Teks Khutbah Jumaat: Seruan Haji 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan menjunjung dan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala yang larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan takwa yang kita bangunkan, kehidupan kita akan menjadi lebih baik, diberkati dan dilimpahi rahmat Allah SWT. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Seruan Haji”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan bagi umat Islam yang berkemampuan. Haji dari segi bahasa bererti menuju dan mengunjungi sesuatu tempat. Menurut istilah syarak pula, haji ialah menuju ke Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syaratnya. Renungkan firman Allah SWT, dalam surah al-Hajj, ayat 27 yang dibacakan tadi yang bermaksud:

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Umat Islam di seluruh dunia termasuklah dari negara kita sudah mula berangkat bagi menunaikan ibadah haji. Ramai dalam kalangan saudara mara kita, sahabat handai dan jiran tetangga telah diberikan peluang pada tahun ini untuk menjadi tetamu Allah. 

Ketahuilah bahawa selain ia adalah suatu jemputan khas daripada Allah SWT, memperoleh haji yang mabrur juga adalah termasuk dalam sebaik-baik amalan. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallhu’anhu, beliau berkata yang bermaksud:

“Nabi SAW telah ditanya: Apakah amalan-amalan yang paling utama? 
Baginda menjawab: Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. 
Baginda ditanya lagi: Kemudian apakah selepas itu? 
Baginda menjawab: Berjihad di jalan Allah. 
Baginda ditanya lagi: Kemudian apakah selepas itu?
Baginda menjawab: Haji yang mabrur.”

Ibadah haji mempunyai kelebihan dan keutamaan yang besar di sisi Allah SWT. Pelaksanaan ibadah haji merangkumi wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina, melontar Jamrah, tawaf dan sai, serta tahallul.

Kesemua amalan itu adalah suatu rehlah keimanan bagi setiap individu yang melaksanakannya. Mereka yang mengerjakannya dengan sepenuh keikhlasan dan pengharapan pasti akan diberikan keampunan oleh Allah SWT dan dikurniakan ganjaran syurga di akhirat kelak.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Istito’ah atau berkemampuan ialah syarat utama untuk pelaksanaan haji. Konsep istito’ah hendaklah dilihat dari semua sudut selaras dengan mafhum nas al-zad wa al-rahilah (ada bekalan dan keperluan) dan amn al-tariq (aman dalam perjalanan) dan juga tasrih (kuota dan visa kebenaran haji).

Justeru, mempunyai wang yang cukup dengan jumlah harga semasa adalah di antara syarat istito’ah yang penting tanpa bergantung kepada sumber lain termasuk kewangan yang mencukupi sebelum, semasa, dan selepas menunaikan haji. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman menerusi surah Ali ‘Imran, ayat 97 yang bermaksud: “…Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya…(Ali ‘Imran 3:97)

Pada tahun ini, kos menunaikan ibadah haji ialah sebanyak RM30,850.00 bagi setiap individu dan telah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu B40, M40 dan T20.

Melihat kepada pengingkatan kos tersebut, kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji telah menetapkan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada jemaah Muassasah kali pertama yang melibatkan kumpulan B40 dan M40. Bagi kumpulan B40, kos haji yang perlu dibayar ialah sebanyak RM10,980.00 setelah bantuan RM1,000.00 yang diberikan oleh pihak kerajaan Malaysia. Bagi kumpulan M40 pula, kos haji yang perlu dibayar ialah sebanyak RM15,980.00. Manakala bagi kumpulan T20, mereka perlu membayar kos keseluruhan menunaikan haji sebagaimana yang telah ditetapkan.

Sebagai seorang mukmin, kita mestilah berusaha sedaya upaya untuk mencapai tahap kemampuan atau istito‘ah untuk menunaikan ibadah haji terutama dengan meningkatkan tabungan simpanan bagi memenuhi kos haji.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kepada yang akan berangkat menunaikan haji, mimbar ingin mengingatkan agar memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ibadah-ibadah di samping memastikan segala rukun dan syarat dapat dipatuhi dengan sempurna. Dalam menunaikan ibadah haji, adab dan akhlak mestilah dijaga dengan sebaiknya. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahu’anhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji di Baitullah ini (kerana Allah), sedang dia tidak melakukan rafath (bercakap perkara keji) dan tidak melakukan fasiq (amalan dosa dan maksiat), maka dia kembali seperti mana dia dilahirkan oleh ibunya.”

Oleh itu, berpada-padalah melakukan hal-hal keduniaan yang tidak berkaitan dan yang boleh menjejaskan kualiti ibadah haji. Ini termasuklah dengan mengelakkan diri daripada terlalu asyik dengan media sosial. Marilah kita mendoakan agar para jemaah haji pada kali ini beroleh haji yang mabrur dan diterima Allah. Bagi kaum muslimin yang masih belum berpeluang melaksanakan ibadah haji, didoakan semoga tetap bersabar, terus berharap kepada Allah SWT dan mudah-mudahan direzekikan peluang untuk menunaikannya pada musim-musim haji yang akan datang.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan bagi umat Islam yang berkemampuan. Ia juga mempunyai kelebihan dan keutamaan yang besar di sisi Allah SWT.

Kedua: Ketahuilah dan fahamilah segala rukun dan syarat wajib haji terutama mengenai istito’ah atau berkemampuan dari aspek kewangan, kesihatan, pengangkutan, keamanan dan termasuk juga kuota yang ditetapkan.

Ketiga: Berusahalah sedaya upaya untuk mencapai tahap kemampuan dan istito‘ah untuk menunaikan ibadah haji terutama dengan meningkatkan tabungan simpanan bagi memenuhi kos haji.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 197 yang bermaksud: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Al-Baqarah 2:197)

Tarikh Dibaca: 20 Zulkaedah 1444H/9 Jun 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑