Luangkan Masa Cuti di Eslite Bookstore, StarHill Bukit Bintang KL 

Oleh: Mymuslimin.com

Untuk menjadi masyarakat Madani, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pendidik dan ibu bapa agar menekankan budaya membaca sejak dari kecil lagi. “Negara ini harus diangkat menjadi negara Madani. Yang ada ilmu, yang ada nilai, yang ada ihsan, yang ada rahmah, semua itu boleh dipupuk melalui semangat membaca,” katanya sewaktu berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.

Oleh itu, bersempena cuti sekolah ini, ibu bapa bolehlah mendekatkan anak-anak kepada buku dengan meluangkan masa di Eslite Bookstore yang baru dibuka sekitar Disember tahun lalu. Rangkaian kedai buku terkemuka Taiwan yang mempunyai 48 rangkaian di Taiwan, Jepun dan China ini memilih Malaysia sebagai cawangan pertamanya di Asia Tenggara, satu keputusan yang sangat menggembirakan bibliofil.

Terletak di dalam pusat membeli-belah terkemuka StarHill, berhadapan dengan pusat membeli-belah Pavilion, Bukit Bintang, Eslite Bookstore menawarkan pelbagai genre, beribu judul buku berbahasa Inggeris, Cina dan Melayu untuk santapan pelanggannya daripada setiap peringkat umur.

Penggemar buku tentu sekali akan meluangkan masa yang lama di dalam kedai ini yang bukan sahaja mempunyai dekor yang menenangkan tetapi juga menawarkan tempat duduk selesa dan ruang untuk mentelaah serta cafe untuk secawan kopi panas. 

Ruangan Buku Melayu di sini menampilkan karya-karya tersohor yang diterjemah kepada bahasa Melayu, novel-novel terkini, buku-buku sejarah, dan tidak lupa juga buku-buku agama Islam yang menarik. 

Eslite Bookstore juga kerap mengadakan sesi bercerita dan bengkel kraftangan untuk kanak-kanak. Dan untuk orang dewasa terdapat ruang Eslite Forum tersedia untuk mendengar tokoh-tokoh mengupas tentang pelbagai topik. 

Selain menampilkan judul buku yang hebat, Eslite Bookstore juga menawarkan barangan alat tulis serta pelbagai cenderahati menarik serta perkhidmatan membalut hadiah lengkap dengan kad ucapan. Selain itu terdapat Butik Alat Tulis eksklusif untuk mereka yang gemar mengumpul alat tulis berjenama mewah. 

Anak-anak tidak akan minat membaca jika tiada pendedahan awal dibuat oleh ibu bapa untuk mendekatkan mereka kepada buku-buku yang berkualiti. Tak kenal maka tak cinta. Jadi, ambillah masa ketika cuti sekolah ini untuk meluangkan masa di Eslite Bookstore bagi pengalaman kedai buku masa kini yang amat menyenangkan. 

Eslite Bookstore (Inside Eslite Spectrum)
G36 & L1 01-34, The Starhill, 181, Jln Bukit Bintang, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur
Dibuka Setiap Hari: 10 pagi hingga 10 malam

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑