5 Kualiti Pasangan Hebat Dalam Perkahwinan

Oleh Izzah Academy

Kita sedang melalui satu zaman di mana perkahwinan perlahan-lahan menjadi bayang-bayang kusam seperti di satu ketika dahulu. Budaya hedonistik (ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia) dan egosentrik (mementingkan keperluan sendiri sahaja tanpa mengendahkan keperluan orang lain) yang kita alami sekarang sangat anti-perkahwinan. 

Kadar perceraian berada pada tahap tertinggi dalam sejarah, dan ramai orang muda memilih untuk mengelakkan perkahwinan sama sekali. Keputusan ini mungkin kelihatan menyeronokkan dan menarik pada zahirnya, tetapi ia akan membawa kesan negatif jangka panjang kepada masyarakat secara keseluruhan.

Perkahwinan adalah institusi pusat kewujudan manusia. Ia telah menjadi tradisi sejak permulaan umat manusia apabila Adam (AS) berkahwin dengan Hawa (RA). Perkahwinan telah menjadi asas dalam kehidupan kebanyakan lelaki dan wanita hebat sepanjang sejarah. Melalui perkahwinan, kita memelihara kehormatan dan maruah, membina rumah tangga dengan penuh kasih sayang, memastikan kesinambungan keturunan kita, dan membina sistem sokongan yang kuat untuk diri kita sendiri. Perkahwinan merupakan asas keluarga, dan tanpa ikatan kekeluargaan yang kukuh, masyarakat itu sendiri akan terancam.

Perkahwinan, apabila dilaksanakan dengan betul, adalah salah satu sumber motivasi, sokongan, dorongan dan produktiviti yang paling berkuasa di muka bumi. Mempunyai pasangan dan anak-anak yang penyayang diperlukan oleh seseorang untuk memberi mereka motivasi  untuk bekerja di peringkat yang lebih tinggi dan mencapai matlamat yang lebih besar. Perkahwinan adalah salah satu anugerah terbesar yang Allah berikan kepada manusia. Apabila dijalankan dengan betul, ia adalah sumber kedamaian dan kebahagiaan terbesar dalam hidup kita. 

Kunci kepada perkahwinan yang berjaya adalah membentuk diri menjadi seseorang yang patut dikahwini, kemudian berkahwin dengan seseorang yang mempunyai aspirasi yang sama.

Kualiti Pasangan Yang Hebat

Kerap kali kita memberi kita tumpuan untuk mencari pasangan yang sempurna tanpa menyedari bahawa kita juga perlu menjadi apa yang kita cari. Like attracts like. Oleh itu, untuk menarik pasangan yang hebat, kita juga mesti menjadi calon pasangan yang hebat. Tidak ada definisi yang dipersetujui tentang pasangan yang hebat, dan kriterianya akan berbeza dari seorang ke seorang yang lain. Walau bagaimanapun, kualiti berikut sentiasa membantu menjadikan perkahwinan lebih kukuh, jadi kita boleh melihatnya sebagai beberapa kualiti yang diterima secara universal bagi pasangan yang hebat.

1. Baik Hati

Perkahwinan adalah kontrak seumur hidup. Sepanjang tempoh itu, akan ada perselisihan faham, ketidakpuasan hati, hal-hal yang memberi tekanan, dan kegagalan manusia. Baik hati dan saling memaafkan sangat membantu perkahwinan untuk kekal seumur hidup. Ini hanya akan terjadi seandainya kedua-dua pasangan baik hati. Jika satu pihak baik dan pihak yang lain mengambil kesempatan daripada itu, ini akan menjadi satu bentuk penderaan yang akan menghancurkan rumah tangga.

Baik hati itu perlu dalam setiap hubungan. Tanpanya, hubungan akan retak, dan permusuhan akan menjadi-jadi. Hati yang baik adalah sangat penting untuk perkahwinan, kerana perkahwinan adalah hubungan yang paling penting dalam kehidupan manusia. Kanak-kanak belajar daripada cara ibu bapa mereka berinteraksi antara satu sama lain. Apabila ibu bapa baik, anak-anak mencerminkannya. Begitu juga apabila ibu bapa kasar, anak-anak menjadi serupa perangainya.

Nabi Muhammad (SAW) bersabda, “Allah itu penyayang, dan Dia menyukai kelembutan dalam segala perkara.” (Sahih al-Bukhari 6528) Rasulullah juga bersabda, “Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” (Sahih Muslim 2593) Dalam riwayat yang lain, Baginda bersabda, “Barangsiapa yang tidak memiliki sifat lembut, maka tidak akan mendapatkan kebaikan”(Sahih Muslim 2592). Terdapat banyak lagi riwayat lain dalam kitab-kitab hadis yang menekankan ihsan sebagai asas segala perhubungan kita. Ini adalah salah satu ajaran asas dalam Islam.

2. Matlamat yang Sama

Manusia berkembang dan berubah mengikut masa. Jika dua pasangan mempunyai matlamat hidup yang berbeza, mereka mungkin berkembang dalam arah yang bertentangan dan akhirnya menjadi tidak serasi. Ini akan menjadikan mereka lebih sukar untuk mengekalkan perkahwinan.

Walau bagaimanapun, jika mereka mempunyai matlamat yang sama, maka mereka akan berkembang dan berubah ke arah yang sama dan berkemungkinan besar untuk berkembang dan menghampiri satu sama lain dari semasa ke semasa. Mempunyai matlamat yang sama dalam hidup adalah ciri utama perkahwinan yang bahagia.

Walaupun pasangan semakin meningkat umur dan matlamat berubah, jika mereka menghabiskan banyak masa bersama, perubahan itu akan menjadi selari, dan mereka akan berkembang bersama. Terdapat ramai pasangan yang berjaya di luar sana yang bermula dengan beberapa perkara yang sama, dan lama-kelamaan mereka menjadi selaras dengan hampir semua isu utama. Ini adalah sebahagian daripada keindahan hidup bersama.

3. Keserasian

Setiap orang mempunyai personaliti, budaya, dan tradisi yang berbeza. Tiada dua orang yang benar-benar serupa, tetapi semakin banyak persamaan yang mereka ada, semakin mudah untuk melancarkan perkahwinan mereka. Sebaik-baiknya, pasangan harus mempunyai persamaan yang cukup untuk dapat menikmati masa bersama dan mencari aktiviti yang boleh dilakukan berdua. Jika tidak ada keserasian langsung, maka adalah sukar untuk menjayakan perkahwinan tersebut.

Keserasian yang khusus sukar untuk ditulis di dalam buku kerana ia bergantung kepada budaya tempatan pasangan. Setiap komuniti mempunyai idea mereka sendiri tentang perkara yang menjadikan seseorang itu serasi dengan yang lain. Di sesetengah negara, keserasian melibatkan status sosial atau kelas ekonomi. Terdapat lain-lain budaya yang memberi tumpuan kepada isu keturunan dan suku kaum. Dan ada juga yang berpunca daripada nilai dan hobi.

Setiap keluarga perlu mengadakan perbincangan yang jujur ​​tentang perkara yang penting bagi mereka dan faktor yang penting untuk menjadikan dua orang serasi untuk perkahwinan. Walau bagaimanapun, satu perkara di mana keserasian adalah terpaling penting ialah teologi. Mereka yang dari latar belakang teologi  berbeza akan merasa sangat sukar untuk hidup bersama melainkan mereka bersedia untuk berkompromi atau mengorbankan kepercayaan agama mereka. Kemudian mereka akan mengalami masalah yang  lebih sukar apabila mengambil keputusan cara membesarkan anak-anak dan apakah teologi yang perlu diajar kepada anak-anak mereka, jika ada. 

Ini tidak terhad kepada perbezaan antara agama. Malah dalam Islam, perkahwinan antara Salafi dan Sufi boleh membawa kepada banyak kerumitan terutamanya dalam cara membesarkan anak. Begitu juga, perkahwinan antara Sunni dan Syiah boleh menyebabkan banyak masalah keserasian. Sebelum berkahwin dengan seseorang, adalah penting untuk mengetahui terlebih dahulu sama ada kepercayaan dan pemahaman anda tentang agama anda serasi dengan kepercayaan dan pemahaman agama orang lain.

4. Komitmen

Perkahwinan adalah untuk seumur hidup. Ya, dalam senario terburuk perceraian adalah lebih baik daripada perkahwinan, tetapi tiada siapa yang berkahwin dengan niat untuk bercerai. Jika dua orang memilih untuk komited terhadap perkahwinan sejak mula, mereka mempunyai peluang yang jauh lebih kuat untuk berjaya.

Perkahwinan tidak mudah, dan akan terdapat banyak halangan yang muncul di sepanjang hayat yang akan menguji keutuhan perkahwinan. Ketika badai melanda, adalah sangat penting untuk kedua-dua pasangan kekal komited antara satu sama lain dan tidak membenarkan ujian hidup memecah belahkan perkahwinan. Pasangan yang melalui masa sukar bersama akan muncul lebih kuat dan lebih mencintai berbanding sebelumnya.

5. Kemaafan

Melayari kehidupan dengan orang lain sepanjang hidup tidak akan terlepas daripada pertikaian dan kesilapan dalam pertimbangan serta pilihan. Anda dan pasangan anda adalah manusia, oleh itu kesilapan tidak dapat dielakkan. Apabila seseorang melakukan kesalahan dan memohon maaf, maafkanlah mereka. Lagipun, inilah yang kita inginkan untuk diri kita daripada Allah SWT, Keampunan-Nya.

Ini tidak bermakna kita harus membenarkan penderaan, penganiayaan, atau tabiat jahat di dalam hidup kita. Sebaliknya, dalam semua situasi ini kita harus berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Jika itu tidak mungkin berlaku, maka perceraian adalah lebih baik daripada perkahwinan yang membuat seseorang sengsara.

Terdapat perbezaan antara pasangan yang cuba untuk melakukan yang terbaik, namun tergelincir sebagai manusia, dan pasangan yang tidak peduli dan sengaja menyusahkan hidup. Yang pertama patut dimaafkan, yang kedua perlu dilepaskan. Tidak perlu ada rasa malu dalam perceraian, terutama jika ianya membawa kepada kebaikan yang lebih besar atau menghilangkan kemudaratan.

Keluarga Bahagia

Kunci penting untuk produktiviti, kebahagiaan dan kejayaan adalah untuk mempunyai keluarga yang bahagia. Jarang ada apa-apa yang boleh memotivasikan seseorang lebih daripada keluarga yang penyayang dan sering memberikan sokongan. Keluarga mendorong ramai orang untuk menjadi versi terbaik diri mereka supaya mereka dapat memberikan kehidupan yang terbaik untuk keluarga mereka.

Dalam budaya individualistik kita, kepentingan pasangan dan anak-anak sering diperlekehkan. Kami melihat kadar perkahwinan dan kelahiran anak yang lebih rendah, disertai dengan peningkatan kemurungan, ketagihan, dan bunuh diri. Kejadian ini bukanlah kebetulan. 

Manusia secara fitrahnya adalah makhluk kekeluargaan. Kami dicipta untuk hidup dalam keluarga dan meneruskan keturunan kami melalui keluarga. Tanpa keluarga, manusia sering tersesat, terdedah, dan mudah terpedaya.

Manusia berjaya memahami kepentingan keluarga. Mereka memahami kepentingan menjaga orang tua terutama ibu bapa. Dan mereka memahami kepentingan menjadi pasangan yang hebat, mempunyai pasangan yang hebat, dan menjadi ibu bapa yang hebat. Apabila seseorang mempunyai sistem sokongan keluarga yang kuat, mencapai matlamat akan menjadi lebih mudah.

Artikel Asal: Izzah Academy https://izzahacademy.com/f/the-importance-of-marriage

Terjemahan: Mymuslimin.com

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑