Oleh: Shaykh Ismail Kamdar
(Nota Editor – 18 Februari 2023 – Amaran: Artikel ini TIDAK ditujukan kepada wanita yang pernah mengalami keganasan rumahtangga. Perspektif artikel ini daripada konteks lelaki baik yang menghormati isteri mereka dan melayan isteri mereka dengan baik. Sekiranya anda pernah mengalami penderaan atau trauma dalam perkahwinan, artikel ini mungkin anda membangkitkan memori yang tidak menyenangkan.
Artikel ini ditulis untuk mencapai dua matlamat utama:
1) Untuk mendedahkan mereka yang tidak mengetahui pendidikan Islam tentang topik ini
2) Untuk membantah mereka yang cuba untuk mengubah Shariah
Sila baca artikel ini dalam konteks yang sebenarnya untuk memahami mengapa kami menulis dan menyiarkannya.)
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perang gender antara anak muda Islam telah mencapai kemuncak yang hangat. Anak-anak muda lelaki dan perempuan berhujah dengan penuh semangat dalam pelbagai topik berkaitan Islam dan jantina. Salah satu topik yang sering muncul ialah konsep taat kepada suami. Satu pihak berhujah bahawa Islam itu mempromosikan hierarki kuasa di mana suami merupakan ketua kepada rumahtangga dan perlu dipatuhi, manakala satu pihak lagi berhujah bahawa hierarki kuasa yang begitu adalah konsep kuno dan perkahwinan itu sebenarnya ialah satu perkongsian.
Di dalam artikel ini, kita akan membincangkan apa yang diajar oleh Al-Qur’an dan Sunnah tentang ketaatan kepada suami dan membincangkan beberapa sebab di sebalik pendirian Islam terhadap hubungan suami/isteri.
Konsep Ketaatan dalam Al-Qur’an dan Sunnah
Kajian terperinci al-Quran dan Sunnah, serta ulasan klasik mengenai sumber-sumber ini jelas menunjukkan bahawa Islam menggalakkan idea hierarki kuasa dalam perkahwinan. Seorang lelaki sepatutnya memimpin keluarganya, dan sebagai balasan, keluarganya mesti patuh dan mengikut arahannya. Konsep ini dibuktikan melalui pelbagai ayat dan hadis. Ayat yang biasa dipetik mengenai peranan jantina menjelaskan perkara ini.
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.” (Surah al-Nisa 4:34)
Ibn Kathir (RA) menerangkan separuh pertama ayat ini bermaksud, “Lelaki bertanggungjawab ke atas wanita, dan dia adalah pemelihara, penjaga dan ketua yang mendisiplinnya jika dia menyimpang.” Dan Abdullah Ibn Abbas (RA) menjelaskan bahawa ketaatan di sini merujuk kepada ketaatan kepada suami.
(https://quran.com/4:34/tafsirs/en-tafisr-ibn-kathir)
Terdapat beberapa hadis yang menyokong pendapat ini juga, termasuk yang berikut:
“Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya; nescaya akan dikatakan padanya: ‘Masuklah ke dalam syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu’,”(Ibn Hibban)
“Wanita mana saja yang meninggal dunia, kemudian suaminya reda terhadapnya, maka ia akan masuk ke Syurga”. (Tirmidhi)
Ketika Rasulullah SAW ditanya perempuan manakah yang terbaik, Baginda SAW menjawab, “Isteri yang menggembirakan (suaminya) apabila dia melihat kepadanya, mematuhinya apabila dia memerintahkan, dan tidak menyalahi kehendaknya terhadap dirinya atau hartanya dengan melakukan sesuatu yang tidak disukainya.” (Tirmidhi)
Ayat-ayat dan hadis-hadis di atas, serta tafsiran yang banyak ditulis tentangnya, semuanya menunjukkan perkara yang sama, ketaatan adalah hak seorang suami terhadap isterinya, sebagaimana ketentuan dan perlindungan adalah hak isteri daripada suami. Dalam Islam, perkahwinan adalah akad yang merangkumi pertukaran hak bersama. Daripada hak-hak ini adalah hak keintiman bagi kedua-dua belah pihak. Di samping itu, wanita mempunyai hak untuk perlindungan dan peruntukan dan layanan yang baik. Sebagai gantinya, lelaki mempunyai hak kepimpinan ke atas rumah tangga. Dengan kepimpinan ini datangnya ketaatan daripada mereka yang berada di bawah kekuasaannya.
Memahami Kuasa Hierarki dalam Islam
Dalam Islam, struktur dan autoriti adalah konsep penting. Islam tidak menggalakkan anarki dan kemungkaran. Setiap perhubungan mesti mempunyai peraturan dan pemimpin yang jelas. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua.” (Abu Dawud)
Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya kepimpinan dalam apa jua perhubungan. Setiap dinamik kumpulan mesti mempunyai pemimpin yang jelas, dan untuk pemimpin itu mempunyai sebarang kuasa, pengikutnya perlu mematuhinya. Kaveat yang mesti ditambah di sini ialah ketaatan dalam Islam adalah bersyarat kepada ketaatan kepada Allah. Ini bermakna tidak boleh mentaati pemimpin apabila dia memerintahkan kamu melakukan sesuatu yang dilarang. Walau bagaimanapun, di luar itu, ketaatan adalah perlu untuk mana-mana sistem berfungsi.
Orang Islam dituntut untuk mentaati pemimpin. Ini termasuk mentaati pemerintah, mematuhi undang-undang negara, mematuhi peraturan tempat kerja, sekolah atau universiti, mentaati ibu bapa, dan mentaati suami. Semua hubungan di atas adalah serupa kerana ketaatan diperlukan untuk dinamik berfungsi dengan baik. Tanpa ketaatan, jawatan kepimpinan tidak bermakna. Bayangkan negara di mana pemerintah tidak mempunyai kuasa, atau perniagaan di mana arahan CEO tidak bermakna. Ini juga merupakan fitrah perkahwinan yang tidak ada ketaatan kepada suami.
Selain mentaati suami, kebanyakan orang tidak mempunyai masalah dengan mana-mana perkara di atas. Mematuhi ibu bapa, bos, atau pemerintah bukanlah kontroversi dan difahami sebagai perlu untuk masyarakat berfungsi dengan baik. Hanya ketaatan kepada suami yang menjadi masalah masyarakat moden. Ini berpunca daripada pemahaman moden tentang hubungan dan jantina yang secara langsung bercanggah dengan Islam.
Tambahan pula, terdapat peraturan yang mengawal kepimpinan dalam Islam yang juga terpakai dalam konteks perkahwinan. Lelaki diarahkan untuk bersikap baik dan memahami isteri mereka, mengabaikan kelemahan manusia mereka, dan memimpin dengan keadilan dan belas kasihan. Dalam konteks mempunyai suami yang soleh yang penyayang, seharusnya tidak ada isu dengan menerima peranan kepimpinannya dalam perkahwinan.
Kefahaman Islam Tentang Perkahwinan
Ramai anak muda Islam hari ini memegang idea yang tidak realistik dan tidak Islamik mengenai perkahwinan. Disebabkan pengaruh media Barat, mereka melihat perkahwinan sebagai kisah cinta, di mana seseorang itu menemui jodoh mereka, jatuh cinta, dan kemudian hidup bersama bahagia selama-lamanya. Butiran bagaimana mereka hidup bersama sering tidak jelas. Idea yang tidak realistik ini terus dikacau oleh idea-idea seperti hiper-individualisme, kapitalisme, dan idea feminis. Hasilnya ialah idea yang samar-samar tentang hubungan yang semuanya tentang cinta, dan tidak ada yang lain.
Perkahwinan dalam Islam sangat berbeza. Perkahwinan adalah akad antara lelaki dan perempuan untuk menjadikan hubungan mereka sah di sisi Allah. Dari segi sejarah, ia dilihat sebagai kemudahan untuk memudahkan kehidupan kedua-dua pihak. Pada mulanya, tarikan adalah penting. Cinta mungkin atau mungkin tidak berkembang dari masa ke masa, tetapi ia tidak penting untuk perkahwinan itu berjaya. Selagi kedua-dua pasangan mencuba yang terbaik untuk memenuhi hak masing-masing, perkahwinan akan mekar dan berkekalan. Cinta tidak dilihat sebagai faktor yang diperlukan untuk memulakan perkahwinan, tetapi hasil daripada perkahwinan yang kukuh.
Orang Islam berkahwin untuk menjaga maruah mereka, mendapat akses kepada keintiman yang halal, melahirkan anak, dan mempunyai teman hidup yang sah. Cinta hanyalah hasil daripada melakukan semua perkara ini dengan baik. Untuk mencapai tahap itu, Islam telah meletakkan undang-undang yang jelas mengenai peranan gender.
Untuk sesebuah perkahwinan berfungsi dengan baik, peranan yang jelas telah ditetapkan oleh Allah SWT. Seorang lelaki mesti memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Ini memerlukan masa yang lama berjauhan dari rumah bekerja keras. Kebanyakan masa seorang lelaki pergi bekerja keras untuk menyediakan kehidupan yang baik untuk keluarganya mengikut kemampuannya. Sebagai balasan, seorang lelaki berhak untuk mengharapkan rumah yang berfungsi dengan lancar dan menjadi sumber ketenangan untuknya selepas bekerja. Ini hanya boleh berlaku jika isterinya menyenangkan hati dan sesuai dengan misi dan tujuannya. Untuk rumah tangga berjalan dengan baik, seorang lelaki mesti memimpin dengan keadilan dan kebaikan, dan seorang isteri mesti mengikuti dengan ketaatan dan kasih sayang serta sokongan.
Apakah Rupa Ketaatan?
Ketaatan mungkin kedengaran menakutkan dalam konteks perkahwinan. Sama seperti sesetengah pemerintah, CEO dan ibu bapa mungkin menyalahgunakan jawatan kepimpinan mereka, ada kemungkinan bahawa sesetengah lelaki mungkin menyalahgunakan peranan kepimpinan mereka juga. Ini adalah dosa besar di pihak lelaki, dan seorang wanita harus mendapatkan bantuan undang-undang melalui mahkamah Islam dalam kes sedemikian.
Kebanyakan lelaki, bagaimanapun, tidak seperti ini. Rata-rata lelaki Muslim mahukan rumah tangga yang penuh kasih sayang dan akan menjalankan tanggungjawabnya untuk membina rumah tangga yang sebegitu, tetapi dia mengharapkan isterinya untuk melakukan bahagiannya juga. Orang yang baik memimpin dengan keadilan dan visi yang memberi manfaat kepada seluruh keluarganya. Dalam keluarga seperti itu, ketaatan tidak sukar.
Ketaatan cenderung merangkumi isu-isu utama berikut:
1) Seorang lelaki mesti mengharapkan keluarganya mematuhi undang-undang Allah dan mesti melaksanakan undang-undang ini di rumahnya. Dia mempunyai hak untuk menegakkan hijab ke atas isteri dan anak perempuannya, dan memastikan ahli keluarganya semua menunaikan solat tepat pada waktunya.
2) Seorang lelaki mesti menjelaskan apa yang dia harapkan daripada isterinya dalam kehidupan seharian, supaya dia boleh bersedia untuk menjalani kehidupannya dengan sewajarnya. Keperluan ini harus dibincangkan dan harus munasabah. Sebagai contoh, jika seorang lelaki memerlukan isterinya memasak setiap hari, ini harus dijelaskan sebelum berkahwin supaya wanita itu boleh membuat keputusan termaklum sama ada ini adalah hubungan yang sesuai untuknya atau tidak.
3) Keputusan utama tentang keluarga biasanya akan dibincangkan dan dicapai melalui perundingan, tetapi lelaki memegang kata putus. Ini termasuk keputusan tentang cara kanak-kanak dididik dan didisiplin, keputusan untuk berhijrah dan perumahan, dan peraturan-peraturan am di rumah.
4) Secara khusus, Islam menjelaskan bahawa isteri dilarang menolak keperluan intim suaminya melainkan ada sebab yang munasabah di luar kawalannya. Ini adalah hak berasingan yang kami akan jelaskan dalam artikel akan datang.
Jika empat bidang di atas jelas, dan keluarga hidup dengan sewajarnya, maka isu ketaatan jarang timbul. Ia hanya menjadi isu dalam satu daripada dua kes ekstrem. Salah satu kes ialah isteri derhaka yang sengaja menyakitkan hati suaminya dengan enggan mengikut peraturan. Satu lagi ialah suami yang berlagak à la diktator yang menyalahgunakan kuasa dengan membuat tuntutan dan permintaan yang tidak munasabah. Kedua-dua jenis tingkah laku ini adalah dilarang. Selagi seorang suami menggunakan kedudukannya untuk memimpin keluarganya dengan baik, dan isteri serta anak-anaknya mengikut arahannya dengan penuh kasih sayang, sesebuah keluarga akan berfungsi dengan baik dan mencapai objektifnya.
Tambahan pula, isu-isu utama perlu ditaati oleh seorang isteri adalah berkaitan dengan kehidupan keluarga. Dia tidak perlu meminta kebenaran suaminya untuk perkara yang tidak berkaitan langsung dengan perkahwinan mereka seperti cara dia menjalankan perniagaannya, atau hubungannya dengan ibu bapanya sendiri, atau aktiviti halal yang dia lakukan untuk berseronok. Ketaatan ini bukan diktator, ia hanyalah mekanisme untuk memastikan rumah tangga berjalan lancar.
Psikologi Ketaatan dan Cinta
Bagi seorang wanita muda yang tidak pernah jatuh cinta, idea untuk taat kepada lelaki mungkin kedengaran menakutkan dan bertentangan dengan apa yang dia jangka. Jenis cinta yang dipaparkan dalam filem dan rancangan televisyen selalunya adalah fantasi dan bukan gambaran yang tepat tentang cara hubungan sebenar berfungsi. Di dunia nyata, ketaatan dan kasih sayang tidak eksklusif, sebaliknya ia saling berkaitan secara langsung dalam dua cara yang sangat mudah:
1) Lelaki, secara umumnya menyukai wanita yang menyokong, patuh, tunduk, dan mudah bersetuju. Mereka pula akan mencintai, memanjakan, dan melakukan apa sahaja untuk wanita tersebut.
2) Apabila seorang wanita mencintai seorang lelaki, dia ingin menyokongnya, membahagiakannya, dan melakukan apa sahaja yang dia minta sebagai cara untuk menyatakan cintanya kepadanya.
Ketaatan dalam banyak cara adalah kunci untuk membuka tahap cinta yang lebih mendalam.
Apabila seorang lelaki berasa dihormati dan disokong, cintanya terhadap isterinya bertambah dan dia akan bekerja lebih keras untuk menyediakannya dengan kehidupan yang terbaik yang dia mampu. Apabila seorang wanita mencintai seorang lelaki, dia menyokongnya dalam misi hidupnya dan mengikut arahannya dengan gembira dan penuh kasih sayang. Oleh itu, ketaatan adalah kunci kepada cinta dan ungkapan cinta itu sendiri.
Mempercayai Kebijaksanaan Allah yang Sempurna
Allah SWT mencipta kita. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita. Dia telah mengeluarkan arahan ini kerana inilah yang terbaik untuk keluarga, masyarakat dan individu. Kadang-kadang kita mungkin tidak memahami perintah Allah SWT semasa kita masih muda, tetapi masa dan pengalaman mengajar bahawa itulah yang terbaik untuk kita. Orang beriman tunduk kepada Allah walaupun dia tidak memahami hikmah di sebalik hukum-hukum Allah.
Sekiranya seorang wanita Islam masih bergelut untuk menerima keputusan ini selepas penjelasan di atas, maka dia hanya perlu bertawakal bahawa Allah SWT lebih mengetahui, dan taat kepada suaminya kerana Allah. Setiap perbuatan baik yang dilakukan kerana Allah SWT juga akan membawa kepada hasil yang terbaik di kedua-dua dunia.
“Apabila seorang wanita solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam syurga dari pintu-pintu syurga yang mana saja yang kamu kehendaki”. (Ibn Hibban)
Tentang Penulis: Shaykh Ismail Kamdar ialah pakar dalam bidang Feqah, Tafsir, Sejarah, Perkembangan Peribadi, and Pendidikan
Artikel Asal: Izzah Academy
Terjemahan Oleh: Mymuslimin
Leave a comment