Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Ia juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin dan waktunya bermula setelah terbitnya matahari. Tambahan pula, Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” [Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]
Kelebihan Solat Dhuha
Antara kelebihan solat Dhuha yang lain adalah dua rakaat solat Dhuha menyamai kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” [Riwayat Muslim (720)]
Kesimpulannya, menjadi satu kemestian bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah agar melaksanakan solat sunat Dhuha pada setiap hari. Ini kerana, ia merupakan sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap segala nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita termasuklah nikmat sendi-sendi di dalam badan kita ini.
Waktu Solat Sunat Dhuha
Waktu Solat Sunat Dhuha bermula daripada terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) sehingga sebelum tergelincir matahari iaitu di antara 830 sehingga 1230 tengahari. Waktu terbaik untuk Solat Sunat Dhuha ialah ketika pasir menjadi panas disebabkan matahari sudah mulai terpancar terik.
Bilangan Rakaat Solat Sunat Dhuha
Solat Dhuha boleh dilakukan hanya 2, 4, 6 atau 8 rakaat, setiap 2 rakaat 1 salam. Tiada surah khusus yang perlu dibaca ketika Solat Sunat Dhuha tetapi antara surah-surah yang dianjurkan ulama dalam solat dhuha ialah Ayat Kursi (Rakaat Pertama) dan Al-Ikhlas (Rakaat Kedua) atau; As-Syams (Rakaat Pertama) dan Ad-Dhuha (Rakaat Kedua) atau Al-lail (Rakaat Pertama) dan Al-Insyirah (Rakaat Kedua).
Istighfar Yang Diamalkan Seusai Solat Dhuha
Ini menurut hadis sahih dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata bahawa Rasulullah SAW, di mana diriwayatkan selesai solat Dhuha, baginda membaca doa Dhuha / mengucapkan, اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ Ertinya: Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang) sampai baginda membacanya seratus kali. (HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 619. Syaikh Al-Albani mengatakan bahwa hadis ini sanadnya sahih.)

Doa Solat Sunat Dhuha Sebagai Amalan
Tiada satu doa khusus yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk solat sunat Dhuha. Namun begitu, terdapat beberapa doa yang mahsyur yang diamalkan para ulama’ selepas solat sunat Dhuha. Ini salah satu diantaranya:

Akhirnya, marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan beristiqamah dalam melaksanakan solat sunat Dhuha ini di dalam kehidupan seharian kita walaupun cuma dua rakaat kerana itu lebih dikasihi oleh Allah SWT sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” [Riwayat Muslim (783)]
InsyaAllah.
Rujukan: Solat Dhuha
Leave a Reply