Oleh: Shaykh Ismail Kamdar
Tawakul sering dibincangkan sebagai konsep teori. Kebanyakan orang Islam tahu bahawa kita perlu mempunyai Tawakul (bertawakal kepada Allah) tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana untuk melakukannya. Dalam artikel pendek ini, saya berharap dapat menunjukkan beberapa langkah praktikal yang akan membantu menjadikan Tawakul sebagai realiti di dalam kehidupan kita.
Ingatlah bahawa Tawakul merupakan ibadah dalaman. Ia adalah sesuatu yang kita lakukan di dalam diri kita dan kita mendapat keredhaan Allah untuk melakukannya. Jadi, amat penting untuk kita mempelajari cara melakukan ibadah dalaman ini dengan betul.
Langkah-langkah berikut diambil dari Madaarij As-Salikeen karya Ibn Al-Qayyim, dan disusun semula untuk pembaca berbahasa Inggeris (diterjemah kepada bahasa Melayu oleh mymuslimin.com)
1. Mengenali Sifat-Sifat Allah SWT
Langkah praktikal pertama untuk merealisasikan Tawakul ialah dengan mengenali Allah SWT.
Dia berkuasa ke atas segala-galanya, jadi hanya Dia yang boleh memberikan kejayaan kepada anda. Allah mengetahui segala-galanya, jadi Dia tahu sama ada kejayaan dalam tugas anda itu baik untuk anda atau tidak. Allah SWT melihat segala-galanya, maka Dia akan membalas usaha anda sama ada anda berjaya atau tidak. Dia Maha Penyayang, maka apapun hasilnya, itu adalah sebahagian dari Rahmat-Nya kepadamu.
Semakin mendalam anda memahami nama-nama dan sifat-sifat Allah, semakin mudah untuk mendapatkan Tawakul kepada Allah. Luangkan masa untuk mempelajari nama-nama dan sifat-sifat Allah, dan renungkannya. Ini adalah langkah pertama menuju Tawakul.
2. Berusaha Untuk Mencapai Matlamat Anda
Langkah kedua ialah berusaha untuk mencapai matlamat anda. Cara (Asbab) untuk mencapai matlamat ada dua jenis: duniawi dan rohani. Maksud duniawi merujuk kepada perkara yang perlu kita lakukan di dunia ini untuk mencapai matlamat kita. Kebanyakan daripada kita menyedari perkara ini dan tidak mempunyai masalah untuk melakukan ini.
Walau bagaimanapun, ramai orang Islam lupa bahawa terdapat juga cara rohani yang perlu kita gunakan untuk mencapai matlamat kita. Ini termasuk mendirikan solat lima waktu, mencari rezeki yang halal, makan makanan yang halal, mempunyai niat yang mulia, dan berdoa untuk kejayaan. Mewujudkan cara rohani ini penting untuk Tawakul.
Seseorang yang tidak menunaikan kewajipannya kepada Allah SWT akan menghadapi kesukaran untuk bertawakul, kerana mereka tidak mempunyai cara rohani untuk mendapatkan pertolongan Allah. (Walaupun Allah SWT masih boleh membantu mereka dari Rahmat Ilahi-Nya)
3. Menegaskan Tauhid Dalam Hati
Langkah ketiga ialah menegaskan Tauhid dalam hati. Untuk tidak sesekali meragui kewujudan dan kekuasaan Allah SWT. Ini bermakna anda yakin bahawa Allah SWT mengawal segala-galanya, hanya Dia yang boleh memberikan kejayaan kepada anda dan tiada apa yang berlaku tanpa kehendak-Nya. Melalui keyakinan ini, hati anda akan tertarik kepada Tawakul, dan mempercayai Allah SWT terjadi secara semula jadi.
4. Berdamai Dengan Ketentuan Allah SWT
Untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT kita mesti berdamai dengan Allah. Kita mesti percaya sepenuhnya bahawa Allah, yang khazanah dan kuasa-Nya tidak terbatas, akan menjaga kita dan tidak pernah meninggalkan kita. Kedamaian dalaman mesti masuk ke dalam hati kita kerana kepercayaan ini. Ketenangan batin ini akan mendorong kita untuk bertawakul penuh kepada Allah SWT, kerana kita berdamai dengan Kehendak dan Keputusan-Nya.
5. Bersangka Baik Dengan Allah (Husnuzon)
Husnuzon adalah sunnah yang dilupakan pada zaman kita. Ini sangat penting apabila berurusan dengan Allah SWT. Seseorang Islam mesti sentiasa berfikiran positif tentang Allah SWT. Dia mesti percaya bahawa apa sahaja yang Allah SWT kehendaki untuknya adalah yang terbaik untuknya.
Dia mesti percaya bahawa Allah akan menjawab doanya dalam apa cara sekali pun. Husnuzon di sini bermaksud mempercayai Allah untuk menjaga hasil akhir dengan cara yang terbaik untuk agama dan dunia anda.
6. Menghilangkan Keraguan Dari Fikiran
Syaitan akan cuba mengalihkan perhatian anda dengan membuat anda takut dengan kegagalan, takut akan kemiskinan, dan takut akan kehinaan. Dia akan cuba membuat anda bersangka buruk dengan Allah SWT. Dia mungkin juga akan mensabotaj usaha anda. Anda mesti membuang setiap keraguan ini dengan menghadapi keraguan tersebut. Apabila keraguan memasuki fikiran anda, tolaklah ia dengan pemikiran yang positif.
Sebagai contoh, jika syaitan membuat anda takut miskin, ingatkan diri anda bahawa Allah telah menetapkan rezeki anda dan berjanji untuk memberi anda rezeki. Pemikiran ini akan menangkis keraguan dari fikiran dan menenangkan hati anda. Menghilangkan fikiran jahat adalah penting untuk Tawakul yang murni.
7. Menyerahkan Urusan Kepada Allah SWT
Langkah terakhir Tawakul dipanggil ‘Tafwidh‘ yang bermaksud menyerahkan sepenuhnya urusan kepada Allah.
Setelah mencuba cara duniawi dan rohani, membersihkan fikiran dari pemikiran negatif, fokus pada pemikiran positif, dan menerima kehendak Allah. Langkah seterusnya ialah menyerahkan sahaja hasil akhirnya di tangan Allah SWT.
Tiada apa lagi yang boleh anda lakukan di sini selain menyerahkannya kepada Allah dan bertawakal kepada-Nya. Ini akan membawa harapan dan kedamaian dalaman.
Alternatif (khuatir tentang hasilnya) membawa ketakutan dan kebimbangan. Dengan cara ini, Tawakul adalah penyelesaian kepada kebimbangan.
Langkah Bonus: Redha Dengan Takdir
Langkah ini merujuk kepada perkara yang perlu dilakukan selepas Tawakul, dan menerima keputusan anda. Untuk menyempurnakan ibadah ini pada tahap yang tertinggi, hendaklah mengamalkan ridha bil qadha (Meredhai Takdir).
Tidak kira sama ada keputusan memihak kepada anda atau tidak, seorang mukmin sekurang-kurangnya mesti menerima Kehendak Allah SWT.
Tetapi, untuk mencapai tahap Iman yang lebih tinggi, seseorang harus redha dengan kehendak Allah. Langkah ini amatlah sukar, terutamanya jika hasilnya negatif atau tragis.
Itulah sebabnya ridha bil qadha dianggap sebagai salah satu ibadah dalaman yang paling agung. Semakin berat sesuatu ibadah, semakin besar pahalanya. Oleh itu, kita semua harus berusaha untuk tidak hanya mempunyai Tawakul, tetapi untuk redha dengan kehendak Allah SWT kepada kita juga.
Contoh Praktikal
Berikut ialah contoh praktikal untuk semua langkah di atas:
Matlamat: Seorang pemuda bernama Ahmad ingin membuka perniagaan untuk menyara keluarganya.
Dia tahu bahawa Allah adalah Pemberi Rezeki, dan Allah mahu dia menggunakan cara yang Halal untuk mendapatkan rezeki itu.
Dia melakukan semua usaha yang diperlukan untuk memulakan perniagaannya, dan menghabiskan malamnya di Qiyammulail berdoa untuk kejayaan.
Dia mengingatkan dirinya bahawa tiada apa yang berlaku tanpa Kehendak Allah SWT.
Dia menerima bahawa Allah SWT mengawal takdir-Nya dan berdamai dengan itu.
Dia tahu bahawa Allah SWT akan memberikan yang terbaik untuknya.
Dia menghilangkan semua ketakutan akan kemiskinan dengan mengingatkan dirinya tentang siapa Allah, dan janji Allah.
Dia memulakan perniagaan, tidak tertekan tentangnya, bekerja keras, dan mempercayai Allah SWT akan memberikannya apa yang terbaik untuknya.
Keputusan A: Perniagaan itu berjaya, dan dia berpuas hati dengannya. Dia berterima kasih kepada Allah SWT ke atas kejayaan itu, menzahirkan kesyukuran setiap hari dan membelanjakan hasil daripada pendapatannya untuk ummah.
Keputusan B: Perniagaannya gagal dan ditutup. Dia redha dengan Qadar Allah, dan menerima ini sebagai yang terbaik untuknya. Dia menggunakan pengajaran yang dipelajari daripada perniagaan ini untuk memulakan perniagaan baharu dan mengulangi langkah 1-7 untuk perniagaan baharunya. Disebabkan pengalamannya dalam perniagaan yang gagal, dia melakukan lebih baik dan akhirnya perniagaan barunya berjaya.
Inilah Tawakul dalam amalan.
Semoga Allah memberi kita semua kemampuan untuk mengamalkan Tawakul dalam setiap aspek kehidupan kita.
Amin.
Tentang Penulis: Shaykh Ismail Kamdar ialah pakar dalam bidang Feqah, Tafsir, Sejarah, Perkembangan Peribadi, and Pendidikan
Terjemahan Oleh: Mymuslimin.com
Leave a comment