Keadaan orang Islam sudah berubah. Mereka surut sesudah mara, mereka lemah sesudah kuat. Semua ini disebabkan kerana iman tidak lagi menguasai diri mereka dan tidak lagi mempengaruhi akhlak dan gerak-geri mereka.
Sesungguhnya iman mereka telah menjadi iman geografi mengikut tempat kelahiran mereka di bumi muslimin atau iman warisan yang mereka ambil di bumi mereka sebagaimana mereka mewarisi rumah-rumah dan tanah-tanah. Iman mereka seperti orang yang diberi dadah yang tidak ada kesan dan tenaga.
Bagaimana mereka hendak mewarisi kekuatan dan bagaimana iman mereka boleh membekalkan semangat dan katajaman kepada diri?
Rasulullah SAW telah membongkar secara terperinci sebab-sebab kehilangan tenaga dan kelemahan di hadapan musuh. Zaman telah membenarkan apa yang disabdakannya yang bermaksud: “Hampir-hampir umat lain mengerumuni kamu, sebagaimana oang-orang kelaparan mengerumuni makanan mereka. Baginda ditanya: “Bilangan kami sedikitkah masa itu? Jawab baginda: “Bilangan kamu ketika itu ramai tetapi kamu seperti buih sungai. Allah mencabut rasa kehebatanmu daripada musuh kamu dan meletakkan rasa alwahnu dalam hati kamu.” Mereka bertanya: “Apakah alwahnu itu?” iaitu apakah sebab, apakah rahsianya kerana erti alwahnu itu diketahui umum, iaitu tidak bermaya. Jawab baginda: “Kasihkan dunia dan bencikan mati!”
Inilah punca kelemahan yang sebenar dan rahsia kekurangan yang tulen iaitu manusia ingin hidup kekal abadi di dunianya. Dia masih hidup sebagai hamba, patuh kepada program yang sudah tersusun. Mereka tahan kepada syarat-syarat yang berat, digerakkan oleh syahwatnya seperti cincin di tangan, diarahkan oleh keinginan kebendaannya seperti lembu di pedati air, bergerak di dalam kawasan terhad dan hilang tujuan dengan mata yang tertutup.
Kasih kepada dunialah yang menjadikan raja di dalam kubunya sebagai hamba yang lemah di hadapan perempuan yang diminatinya atau syahwat yang diidaminya. Atau sebagai teman setia yang ditakuti akan memecahkan tembelangnya atau pengiring yang menolong ia mencuri dan bertindak liar.
Bencikan mati juga membuat manusia sama ada individu atau masyarakat memilih hidup yang hina dari mati secara mulia. Mereka memilih untuk hidup yang sebenarnya menyediakan mati, dari kematian yang sebenarnya menyediakan kehidupan yang abadi. “Sesiapa yang tidak mati terhormat dengan pedang. Hidup merempuh hina tanpa hormat.”
Lemah Dan Tidak Menguruskan Diri Bertentangan Dengan Iman
Kadang-kadang seseorang itu melihat manusia yang ghairah beragama dan mendakwa diri mereka berpegang teguh dengan suruhan agama bersifat lemah, lesu, tidak bermaya, kusut masai dan tidak terurus keadaannya. Orang menyangka bahawa inilah gambaran mukmin yang sebenar. Realitinya, iman yang sebenarnya adalah jauh dan berlainan sama sekali dari contoh yang palsu dan gambaran yang bohong ini.
Iman adalah kekuatan di luar dan di dalam, pada akhlak dan gerak geri serta pada cerita dan realitinya sekali.
Umar bin al-Khattab melihat seorang lelaki sedang beria-ia sembahyang, menundukkan kepalanya, menunjukkan rendah diri dan khusyu’ lalu Umar bercakap dengan suara yang kuat; “Jangan matikan agama kita, nanti Allah akan mematikan awak! Angkat kepala awak, sebab khusyu’ pada hati bukan pada tengkuk!” Antara kata-katanya yang indah ialah: “Ya Allah hamba berlindung kepada-Mu daripada khusyu’ munafik.” Lalu ditanya apakah khusyu’ munafik? Jawabnya: “Dilihat badannya khusyu’ tapi hatinya tidak khusyu’!“
Syafa binti Abdullah melihat beberapa pemuda berjalan dengan lemah dan tunduk. Dia bertanya dengan kehairanan: “Siapakah orang-orang ini? Dia diberitahu: “Mereka itu orang- orang yang kuat beribadat.” Syafa berkata: “Sedangkan Saidina Umar bila berjalan dia berjalan dengan cepat, bila bercakap suaranya kuat dan apabila dia memukul akan terasa sakit. Dialah ahli ibadat yang sebenar. Rasulullah SAW dengan sifatnya bersopan santun, apabila baginda berjalan, baginda berjalan dengan laju seperti sedang menuruni bukit.”
Abu Hurairah berkata: “Aku tidak melihat seorang lebih baik daripada Rasulullah SAW seolah-olah matahari berlari di hadapannya, dan aku tidak pernah nampak orang lain yang berjalan lebih laju daripadanya seolah-olah bumi ini berpusing, kami terpaksa mengerah tenaga, sedangkan baginda macam biasa sahaja.“
Sumber: Kemanisan Iman oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi
Leave a Reply