Kemanakah Islam Mengarahkan Perasaan Benci? 

Suatu perkara yang tidak diragukan lagi bahawa dalam diri setiap insan ada perasaan lain selain dari perasaan kasih sayang, iaitu perasaan benci, takut dan marah. Perasaan-perasaan inilah yang melahirkan dengki, kejahatan, peperangan dan pertumpahan darah. Bagaimanakah cara agama Islam menimbuskan paya yang busuk ini? Atau ke kuala manakah ia mengalirkannya?

Profesor Good, seorang berbangsa Inggeris, ketua Jabatan Falsafah dan ilmu Jiwa di salah satu Universiti di London berkata: “Sesungguhnya perasaan yang dikongsi sama dan boleh ditimbulkan dengan mudah ialah perasaan benci dan takut. Ia menguasai sebilangan besar rakyat sebagai ganti perasaan kasihan, pemurah dan kasih sayang. Orang yang hendak memerintah rakyat kerana sesuatu tujuan, mereka tidak beroleh kejayaan melainkan dengan mencari perkara yang dibenci oleh rakyat dan mengadakan apa yang ditakutinya.  Jika saya mahu menyatukan rakyat  saya hendaklah mengadakan musuh bagi mereka di planet lain seperti di atas bulan yang ditakuti oleh rakyat. Tidak hairan sekiranya kerajaan-kerajaan nasionalis di masa ini dipandu oleh perasaan benci dan takut dalam sikap mereka melayan negara jiran. Dengan perasaan inilah pemerintah negara tersebut boleh mengekalkan kedudukan mereka dan di atas perasaan-perasaan ini perkembangan nasionalisme bertambah kuat.”

Seorang mubaligh Islam yang ternama, Abu Hassan al-Nadawi telah mengulas pendapat di atas dengan katanya:

“Pendapat yang dikemukakan oleh Profesor Good bagi mengatasi masalah umat bangsa, peperangan dan perlumbaan perkauman adalah jawapan yang adil dan saranan yang munasabah. Dengan itu permusuhan tidak akan berlaku sesama mereka. Sebaliknya mereka akan mempunyai musuh lain yang sama-sama mereka musuhi, takuti dan bekerjasama dalam memeranginya. Akan tetapi musuh seperti ini tidak perlu direka atau dicipta dan tidak mustahak diadakan musuh di planet lain seperti bulan atau marikh. Agama mengingatkan bahawa musuh kepada makhluk jenis manusia dan keturunan Adam terdapat di atas bumi sendiri dan wajib atas semua manusia supaya memusuhinya serta berjaga-jaga darinya serta bekerjasama dengan kaum dari sejenisnya dalam memusuhi dan memeranginya; al-Qur’an mengatakan yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan buat kamu adalah musuh, maka jadikan ta sebagat musuh. Ia hanya menyeru sahabat temannya supaya mereka menjadi penghuni neraka.”

(Surah Faatir 35:6)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman masuklah ke dalam agama Islam dalam ertikata yang sebenarnya dan jangan kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh kamu yang terang.”

(Surah al-Baqarah 2:208)

Islam telah membahagikan dunia manusia kepada dua bahagian iaitu; penyokong Allah dan penyokong syaitan, penyokong hak dan penyokong kebatilan. Peperangan dan jihad tidak difardhukan melainkan untuk menentang penyokong-penyokong kebatilan dan pengikut-pengikut syaitan tanpa mengira di mana mereka berada dan siapakah mereka.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Orang yang beriman berjuang mengikut jalan Allah dan orang kafir berjuang mengikut jalan taghut, maka berjuanglah melawan pengikut-pengikut syaitan. Sesungguhnya tipu daya syaitan adalah lemah.” (Surah al-Nisa’ 4:76)

Demikianlah sempitnya skop perasaan marah dan benci di kalangan mukmin. Mereka tidak marah kerana faedah peribadi, mereka tidak marah kerana sentimen suku, dengki atau hasad. Mereka hanya marah kerana satu sebab iaitu marah kerana Allah dan marah untuk menghasilkan kebenaran semata-mata. 

Dalam perkara ini hadith Nabawi ada mengatakan yang maksudnya: “Sesiapa yang kasih kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan pemberian kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurnalah imannya.”

Sumber: Kemanisan Iman oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑