Titik Tengah Semenanjung Malaysia

Oleh: Mymuslimin.com

Temerloh merupakan sebuah bandar yang terletak di Pahang tengah, dan begitu popular dengan juadah ikan patin tempoyaknya sehingga dikenali sebagai Bandar Ikan Patin. Selain itu, Temerloh juga mempunyai Pekan Sehari, pasar terbesar di Semenanjung Malaysia, yang menawarkan pelbagai jenis juadah, hasil laut, buah-buahan, sayur-sayuran, ulaman, dan sebagainya.

Namun, tidak jauh dari bandar Temerloh, terdapat satu lagi tarikan terbaru yang dinamakan Titik Tengah Semenanjung. Tempat ini ialah kedudukan titik tengah Semenanjung Malaysia yang terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang.

Menurut maklumat yang terdapat di T3S ini, seluruh Semenanjung Malaysia berkeluasan 130,423 kilometer persegi. Dan, pada tahun 2019, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah melakukan kajian bagi penentuan titik tengah Semenanjung Malaysia dengan menggunakan tiga kaedah iaitu berdasarkan kaedah bentuk rupa bumi Semenanjung Malaysia, jisimnya dan hitungan matematik.

Berdasarkan kepada kaedah tersebut, kaedah matematik merupakan kaedah paling seuai untuk menghasilkan nilai satu titik konklusif dengan menggunakan formula nilai purata koordinat. Hasil kajian, titik tengah Semenanjung Malaysia adalah terletak di Kampung Paya Siput berhampiran Pekan Lanchang, Temerloh Pahang.

Nilai koordinat bagi lokasi tersebut telah diperolehi daripada cerapan Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) iaitu Latitud 03° 29′ 33” dan Longitud 102° 13′ 10”. Dengan persetujuan Kerajaan Negeri Pahang, lokasi titik tengah tersebut dikenali sebagai Temerloh Titik Tengah Semenanjung (T3S).

Tarikan ini berkeluasan meliputi 1.62 hektar dan dihiasi dengan tempat-tempat bergambar yang menarik untuk diabadikan oleh pengunjung. Mercu monumen Titik Tengah Semenanjung ini dicondongkan menghala ke arah kiblat dengan pacakan lima batang buluh yang menandakan rukun Islam.

Kawasan ini merupakan kawasan lapang dan sedikit berbukit yang mungkin memerlukan anda untuk menyediakan payung untuk kegunaan tatkala panas atau hujan.

Waze: Titik Tengah Semenanjung

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑