Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita sentiasa meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan kesungguhan menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga dengan takwa yang dibina dapat menjadi benteng daripada perbuatan dosa yang mengundang azab di akhirat kelak.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Ibadah Korban Suatu Tuntutan”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Zulhijjah. Bulan yang memiliki pelbagai keistimewaan di sisi Allah SWT. Di antara perkara besar yang sangat istimewa di dalam bulan ini ialah pelaksanaan ibadah haji, sambutan hari raya Aidiladha dan pelaksanaan ibadah korban.
Umat Islam yang berkemampuan sangat dituntut untuk melaksanakan ibadah haji dan bagi yang tidak mengerjakan ibadah haji boleh melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternak seperti unta, lembu, kambing dan kambing biri-biri bermula pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Firman Allah SWT di dalam surat al-Hajj ayat 34 yang telah dibacakan pada mukaddimah khutbah sebentar tadi yang bermaksud:
“Dan bagi setiap umat telah kami syariatkan penyembelihan korban agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternakan. Maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu serahlah diri kamu kepada-Nya, sampaikanlah wahai (Muhammad) khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh kepada Allah”.
(Surah Al-Hajj 22:34)
Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah dan menjadi wasilah seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Menurut mazhab Syafie, hukum melaksanakan ibadah korban ialah sunat yang sangat dituntut bagi mereka yang berkemampuan.
Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah meninggalkan ibadah korban sejak Allah SWT mensyariatkannya. Menyembelih binatang korban adalah sunnah Rasul yang sarat dengan hikmah dan keutamaan, perintah ini datang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, daripada Saidatina ‘Aisyah Radiallahu ‘anha, Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Aidiladha) yang paling Allah SWT sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang korban), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya serta bulu-bulunya (sebagai saksi atas ibadah korban tuannya, dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah binatang terbaik untuk dikorbankan.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Pengorbanan harta memerlukan kekuatan dan keikhlasan. Sekiranya kita di beri keupayaan dan kemampuan oleh Allah SWT, tetapi masih lagi berkira-kira untung dan rugi, sudah tentu kita tidak akan dan tidak mungkin sama sekali merasai dan memahami makna sebenar ibadah korban. Justeru, tingkatkan kefahaman kita terhadap kepentingan ibadah korban dan berusaha membuang jauh rasa rugi dalam melaksanakannya. Sebaliknya carilah hikmah di sebalik pensyariatannya, antaranya:
Pertama: Kesanggupan berkorban menjadi bukti ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT. Ia mengingatkan kita tentang bagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang telah diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya iaitu Nabi Ismail AS. Inilah pengorbanan yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran jiwa manusia. Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS dapat mentarbiah dan mendidik diri untuk bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang diberikan oleh Allah SWT dalam kehidupan, tidak mudah mengeluh dan tetap menyerah serta sentiasa bertawakal kepada Allah SWT. Justeru, penghayatan terhadap kisah pengorbanan tersebut kita zahirkan melalui kesanggupan membelanjakan harta untuk menyembelih binatang korban untuk diberikan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan.
Kedua: Ibadah korban dapat memupuk sikap tanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat. Ini jelas melalui pengagihan daging-daging korban kepada yang mereka berhak menerimanya khususnya fakir miskin dan asnaf yang memerlukan. Menanamkan rasa syukur kepada Allah SWT atas segala kurniaan yang telah diberikan. Allah SWT juga menjamin pertambahan rezeki bagi sesiapa yang mensyukuri nikmat-Nya.
Ketiga: Ibadah korban dapat mengikis sifat tamak terhadap harta kurniaan Allah SWT. Jika kita dapat memupuk nilai keikhlasan dalam melaksanakannya sudah pasti kita juga dapat memahami bahawa harta harta yang melimpah ruah itu bukanlah hak milik mutlak kita sendiri bahkan di dalamnya juga terdapat hak-hak orang lain seperti golongan fakir miskin, anak-anak yatim dan sebagainya. Justeru, ibadah korban juga menjadi salah satu cara kita menyantuni mereka walaupun sedikit dan kecil jumlahnya. Ia adalah satu bentuk pengorbanan harta dan jiwa kerana bukan semua bersedia untuk memberi atau berkongsi apa yang dimilikinya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar mengajak sidang jemaah yang belum mendaftarkan diri sebagai peserta ibadah korban, marilah marilah kita merebut peluang serta ganjaran daripada Allah SWT ini. Masih belum terlambat untuk mengisi kuota-kuota bahagian korban yang ditawarkan oleh masjid-masjid dan surau-surau di dalam komuniti kita. Malah, terdapat pelbagai kaedah dan cara untuk menjadi peserta ibadah korban yang ditawarkan oleh banyak pihak. Namun, berhati-hatilah agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan.
Kita juga haruslah sedar bahawa peluang melakukan ibadah korban ini mungkin yang terakhir untuk kita kerana kesempatan untuk mendapat peluang pada tahun akan datang belum pasti tiba buat kita. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah ini, daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang diberi kemampuan sehingga dia mampu untuk berkorban dan tidak mahu melaksanakan ibadah korban, maka janganlah mendekati tempat solat kami (masjid)”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Pensyariatan Ibadah korban kepada umat Islam menjadi wasilah seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menyuburkan kasih sayang sesama insan.
Kedua: Tingkatkan kefahaman kita terhadap ibadah korban agar kita dapat melaksanakannya dengan sempurna dan sepenuh penghayatan di samping meraih keredaan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Ketiga: Hanya dengan memahami erti korban dan pengorbanan yang betul, maka sudah tentu kita juga akan dapat memberikan pengorbanan yang paling bernilai kepada Allah SWT daripada semua aspek.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”
(Surah Al-Hajj 22: 37)

Tarikh Dibaca: 27 Zulkaedah 1444H/16 Jun 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment