Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan sentiasa mengingati Allah SWT dan melaksanakan segala suruhan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita beroleh kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Jauhi Penyalahgunaan Dadah”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Perbuatan penyalahgunaan, penyeludupan dan pengedaran dadah merupakan isu yang sangat serius kerana ia boleh memberi impak buruk dan mudarat kepada masyarakat dan negara. Kegiatan-kegiatan tersebut memberi ancaman besar kepada masyarakat, ekonomi dan keselamatan negara. Sesungguhnya perbuatan penyalahgunaan dadah sangat jelas memberi kemudaratan, kerosakan kepada diri sendiri dan dilarang oleh hukum syarak dan undang-undang negara, seterusnya mendatangkan kesan-kesan yang negatif terhadap keluarga.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang dibacakan di awal khutbah tadi bermaksud:
“Dan belanjakanlah apa yang ada pada kamu kerana menegakkan agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”
(Al-Baqarah 2:195)
Sebagai masyarakat Islam yang prihatin, kita mestilah mengambil peduli mengenai isu ini. Dadah merujuk kepada bahan psikoaktif yang mengubah pemikiran, emosi, dan tingkah laku individu. Penyalahgunaan dadah menyebabkan ketagihan dan boleh merosakkan akal. Kesannya boleh menyebabkan gangguan kepada kesihatan mental dan boleh menjurus kepada perlakuan kes-kes jenayah seperti bunuh, ragut, rompak dan sebagainya sebagaimana yang pernah dipaparkan di dada-dada akhbar dan media-media massa.
Masalah penyalahgunaan dadah memperlihatkan perubahan trend yang semakin ketara iaitu daripada penggunaan dadah jenis organik seperti ganja dan heroin kepada dadah sintetik seperti syabu, pil kuda, ecstacy serta penyalahgunaan bahan seperti gam, petrol dan sebagainya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Realitinya, kita dapati jumlah individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta bahan semakin meningkat. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaporkan jumlah individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga bulan Mei 2023 di Wilayah Persekutuan ialah 1741 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 1287 ialah mereka yang beragama Islam.
Apa yang membimbangkan ialah ramai dalam kalangan mereka itu berumur di antara 20 hingga 40 tahun iaitu seramai 1129 orang. Jika dilihat pada stastistik negara pula, jumlah penagih dadah yang dilaporkan di seluruh negara ialah seramai 129,092 orang. Apa yang membimbangkan daripada jumlah tersebut, 83.4 peratus atau 107,633 orang adalah beragama Islam.
Bagaimana masa depan negara suatu masa nanti jika anak-anak muda belia negara ramai yang terjerumus ke lembah kebinasaan dan kerugian ini?
Isu yang lebih serius, apabila anak-anak akan menjadi terbiar akibat ibu bapa yang terlibat dengan penagihan, keluarga terancam, keluarga akan musnah dan masyarakat menjadi huru-hara dan tidak teratur. Sekaligus memberi kesan terhadap agama dan kestabilan negara kita pada masa akan datang. Ibu bapa dan anak-anak yang berhadapan dengan ahli keluarga yang terlibat dengan masalah penagihan dadah akan mengalami tekanan emosi seperti rendah diri, kemurungan, berasa diri disisihkan serta menimbulkan stigma dalam diri mereka akibat daripada diskriminasi yang dihadapi. Kesan negatif daripada penagihan ini juga turut menimbulkan konflik yang menakutkan dalam masyarakat kerana boleh menjadi penyebab berlakunya kes-kes jenayah. Suasana kehidupan masyarakat tidak tenteram, terancam, paranoid dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
Inilah di antara kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah. Sememangnya kita perlu menyedari dan mengambil tahu bahawa penyalahgunaan dadah memberi kesan kepada sosial yang menyebabkan keretakan hubungan dengan anggota keluarga, rakan-rakan dan komuniti.
Manakala dalam aspek kapital pula akan menyebabkan kesan kepada ekonomi dan menggagalkan usaha pembangunan negara ke arah membina warga minda kelas pertama.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kerajaan melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah agensi yang melaksanakan perkhidmatan pencegahan, penguatkuasaan dan merawat pulih individu yang terjebak dengan masalah penagihan dadah hampir empat dekad lamanya. Namun begitu, usaha-usaha yang dilaksanakan oleh AADK tidak boleh dilaksanakan sendirian dan perlu diperjuangkan secara kolektif dan berterusan.

Sebagai individu, kita yang mempunyai keluarga hendaklah memainkan peranan untuk memastikan ahli keluarga tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Hubungan kekeluargaan perlu dieratkan, pantau pergerakan dan pergaulan anak-anak dan ahli keluarga serta ambil tahu setiap aktiviti yang dilakukan oleh mereka agar terhindar daripada terjerumus dengan permasalahan penyalahgunaan dadah dan sosial.
Institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan penting dalam membendung gejala ini. Para pelajar mesti dididik dan dibantu sejak awal persekolahan lagi tentang bahaya penyalahgunaan dadah yang jelas haram di sisi syariat. Perkasakan kempen-kempen bahaya penyalahgunaan dadah melalui pendekatan ceramah, latihan dalam kumpulan, kelompok sokongan, perjumpaan-perjumpaan dengan orang yang signifikan, pameran interaktif dan sebagainya.

AADK sentiasa bersama dengan institusi pendidikan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat daripada penyalahgunaan dadah.
Majikan juga perlu menggalas tanggungjawab untuk memberikan pendidikan, kesedaran dan menyelia para pekerja agar tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Penglibatan pekerja dalam masalah penagihan dadah akan memberi kesan kepada produktiviti, keselamatan dan imej kepada organisasi dan negara. Oleh itu, majikan perlu memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan membantu pekerja yang mempunyai masalah dadah untuk dipulihkan. Ini bukan sahaja untuk membantu organisasi tetapi juga mewujudkan masyarakat sejahtera dan selamat.
Sebagai masyarakat, kita juga perlu berganding bahu bersama agensi-agensi terlibat terutama AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan institusi keagamaan termasuk masjid dan surau dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah melalui aktiviti pencegahan dan kempen-kempen kesedaran.
Bantulah individu yang terlibat dengan memberi sokongan moral agar mereka segera mendapatkan rawatan dan pemulihan yang sewajarnya. Kita perlu menerima dan jangan sekali-kali menyisihkan mereka yang telah pulih kerana mereka juga mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Bantu untuk mengurangkan diskriminasi dan stigma negatif kepada bekas-bekas penagih dan ahli keluarganya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Perbuatan penyalahgunaan, penyeludupan dan pengedaran dadah merupakan isu yang sangat serius kerana ia boleh memberi impak yang buruk kepada masyarakat dan negara.
Kedua: Agama mesti menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan di dalam keluarga agar menjadi benteng kepada anak-anak daripada terlibat dengan keruntuhan akhlak dan sosial seperti penyalahgunaan dadah.
Ketiga: Semua pihak mesti berperanan sama dalam membendung kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah demi memastikan masa depan anak-anak muda negara yang cerah dan menjamin kelestarian negara yang sejahtera dan makmur.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(At-Tahrim 66:6)

Tarikh Dibaca: 4 Zulhijjah 1444H/23 Jun 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment