Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita senantiasa berada dalam rahmat dan perlindungannya di dunia dan di akhirat.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Kemuncak Ibadah Dan Pengorbanan”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, para jemaah haji telah melepasi kemuncak ibadah haji apabila selesai berwukuf di arafah. Kemudiannya, mereka berangkat ke Muzdalifah dan seterusnya bergerak ke Mina untuk bermalam di sana bagi melaksanakan ibadah melontar jamrah. Pada tahun ini kita menyaksikan seramai kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia dijemput untuk menjadi tetamu Allah bersama-sama dengan jutaan umat Islam dari seluruh dunia bagi menyempurnakan rukun Islam ini.
Hanya linangan air mata yang mengalir kegembiraan dan kesyukuran kerana dapat menyempurnakan manasik haji. Segunung harapan, doa dan munajat dipersembahkan kepada Allah Yang Maha Esa dengan penuh keikhlasan. Segala urusan keduniaan dilupakan, seluruh waktu dimanfaatkan untuk melakukan pelbagai ibadah dan amalan ketaatan seperti berdoa, berzikir, bertalbiah, membaca al-Quran dan sebagainya bagi memperoleh manfaat sebagaimana yang disebutkan di dalam Surah al-Hajj ayat 27 hingga 28 yang dibacakan pada permulaan khutbah:
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Al-Hajj 22: 27-28)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Ternyata hikmah-hikmah yang terdapat dalam pelaksanaan ibadah haji pada umumnya bertujuan untuk memberikan keuntungan dalam kehidupan umat manusia. Tiada satu ibadah dan amalan kebaikan yang dilaksanakan walau sekecil-kecilnya melainkan Allah SWT akan memberikan ganjaran di hari akhirat kelak.
Ini merupakan manfaat yang paling utama daripada setiap ibadah dan amalan kebaikan. Apatah lagi ibadah haji yang dalam pelaksanaannya memerlukan perjuangan dan pengorbanan yang sangat besar. Maka manfaat ukhrawi yang disediakan oleh Allah SWT tentulah lebih besar dan lebih tinggi nilainya. Anugerah yang paling utama diperoleh ialah meraih haji yang mabrur.
Imam al-Nawawi berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang pelaksanaannya tidak dinodai oleh dosa. Mantan Sheikh al-Azhar, Dr. Abdul Halim Mahmud pula menyatakan: “Ibadah haji merupakan gabungan amalan yang lengkap dari sudut kerohanian. Ia mampu meningkatkan darjat seorang muslim biasa menjadi seorang muslim yang teristimewa. Apabila dilakukan secara teratur, maka seseorang itu akan memperoleh keredaan Allah SWT dan dikurniakan dengan haji mabrur”.
Dengan haji mabrur diharapkan akan mendapat balasan syurga di akhirat nanti. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Dan Haji mabrur tiada ganjaran baginya melainkan syurga.”
Haji yang mabrur ialah haji yang sempurna dilaksanakan sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Inilah tingkatan paling tinggi dan istimewa menjadi buruan setiap orang beriman. Bagi kita yang telah menyempurnakan ibadah haji, janganlah mengulangi dan mengotori kehidupan dengan dosa-dosa. Sebaliknya hendaklah kita memelihara semangat dan roh ibadah pada tahap yang tertinggi yang pernah kita lakukan semasa melakukan ibadah haji itu.
Rehlah keimanan ibadah haji sebenarnya menjadi titik perubahan diri kita ke arah yang lebih baik dan menjadi impak perubahan diri yang menjadi tauladan kepada orang lain. Ia juga menjadi titik perubahan diri kita daripada keburukan kepada kebaikan dalam segala aspek kehidupan.
Istiqamah dalam beribadah terus dipraktikkan dan ditingkatkan melebihi tahap sebelum ini. Kita juga berubah kepada akhlak yang lebih mulia dan terpuji. Tidak lagi berkata yang dusta, mengumpat, hasad dengki, membangga diri dan sifat-sifat keji yang lain. Malah kita akan lebih bersikap suka membantu sesama muslim dengan dengan harta atau tenaga.
Di samping itu, kita juga mengasihi insan-insan lain tanpa mengira kedudukan, pangkat, kaum dan agama bahkan sentiasa mendoakan saudara-saudara kita sesama muslim agar diberikan kebaikan dan kesejahteraan daripada Allah SWT. Justeru, perubahan-perubahan yang positif ini juga merupakan tanda-tanda bahawa pelaksanaan ibadah haji yang dilakukan diterima dan mendapat haji yang mabrur.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bulan Zulhijjah juga mengingatkan kita akan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam mendepani pelbagai mehnah dan ujian kehidupan. Keberanian, kekuatan dan kecekalan Nabi Ibrahim AS di luar batas kebiasaan sehingga mampu menyatakan kebenaran kepada bapanya yang masih kafir, mempertahankan hak daripada tunduk kepada kezaliman, menghancurkan berhala sembahan sehingga baginda dibakar hidup-hidup dalam api yang besar dan kemudian keimanan Nabi Ibrahim AS terus diuji apabila diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.
Sesungguhnya, semua liku-liku pengorbanan Nabi Ibrahim AS ini dilakukan semata-mata mempertahankan akidah dan agama Allah SWT. Pengorbanan Nabi Ibrahim AS membuktikan kepada kita bahawa Allah SWT sentiasa bersama para hamba-Nya selagi mana mereka terus meletakkan pengharapan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Justeru, jadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS ini sebagai sumber kekuatan kita dalam mempertahankan dan memperteguhkan akidah yang benar dan sahih demi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Ibadah haji memerlukan perjuangan dan pengorbanan yang sangat besar dalam pelaksanaannya untuk memperoleh manfaat ukhrawi yang disediakan oleh Allah SWT.
Kedua: Haji yang mabrur ialah haji yang sempurna pelaksanaannya sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, segala dosa diampunkan dan tidak ada balasan melainkan syurga di akhirat kelak.
Ketiga: Rehlah keimanan ibadah haji sebenarnya menjadi titik perubahan diri kita ke arah yang lebih baik dan menjadi impak perubahan diri yang menjadi tauladan kepada orang lain dari segi akhlak, ibadah dan sebagainya.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl, ayat 91 yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”
(An-Nahl 16:91)

Tarikh Dibaca: 11 Zulhijjah 1444H/30 Jun 2023M
Disediakan oleh : Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment