Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam naungan Allah SWT. Khatib mengingatkan para jemaah agar memberi sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang lagha seperti menggunakan telefon dan berbual-bual. Alangkah ruginya jika kita sudah berada dalam masjid ini tetapi kita masih terleka dengan urusan dunia.
Bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, khutbah pada hari ini membicarakan khusus tajuk: “Dirgahayu Tuanku: Di Bawah Naungan Ilahi”.
Sebelum itu, khatib ingin mengingatkan sidang jemaah sekalian agar terus istiqamah mengimarahkan masjid, surau dan majlis-majlis ilmu, serta saling berpesan antara satu sama lain dalam usaha menyeru melakukan kebaikan dan memberi peringatan dalam mencegah sebarang bentuk kemungkaran.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Kita seharusnya sentiasa bersyukur atas segala nikmat dan kurniaan yang telah diterima tidak kira sama ada banyak atau sedikit, tetap sahaja kita harus mensyukuri pemberian dari Allah SWT. Rasa syukur juga harus kita lafazkan atas nikmat keamanan dan ketenangan hidup di negara yang bertuah ini. Nikmat keamanan dan ketenangan hidup bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh dan dicapai oleh sebahagian negara lain bahkan ia juga sentiasa dicemburui oleh mereka. Tentunya hasil keamanan ini bermula dari kebijaksanaan para pimpinan dari peringkat tertinggi hinggalah ke peringkat bawahan. Semuanya memiliki peranan dan sumbangan masing-masing untuk memakmurkan negara.
Di negara kita, struktur tertinggi pemerintahan negara dipayungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bertindak sebagai Ketua Negara. Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, Perkara 32(1) menyatakan bahawa, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara Malaysia.
Maka sebagai Ketua Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Tertinggi Persekutuan yang mempunyai keutamaan yang lebih daripada orang lain di samping mempunyai kuasa yang luas dan penting dalam menstabilkan negara dan melaksanakan urusan Kerajaan Persekutuan.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini meletakkan fungsi terpenting kepada Seri Paduka Baginda sebagai ketua agama sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan: “Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam”.
Walaupun kita sedia maklum bahawa urusan hal ehwal Islam merupakan urusan negeri, namun Kerajaan Persekutuan terutamanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga turut mempunyai tanggungjawab tertentu berkenaan hal ehwal agama Islam.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Apa jua yang berlaku sepanjang pemerintahan Seri Paduka Baginda merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dipadam dan dinafikan. Kita telah berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan yang sangat besar bukan sahaja di negara kita bahkan seluruh dunia.
Pandemik itu juga telah memberi kesan yang sangat besar kepada struktur kesihatan awam, ekonomi, pendidikan, pentadbiran dan lain-lain lagi.
Kita juga telah menyaksikan perubahan lanskap politik yang sangat drastik dengan ia dilanda badai dan pasang surut yang tidak terjangkau oleh pemikiran. Namun, atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda serta berkat hidayah dan rahmat Allah SWT membolehkan kita semua bangkit dan mempertahankan kestabilan dan kesejahteraan negara tercinta ini.
Sepanjang pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kita telah menyaksikan dan menikmati bermacam bentuk kebijaksanaan dan keadilan Baginda yang mengurus tadbir dan menyelesaikan banyak isu dan konflik yang timbul di negara kita.
Dalam hal ini, kita harus menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dan menumpahkan seluruh ketaatan kepada Baginda kerana ia juga termasuk salah satu perintah agama yang termaktub dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.
Baginda telah bertindak sebagai perekat sosial yang mencantumkan semangat keakraban dan kesepaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini. Baginda sangat menekankan semangat muhibah dan semangat saling menghormati antara kaum yang menjadi asas kepada kestabilan negara. Selaras dengan ajaran Islam yang menekankan konsep tasamuh (saling toleransi) dan menolak fahaman ekstremisme dalam masyarakat.
Dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita, raja diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi dan memiliki fungsi yang bukan sahaja untuk melindungi agama sahaja, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.
Kuasanya melangkaui kepentingan politik, yang mana keputusan atau titah-titah perintahnya berasaskan kepada kepentingan Negara, kesejahteraan rakyat, pelindung perlembagaan dan sebagainya.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Sebagai warganegara, kita wajar menanamkan rasa kecintaan yang tinggi terhadap tanah tumpah darah kita ini dan bersama-sama kepimpinan negara menjayakan hasrat perpaduan dan kesejahteraan negara.
Peranan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu sangat penting dalam memastikan Islam tetap diletakkan pada kedudukannya yang tertinggi dalam pemerintahan negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Seterusnya dengan itu, negara akan terus sejahtera dan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah SWT.
Payung keadilan dan kebijaksanaan yang dihamparkan oleh Seri Paduka Baginda meneduhkan seluruh rakyat di bawah tenangnya rasa aman, damai, sejahtera, dan tenteram. Rakyat perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjaga dan mempertahankan kestabilan negara.
Justeru, inilah tanggungjawab dan kewajipan yang saling melengkapi antara satu sama lain dan membuahkan natijah yang menyeluruh kepada semua. Titah-titah pesanan yang telah disampaikan oleh Baginda Tuanku harus menjadi pegangan yang sentiasa tersemat dalam sanubari kita supaya kita rasa bertanggungjawab menjadi warganegara yang baik dan bekerjasama memakmurkan negara tercinta ini. Ingatlah pesan Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah Radiallahu’anhu, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya”. (Hadis riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman)
Dirgahayu Tuanku! Khatib dan seluruh rakyat di negara ini sentiasa mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan keberkatan usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sebagai payung yang menaungi keamanan dan kesejahteraan seluruh rakyat di negara ini.
Mudah-mudahan rahmat, maghfirah, keberkatan dan bimbingan Allah SWT sentiasa mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mentadbir negara tercinta ini menuju baldatun taiyibatu wa rabbun ghafur.
Insya-Allah.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari yang mulia ini, khatib ingin meninggalkan para jemaah dengan beberapa pesanan:
Pertama: Setiap individu bermula dari pemimpin tertinggi hingga ke peringkat bawahan bertanggungjawab memelihara kemakmuran dan keamanan negara.
Kedua: Mentaati pemerintah merupakan salah satu dari tuntutan agama yang termaktub dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Ketiga: Seluruh rakyat bertanggungjawab menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan bersama-sama kepimpinan negara memelihara dan mempertahankan keharmonian dan kestabilan negara.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 59: Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Tarikh Dibaca: 13 Zulkaedah 1444H/2 Jun 2023M
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment