Menelusuri Kemeriahan Pekan Sehari, Temerloh, Pahang 

Oleh Mymuslimin.com

Pekan Sehari atau Pekan Sari di Temerloh, Pahang merupakan pasar terbesar di semenanjung Malaysia yang terletak di sepanjang persisiran Sungai Temerloh sepanjang lebih 2km. Dibuka pada hari Ahad dari 7pagi sehingga 12 tengahari, Pekan Sehari menjual pelbagai jenis hasil laut, sayur-sayuran, ulam-ulaman, beraneka jenis makanan tradisional, daging ayam dan lembu, buah-buahan, rempah ratus dan bermacam lagi.  Suasana meriah di Pekan Sehari bukan sahaja menggamit penduduk tempatan, malahan juga warga luar yang berkunjung ke Temerloh khusus untuk mengalami kemeriahan Pekan Sehari.

Menurut sejarahnya nama Temerloh diambil daripada loghat Reagan iaitu ‘mereloh’ yang bermaksud Tidur. Pekan ini dahulunya ialah titik transit orang berdagang di tanah Pahang. Jika mereloh itu tidur, Temerloh bermakna ‘tertidur’ kerana mereka yang berhenti rehat di pekan ini akan tertidur atau berehat sebentar. Pada sekitar tahun 1800an, aktiviti perniagaan bermula dengan kehadiran dan ketibaan orang Kampar dan Pekan Sehari Temerloh dipercayai bermula selepas ketibaan orang Kampar kira-kira 250 tahun dahulu. Ianya merupakan sebuah pasar mingguan dengan menjual pelbagai barangan sekali gus menjadi pusat tumpuan bagi penduduk Temerloh dan sekitarnya. Sehingga kini Pekan Sehari berstatus pekan sehari tertua di Malaysia yang masih bertahan sehingga hari ini. [1]

Melangkah sahaja ke Pekan Sehari, pengunjung terus dapat merasakan kemeriahan pasar dengan kehadiran pemuzik dan busker jalanan, peniaga yang tidak henti-henti mempromosikan barangan mereka serta aroma makanan tradisional yang menusuk hidung dan membangkitkan selera.  Di sini pengunjung boleh mencuba Dodol Kukus dan Kuih Badak Kubang, makanan tradisi Pahang yang jarang boleh diperolehi di negeri lain.  Kuih Akok, Apam Balik, Keropok Lekor, Keropok Ikan, Mi Sup, Sate, Nasi Kerabu, Nasi Dagang dan sebagainya juga tersedia di sini.  Selain makanan siap, yang menariknya di Pekan Sehari ini ialah ikan-ikan yang ditawarkan. Ikan Patin tentu sekali mendahului, namun terdapat juga ikan lain seperti Belida yang dijual dengan harga yang tinggi, ikan mampan segar dan yang telah dikunyitkan, ikan salai pelbagai jenis, ikan kering,  ikan pekasam, ikan bilis dan banyak lagi.

Pekan Sehari juga kaya dengan ulam-ulaman, rempah ratus dan sayur-sayuran, umpama ‘syurga’ kepada kaum wanita dan mereka yang gemar memasak. Petai, jering, kerdas, pucuk betik, pucuk ubi, sebukit cili padi, asam gelugur, belimbing, ceremai, tenggek burung, tapai ubi, kundang, tempoyak, wa’ima apa sahaja mungkin ditemukan di sini. 

Walaupun agak sukar untuk mencari tempat letak kereta, namun persinggahan mymuslimin.com ke Pekan Sehari Temerloh Pahang amat berbaloi. InsyaAllah ada kesempatan, kami akan ke sana lagi hanya untuk mengalami kemeriahannya!

[1] https://negeripahang.com/sejarah-awal-pekan-sehari-temerloh

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑