Asmaul Husna yang ke-66 ialah Al-Majidu yang bermaksud Tuhan Yang Berkemuliaan atau Tuhan Berkebesaran. Oleh kerana Allah itu Berkemuliaan atau Berkebesaran, maka manusia sebagai hamba-Nya mestilah berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan. Bukan sahaja kesempurnaan lahiriah seperti sempurna makan minum, tempat tinggal, kerja dan jawatan atau sebagainya. Tetapi juga berusaha supaya mendapat kesempurnaan di sisi Allah SWT dalam erti kata Tuhan menganggap hamba-Nya itu sempurna sebagai hamba-Nya yang taat.
Manusia yang sempurna ialah mereka yang dalam serba kekurangan namun masih mengekalkan ketaatan kepada Allah SWT. Meskipun mereka hanya memiliki harta yang sekadarnya, namun dia masih bersyukur dengan kurniaan Allah SWT dan merasa bahagia dengan rasa syukurnya itu. Jika bahagia itu dinilai dengan harta benda, apabila dia mati dan berada di alam kubur, maka kebahagiaan di alam barzakh itu pasti bertukar. Kebahagiaan duniawi tiada nilai langsung di alam barzakh apatah lagi alam akhirat. Kecuali harta yang telah dinafkahkan ke jalan Allah SWT.
Pengertian bahagia yang sebenarnya ialah apabila menerima nikmat, bertambah lagi kesyukurannya kepada Allah SWT. Ibadahnya berkekalan dan semakin meningkat. Tiada keluh-kesah dengan kesempitan hidup dan tidak dengki dengan kesenangan orang lain. Mampu menolong orang lain walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Itulah kebahagiaan yang boleh dibawa ke alam barzakh dan seterusnya ke negeri akhirat.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment