ASMAUL HUSNA – AL-WAJIDU (Yang Maha Ada)

Asmaul Husna yang ke 65 ialah Al-Wajidu yang membawa erti Tuhan Yang Maha Ada. Mafhum kepada Maha Ada itu boleh juga diertikan sebagai Tuhan Yang Kaya. Dari segi fahaman biasa ‘Berada itu bermaksud ‘Kaya’. Kesimpulannya Al-Wajidu itu bolehlah diertikan sebagai Tuhan yang Kaya.

Apabila seseorang itu beriman kepada Tuhan Kaya, maka wajarlah mereka menjadikan dirinya sebagai orang yang kaya atau berada. Kerana tidak munasabah menjadi hamba kepada Tuhan yang Kaya tetapi keadaan dirinya dalam miskin.

Berusahalah untuk menjadi kaya. Jika kaya yang dimaksudkan itu kaya harta raihlah dengan cara apapun asalkan halal dan diredai oleh Allah SWT. Jangan sampai kekayaan itu menjadikan dia melampaui batas atau lupa daratan, sebagaimana firman Allah SWT:

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat (merasa) dirinya serba kaya.” (Al-Alaq 96: 6-7)

Biarpun sebanyak mana kekayaan yang dimiliki manusia, namun dia tetap miskin di sisi Allah SWT. Sebab itu diharuskan malah dituntut mencari kekayaan, tetapi ditegah merasa diri serba cukup atau kaya. Ini kerana hakikat kekayaan itu hanyalah milik Allah SWT. Biarlah harta berada di tangan kerana ia mudah dibelanjakan, jangan disimpan dalam hati. Kerana ia boleh menyebabkan pemilliknya terlalu cinta kepada harta dan akhirnya menjadi bakhil.

Jika yang diertikan kaya itu ialah kaya ilmu maka tuntutlah ia tanpa jemu, tanpa batas usia, tanpa mengira jauh atau dekat, susah atau mudah. Matlamat yang perlu dicapai ialah menguasai ilmu, atau kaya dengan ilmu.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑