Umat Islam digalakkan untuk membaca doa-doa ini setiap hari, terutamanya pada waktu pagi dan petang sekurang-kurangnya 3 kali. Sebagai sebahagian daripada penyataaan kehambaan kita kepada Allah SWT, kita juga diwajibkan untuk melakukan usaha yang sewajarnya kepada doa kita. Oleh itu, kita harus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah kemudharatan apa sekalipun daripada terus merebak dan menular ke dalam hidup kita. Sesungguhnya Allah SWT memakbulkan doa orang-orang yang benar-benar ikhlas memohon perlindungan-Nya.
Bacalah doa-doa ini untuk melindungi keluarga anda daripada malapetaka dan kesukaran, kerana Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran bahawa Dia akan memperkenankan doa-doa hamba-Nya.
وَقالَ رَبُّكُمُ اُدعُونِي أَستَجِب لَكُم
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu… ”
(Ghafir, 40:60)
Berikut merupakan beberapa doa yang indah untuk mencari kesejahteraan dan perlindungan dari penyakit dan bahaya.
Doa Untuk Perlindungan Daripada Segala Jenis Bahaya

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Bismillahil-lazi la yadhurru ma’asmiHi syai’un fil ardhi wa la fis-sama’i wa Huwas-Sami’ul ‘Aleem
Dengan Nama Allah yang tidak memberi mudharat bersama namaNya oleh sesuatu di bumi dan tidak juga di langit. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Sunan Abi Daud)
Doa Untuk Memohon Keampunan & Kesejahteraan

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ
Allahumma inni as’alukal-’afwa wal ‘afiyah fid-dunya wal-akhirah
Ya Allah, aku memohon kepadaMu keampunan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.
(Sunan Ibn Majah)
Doa Untuk Perlindungan Menyeluruh

اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَينِ يَدَيَّ, وَمِنْ خَلْفِي, وَعَنْ يَمِينِي, وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي, وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَن أُْغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Allahummah-fazni min baini yadaiya, wa min khalfi, wa ‘an yameeni, wa ‘an syimali wa min fauqi, wa a’uzu bi’azomatika an ughtala min tahti
Ya Allah, peliharalah diriku dari hadapan dan belakangku, dari kanan dan kiriku serta dari atasku dan aku berlindung dengan keagunganMu daripada diceroboh di sebelah bawahku.
(Sunan Ibn Majah)
Doa Untuk Perlindungan Dari Setiap Kejahatan Yang Membawa Bahaya

أَعُوذُ بِكلِمَاتِ الله التّامّاتِ مِن شَرّ مَا خَلَقَ
A’uzu bikalimatillahit-tammaati min syarri ma kholak
Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang jahat.
(Sahih Muslim)
Doa Agar Terhindar Dari Penyakit

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الأَسْقَامِ
Allahumma inni a’uzubika minal baros, wal junuun wal juzam, wa min sayyi’-il-asqam
Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada penyakit gila, kusta, sopak dan sebarang jenis penyakit yang menggerunkan.
(Sunan Abi Daud)
Leave a comment