Agong, Permaisuri Zahirkan Kesyukuran Selepas Berwukuf Di Arafah

28 Jun 2023 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dengan keizinan Allah SWT telah berangkat untuk berwukuf di Arafah dan seterusnya bermabit di Muzdalifah semalam (27 Jun 2023).

Turut berangkat, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka-paduka anakanda Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda berdua akan seterusnya menyempurnakan Tawaf dan Saie Haji di Masjidil Haram pada hari ini (28 Jun 2023) bersamaan 10 Zulhijjah 1444H.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah dikurniakan keafiatan untuk berwukuf di Arafah dan bermabit di Muzdalifah sebagai persiapan peringkat akhir haji.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM SPB RPA menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh Rakyat Malaysia yang beragama Islam. Seri Paduka Baginda berdoa agar segala pengorbanan Rakyat Malaysia dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan negara akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Seri Paduka Baginda turut berdoa semoga Jemaah Haji Malaysia memperolehi Haji yang Mabrur dan selamat pulang ke Tanah Air tercinta.

Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Julai 2023.

Sumber: Istana Negara

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑