Sarapan Dalam Kebun di D’Pangkin Kitchen & Garden, Nilai, Negeri Sembilan

Berkonsepkan sarapan dalam kebun, D’Pangkin membawa kita kembali ke zaman lampau di mana lempeng cicah sambal itulah yang sering disediakan ibu di kampung sebagai sarapan. Selain lempeng kosong, lempeng kelapa dan lempeng pisang juga antara lempeng yang biasa dijadikan sarapan oleh orang-orang kampung sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, dan sekarang ditawarkan di D’Pangkin.

Di sini juga terdapat menu sarapan nasi lemak dan mi, makanan Johor termasuk lontong kering, lontong kuah lodeh dan soto ayam. Pulut kuning, roti jala, dan roti kitab (titab) bakar juga disediakan di sini. Untuk padanan nasi lemak, lempeng dan pulut, pelbagai lauk tambahan disenaraikan di dalam menu termasuk rendang daging (mesti cuba), paru sambal, sembilang sambal, dan macam-macam lagi. Kuih-muih tradisional juga ada dijual tetapi dalam kuantiti yang terhad, siapa cepat, dia dapat.

Restoran D’Pangkin Kitchen and Garden ini baru sahaja dibuka pada awal bulan Jun 2023, dan ia menyediakan ruang makan yang luas dan terbuka serta menawarkan pengalaman makan bersila di atas pangkin yang dibina di tepi kebun. Secara keseluruhannya, makanan di sini terasa seperti sarapan kampung asli yang menggamit memori. 

Untuk ke D’Pangkin, sila Google nama restoran kerana setakat ini maklumat masih tiada di dalam Waze. D’Pangkin menyediakan tandas serta kawasan meletak kereta yang luas. 


Ngumah Pangkin atap rembio,
Tanggo eh tinggi anjung eh lueh,
Kalau ke nogori jangan sesio,
Singgah kek sini memanglah pueh.

D’Pangkin Kitchen & Garden
Lot 1564, Kampung Bukit Kadir, 71800 Nilai, Negeri Sembilan
Buka: Setiap Hari (7 pagi ke 12 tengahari)
Tutup: Selasa & Rabu

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑