Teks Khutbah Aidiladha: Menghayati Falsafah Ibadah Korban

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Sesungguhnya hanya dengan ketaqwaan, kita akan berjaya menjadi hamba-hamba Allah yang dijamin kesejahteraan di dunia dan kebahagiaan abadi di akhirat.

Di pagi yang penuh barakah ini, marilah bersama-sama kita menghayati khutbah Aidiladha yang bertajuk : “Menghayati Falsafah Ibadah Korban”.

Alhamdulillah, hari ini kita dipertemukan lagi dengan Aidiladha atau disebut juga sebagai hari raya korban yang mengembalikan ingatan kita kepada sejarah agung pengorbanan dua tokoh besar, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail ‘Alaihimassalam demi membuktikan ketaatan sebenar kepada Allah SWT. Sesungguhnya pengorbanan setiap hamba adalah suatu bukti ketulusan iman dan lambang ketakwaan terhadap Allah SWT. 

Hayati maksud firman Allah SWT menerusi Surah Al-Maidah ayat 27 yang dibacakan di awal khutbah tadi: 

“Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua orang anak Adam yang berlaku dengan sebenarnya, ketika mereka berdua mempersembahkan suatu korban (untuk mendekatkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang daripada mereka (Habil) dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”

(Al-Maidah 5:27)

Menerusi ayat ini, kita memahami bahawa ada pengorbanan yang diterima dan yang tertolak. 

Sesungguhnya setiap persembahan amalketaatan dan pengorbanan perlu disematkan bersama keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Seorang hamba yang ingin berkorban sedang berusaha bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT dengan mengorbankan sebahagian daripada apa yang dimiliki pada jalan Allah SWT berupa harta, wang ringgit, masa, tenaga dan sebagainya. Usaha ini sebenarnya berlangsung sepanjang masa selagi kita bernyawa. Namun secara khususnya bersempena dengan Aidiladha ini, umat Islam dianjurkan melaksanakan pengorbanan pada hari raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan menyembelih binatang korban.

Kita hanya dituntut untuk menyembelih seekor kambing atau satu daripada tujuh bahagian lembu dan seumpamanya sahaja dan pengorbanan itu sangat kecil jika dibandingkan dengan korban nyawa seorang anak sebagaimana yang dilalui Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam. 

Justeru, kita yang berkemampuan sewajarnya menjadikan peristiwa itu sebagai pencetus semangat dan motivasi terhadap tuntutan berkorban dan sedaya upaya menjayakannya. Fahamilah falsafah ibadah ini agar ia mampu menjadi pendorong kita untuk bersama menyertai ibadah korban yang saban tahun dituntut menyempurnakannya. Perlu difahami bahawa Islam menuntut kita berkorban bagi membuktikan keimanan dan kesyukuran terhadap anugerah iman dan Islam. Meskipun ibadah korban hanya sekadar tuntutan sunat muakkad, namun hukum mengabaikannya adalah makruh bagi yang berkemampuan.

Muslimin-muslimat yang berbahagia,

Falsafah ibadah korban yang menjadi medan taqarrub (mendekatkan diri) kita kepada Allah SWT perlu disempurnakan sebagaimana pedoman berikut:

Pertama: Ibadah korban ialah amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT di hari raya ini. Sesungguhnya, usaha dan kesungguhan dalam menyempurnakan ibadah ini dijanjikan ganjaran besar yang tidak wajar dilepaskan begitu sahaja. Imam At-Tirmizi meriwayatkan daripada Aisyah Radiallahuanha, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

Kedua: Hadir ke tempat sembelihan dan saksikan pelaksanaan ibadah korban kita. Ia suatu tuntutan bagi menyempurnakan ibadah ini. Selain memanjatkan kesyukuran, perbanyakkanlah juga istighfar dan pengharapan agar Allah SWT menerima ibadah korban yang dilaksanakan.

Ketiga: Ibadah korban adalah ibadah yang menggabungkan tuntutan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. Daging korban perlu diagih dengan sempurna. Sepertiga untuk keluarga yang berkorban, sepertiga dihadiahkan kepada jiran manakala sepertiga lagi diagihkan kepada golongan fakir miskin. Dengan agihan seumpama ini, kita dapat mempertaut hubungan ukhuwah sesama kejiranan dan menggembirakan orang yang susah, berkongsi nikmat rezeki yang Allah SWT limpahkan kepada kita dan membuang jauh sikap ego dan keakuan. Ibadah korban dilaksanakan secara bergotong-royong sesama masyarakat Islam setempat yang secara tidak langsung dapat menyemai kemesraan dan jalinan ukhuwah sesama ahli kariah. Semua amalan mulia yang bersulam nilai-nilai murni ini pastinya mengundang rahmat Allah SWT dalam kehidupan kita.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bagi yang belum berkemampuan, berazamlah untuk menyertai ibadah korban ini pada tahun-tahun hadapan. Semoga segala kurniaan rezeki yang kita nikmati di dunia, dimanfaatkan ke jalan kebaikan serta diganjari pahala yang besar yang mampu menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan di akhirat kelak.

Alhamdulillah, pada tahun ini ramai dalam kalangan rakan-rakan dan saudara mara kita yang telah dijemput oleh Allah SWT sebagai tetamu-Nya.

Marilah kita bersama-sama mendoakan mereka khususnya buat para jemaah haji Malaysia dan seluruh jemaah haji dari seluruh pelusuk agar dipermudahkan segala urusan bagi menyempurnakan ibadah haji dan memperolehi haji yang mabrur.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Ibadah korban adalah ibadah tahunan yang menjadi syiar agama dan suatu tuntutan yang membawa maksud yang besar dalam membuktikan keimanan dan kesyukuran kepada Allah SWT.

Kedua: Ibadah korban menggabungkan tuntutan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. Ia perlu disempurnakan berpandukan syariat dan sepenuh ketaqwaan untuk meraih ganjaran besar dan penerimaannya di sisi Allah SWT.

Ketiga: Bagi yang belum berkemampuan, berazamlah untuk menyertai ibadah korban pada masa akan datang, lantaran memahami betapa besar ganjaran ibadah ini yang tidak boleh dilepaskan, demi menjamin kesejahteraan kita di akhirat kelak.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Kauthar, ayat 1 hingga 3 yang nermaksud: 

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

(Al-Kauthar 108: 1-3)

Tarikh Dibaca: 10 Zulhijjah 1444H/29 Jun 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah Dan Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑