21 Jun 2023 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji, hari ini.
Turut berangkat mengiringi, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Majlis keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua yang diadakan di Istana Negara turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dato’ Dr Zulkapli Mohamed, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada majlis itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah memimpin bacaan doa, disusuli laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Istana Negara, Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.
Sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda berdua berkenan bersalaman bersama kakitangan Istana Negara dan tetamu yang hadir.
Seri Paduka Baginda berdua dijadual berada di Tanah Suci dari 21 Jun hingga 2 Julai 2023.
Sumber: FB Istana Negara
Leave a comment