Sifat semula jadi manusia sentiasa berkeluh kesah dan dalam kebimbangan apatah lagi jika ditimpa musibah. Maka ketika itulah mereka berdoa kepada Allah SWT dengan hati yang penuh harap dan bersungguh-sungguh serta perasaan hiba dan merayu-rayu memohon kurniaan Allah SWT agar terlepas dari segala bencana yang menimpa. Itulah sifat manusia, bila susah menjadi resah dan gelisah. Malamnya tidur tak lena, siang ke hulu ke hilir aktif berusaha, meminta tolong dengan Allah SWT dan dengan manusia.
Sayangnya manusia ini terlalu cepat lupa, lebih-lebih lagi ketika dikurniakan dengan berbagai-bagai kemewahan, kesenangan, wang ringgit, pangkat dan sebagainya, Maka dengan mudah saja, mereka lupa akan Allah SWT yang telah memberikan segala kemewahan dan kesenangan tersebut. Malah dengan angkuhnya mereka sanggup melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu mereka. Maka timbullah rasa kedekut serta bakhil untuk membelanjakan harta-harta itu pada jalan yang berkebajikan. Seolah-olah segala kekayaan itu mereka perolehi hasil dari kebijaksanaan dan kekuatan tenaga mereka sendiri sepertimana firman Allah SWT:
“Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat gelisah lagi bakhil. Apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah. Dan apabila dia mendapat kebaikan, dia kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu orang- orang yang tetap mendirikan sembahyang.”
(Surah al-Ma’arij 70: 19-23)
Telah menjadi lumrah manusia mengingati Allah SWT di kala dalam kesempitan, dan dengan mudah juga melupakannya ketika di dalam kemewahan yang melimpah ruah sepertimana kisah yang terjadi kepada Fir’aun.
Oleh kerana kemewahan, kebesaran serta kekayaan, akhirnya Fir’aun telah mengakui dirinya sebagai Tuhan dan telah mengarahkan sekalian manusia di zamannya agar menyembahnya. Ketika Allah SWT menurunkan malapetaka atas kelalaiannya, barulah dia mahu kembali mengingati Allah SWT, tetapi semuanya sudah terlambat. Akhirnya dia menerima kekecewaan akibat perbuatannya sendiri.
Firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 50 yang bermaksud:
“Kemudian adakah setelah terjadinya (azab itu), baharu kamu mempercayainya? Adakah sekarang (baharu kamu mempercayainya) padahal dahulu kamu selalu meminta supaya disegerakan (kedatangannya)?”
(Surah Yunus 10:50)
Kita perhatikan pula ganjaran yang diperolehi oleh orang-orang yang sentiasa mengingati Allah SWT sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Yunus a.s. Sekalipun Baginda dilemparkan oleh kaumnya ke dalam laut dan telah ditelan oleh seekor ikan, disebabkan Baginda sentiasa mengingati Allah SWT dan sentiasa mengharapkan bantuan-Nya, akhirnya Baginda telah terselamat setelah ikan tersebut membawanya ke tepi pantai.
Allah SWT menegaskan dalam Surah As-Shaaffaat ayat 143-144 yang bermaksud:
“Maka kalaulah dia bukan daripada orang-orang yang banyak bertasbih. Tentulah dia akan berada di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan (hari Kiamat). Maka Kami melemparkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai) dalam keadaan sakit.”
(Surah As-Shaaffaat 37:143-144)
Oleh itu, perlu diingat bahawa orang yang mengingati Allah SWT di kala ditimpa kesusahan dan melupakannya dikala senang adalah manusia yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah SWT.
Orang-orang yang demikian itu pasti akan menerima azab seksa yang pedih di akhirat kelak. Sama-samalah kita menanamkan sifat suka bersyukur atas. segala kurniaan Allah SWT dan sentiasa mengingati-Nya di dalam apa jua keadaan sama ada ketika dalam kesulitan mahupun di dalam kemewahan.
Tujuh perkara yang perlu dilakukan untuk mengatasi keluh kesah ialah:
i. Menjaga solat dengan sempurna;
ii. Suka bersedekah kepada orang susah yang meminta dan orang susah yang tidak meminta;
iii. Beriman dan percaya sungguh segala perhitungan dan balasan di hari akhirat;
iv. Sangat takut dengan azab api neraka Allah SWT yang sangat dahsyat;
v. Menjaga dirinya daripada terlibat dengan zina;
vi. Berpegang teguh dengan janji, amanat dan tanggungjawabnya; dan
vii. Tidak menipu apabila menjadi saksi atau memberikan persaksian.

Ketujuh-tujuh perkara ini jika dilakukan bukan sahaja akan menjadikan kita manusia yang paling tenang di dunia, tetapi juga akan mendapat balasan syurga yang kekal abadi di akhirat sana.
Artikel Dakwah: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Leave a comment