Jom Jalan Sekinchan

Oleh: Mymuslimin.com

Sekinchan merupakan sebuah perkampungan nelayan kecil yang terletak di Daerah Sabak Bernam, Selangor dan ia juga subur sebagai kawasan penanaman padi. Oleh itu pekan ini telah digelar sebagai Jelapang Padi negeri Selangor. Nama Sekinchan (适耕庄) itu sendiri jika diterjemahkan secara literal, membawa maksud “Sesuai untuk Pertanian”. Selain padi, Sekinchan juga terkenal dengan hasil lautnya. 

Di antara penduduk awal kawasan ini merupakan masyarakat Cina Teow Chew yang bergantung hidup sebagai nelayan. Menurut sejarahnya, pada tahun 1953, ketika negara dilanda pemberontak Parti Komunis Malaya, kerajaan telah mengasingkan orang kampung mengikut kawasan, dan Sekinchan merupakan salah satu kawasan yang terbabit. Sewaktu pemerintahan British, Sekinchan juga digemari oleh ‘orang-orang putih’ sehingga pekan ini diberi jolokan “Ang Mo Gang”. 

Sehingga kini Sekinchan masih lagi menjadi tarikan kepada ramai pelancong dalam dan luar negara. Mengapa? Tentu sekali kerana kehijauan sawah padinya yang luas terbentang serta makanan lautnya yang segar dan beraneka. 

Jarak pekan Sekinchan ialah lebih kurang 100km dari Kuala Lumpur dan mengambil masa sekitar sejam setengah untuk sampai. Jom jalan Sekinchan dengan Mymuslimin!

Itinerari Mymuslimin

Sarapan Roti Canai Pelangi!

Warung ini terletak di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor, ‘on the way’ ke Sekinchan, jadi rugilah kalau tak singgah.  Bukan sekadar gimik warna roti persis pelangi, Warung Dimyati Roti Canai Pelangi menghidangkan roti canai yang lembut di dalam dan garing di luar! Mana nak dapat roti canai hijau, biru, merah jambu dan kuning, kalau bukan di sini. Kami beri lima bintang kepada rotinya. 

Waze: Warung Dimyati Roti Canai Pelangi | Buka: 7 pagi – 12 tengahari | Tutup: Isnin dan Jumaat

Pantai Redang, Sekinchan

Dengan pemandangan yang cantik, langit dan air laut membiru, Pantai Redang memberi ketenangan kepada warga kota yang melihatnya. Terdapat perkampungan nelayan berhampiran, menarik untuk bergambar bersama bot nelayan di tepi pantai. Gerai menjual hasil laut kering juga terdapat di sini. 

Waze: Pantai Redang, Sekinchan | Buka: 24 jam

Sesi Fotografi Di Sawah Padi

Ramai yang datang ke Sekinchan untuk peluang bergambar dengan sawah padi yang terbentang menghijau. Bukan semua berkesempatan untuk pergi ke negeri Jelapang Padi di Utara tanahair, jadi Sekinchan pun jadilah. Namun, jika mahukan suasana sawah padi yang menghijau, datanglah di antara bulan Mac dan April atau Ogos dan September, kerana ketika musim menuai, warnanya tidak lagi hijau tetapi menjadi lautan keemasan selepas padi-padi dituai.  

Boeing 727, Terminal Sekinchan

Usaha terbaru untuk mempromosikan Sekinchan ialah dengan membawa masuk kapalterbang Boeing 727 ke tengah-tengah sawah padi. Projek ini dinamakan “Terminal Sekinchan” dan buat masa ini pengunjung hanya boleh bergambar dengan kapalterbang ini kerana perincian di dalamnya masih lagi belum selesai. 

Ah Ma House

Jom kembali ke zaman lampau dengan melawat ke Ah Ma House. Terletak di tengah-tengah sawah padi, Ah Ma House disusun atur dengan barangan vintaj, perabot dan peralatan tradisional yang mungkin tiada lagi kelihatan di zaman ini. Ah Ma House juga menjual kuih-muih, biskut dan manisan tradisional Malaysia yang boleh dicuba oleh generasi baharu. 

Waze: Ah Ma House, Sekinchan | Buka: 10 pagi – 6 petang

Mentarang & Makanan Laut

Apakah mentarang? Mentarang ialah sejenis makanan laut bercengkerang yang unik kepada kawasan Sekinchan. Kalau ditanya tim Mymuslimin, kita beri thumbs-up kepada mentarang bakar dan kami menikmatinya di Restoran Faridah Mentarang Bakar dengan harga sekitar RM20 untuk 400gm. Selain mentarang bakar, boleh cuba mentarang masak lemak dan masakan lain.

Waze: Faridah Mentarang Bakar, Sekinchan | Buka: 10am – 5 petang

Roti Sedap di Roti Aman Jaya

Beli roti di Sekinchan?? Ye, roti di sini sedap. Mula dibuka pada tahun 1977, kedai roti yang berusia lebih 45 tahun ini merupakan satu-satunya kedai roti di Sekinchan! Roti krim Aman Jaya (RM1.10) ialah roti paling popular di sini dan pelanggan membeli sekali 50 bungkus dan ke atas. Jangan beli 5, menyesal nanti!

Waze: Roti Aman Jaya, Sekinchan | Buka: 10 pagi – 6 petang (Sabtu tutup)

Cendol Durian Borhan

Dah sampai Sekinchan, jomlah pekena cendol durian D24 di Cendol Durian Borhan. Campuran cendol, kacang merah rebus, gula merah, ais kisar dan santan kelapa ditambah dengan dua ulas durian asli D24, kami tersenyum sebentar menikmati kelazatannya. Jagung cendol dan biasa juga ada untuk dicuba.

Waze: Cendol Durian Borhan | Buka: 10 pagi – 7 petang (Jumaat tutup)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑