Oleh: Mymuslimin.com
Sekali pandang tidak perasan bahawa rumah lama ini sebenarnya ialah sebuah restoran. Dimiliki oleh sutradara sohor Allahyarham Mohamad Mohamad Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid, Sarang Art Hub yang terletak di tengah pekan Tanjong Malim ini merupakan salah satu tarikan utama di sini.


Sarang Art itu memberi bermaksud ‘tempat kediaman’ atau ‘markas’ hasil seni kerana pemiliknya memang seorang jiwanya sarat dengan seni. Setiap ruang restoran ini dipenuhi dengan poster-poster filem, peralatan lama seperti mesin taip, gramofon, skrip filem, pelbagai lukisan, foto-foto pengambaran, grafiti dan juga sarang-sarang burung tempua, seolah-olah setiap sudut ingin bercerita, menglipur lara, berdongeng kepada pengunjungnya.


Dekor Sarang Art Hub unik dan mencerminkan personaliti dan kecenderungan si pemilik. Kerusi makan di sini bukan kerusi makan biasa, kerusi pengarah filem antara yang tersedia.
Allahyarham Mamat Khalid dikenali dengan banyak karya filemnya, dan antara filemnya yang pecah panggung ialah Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombi Kampung Pisang. Sarang Art Hub telah mengabadikan nama-nama karakter filem ini di dalam menu seperti Nasi Goreng Petai Kak Limah Mengilai (RM6.50), Nasi Goreng Kampung Pisang, Mee Goreng Pak Jabit (RM6.50) dan Nasi Goreng Cina Wan Kaswi.
Tim kami mencuba Nasi Goreng Petai Kak Limah Mengilai, dan walaupun namanya sedikit menggerunkan untuk makanan, rasanya serupa seperti nasi goreng mak yang biasa kita makan di kampung. Bilangan petainya juga cukup-cukup, tidak terlalu banyak, tidak pula terlalu sedikit. Memang lazat.

Selain makanan Melayu, ada juga menu makanan Omputih seperti Sarang Cheezy, Spaghetti Aglio Olio, Spaghetti Carbonara, Lamb Chop, Chicken Chop, dan lain-lain lagi. Kami juga mencuba Sarang Nachos, hidangan kudap-kudap Nachos rangup ‘berlauk’ sos daging, krim masam dan kuah keju (RM6.50), sangat memuaskan. Antara kudap-kudap lain yang boleh dicuba termasuklah sup cendawan dan roti bawang putih (RM5.00), Milky Milo Toast (RM4.50), Lempeng dan Sambal Tumis.

Sarang Art Hub ini telah dijadikan pusat seni ini dengan memperoleh kerjasama dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Allahyarham, yang juga anak jati Perak, telah memusatkan pelbagai program seni di Sarang Art Hub dan menjadikannya sebagai hub seni peminat seni tanah air.

Untuk mereka yang berkunjung ke Tanjong Malim atau ingin singgah sebentar ke pekan kecil ini, Waze sahaja Sarang Art Hub untuk menikmati suasana dan makanannya.
Sarang Art Hub
Jalan Rumah Rehat, Taman Bandar, 35900 Tanjong Malim, Perak
Buka Setiap Hari: 3:30 ptg – 11:00 malam
Leave a comment