Abu Daud no. 3489) Tidak bererti bahawa beliau membenarkan melakukan perbuatan tersebut.

Kedua, hendaklah melakukan apa saja yang kamu tidak malu melakukannya, seperti halnya sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari no. 24 dan Muslim no. 36) Maksud malu di sini ialah malu yang dapat mendorongnya berbuat kebajikan dan menjauhkan dirinya daripada perbuatan keji dan mungkar.

Demikian juga apabila malu dapat mendorong seseorang meninggalkan perbuatan keji kemudian melakukan perbuatan baik, maka malu seperti ini setaraf dengan iman kerana persamaan pengaruhnya kepada seseorang.

Pengajaran

1. Malu merupakan ajaran yang telah disepakati oleh para nabi dan tidak terhapus ajarannya.

2. Jika seseorang telah meninggalkan rasa malu, maka jangan harap lagi ada kebaikan pada dirinya walau sedikit pun.

3. Malu merupakan landasan akhlak mulia dan selalu berpaksikan kepada kebaikan. Sesiapa yang banyak malunya lebih banyak kebaikannya, dan sesiapa yang sedikit rasa malunya semakin sedikit kebaikannya.

4. Rasa malu merupakan perilaku dan dapat dibentuk. Maka setiap orang yang memiliki tanggungjawab hendaknya memerhatikan bimbingan terhadap mereka yang menjadi tanggungjawabnya seperti suami bertanggungjawab terhadap isterinya, ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak-anaknya, majikan bertanggungjawab terhadap pekerjanya dan pemerintah bertanggungjawab terhadap rakyatnya.

5. Jangan ada rasa malu dalam mengajar hukum-hakam agama serta menuntut ilmu dan kebenaran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.(Surah al-Ahzab 33:53)

6. Antara manfaat rasa malu ialah ‘Iffah iaitu menjaga diri daripada perbuatan tercela dan ‘Wafa’ iaitu menepati janji.

7. Rasa malu merupakan salah satu cabang iman yang wajib diamalkan.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi oleh Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: