Menjawab Beberapa Soalan Kanak-Kanak Tentang Islam

Semua kanak-kanak adalah istimewa. Mereka merupakan rahmat dari Allah SWT yang menuntut kita untuk bertanggungjawab ke atas pertumbuhan dan kesejahteraan mereka. Melalui penjagaan dan perhatian yang secukupnya, kanak-kanak dapat mempelajari dan mengembangkan sifat terpuji yang, dengan kehendak Allah SWT, boleh membimbing mereka menjadi orang dewasa yang berbudi dan menyumbang. 

Mereka adalah pemimpin generasi akan datang. Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW sering mempamerkan kasih sayang dan perhatian kepada kanak-kanak. Walaupun baginda mempunyai banyak tanggungjawab, Rasulullah memberikan perhatian yang sewajarnya, bermain dengan dan menunjukkan kasih sayang kepada kanak-kanak.

Selalunya kanak-kanak mempunyai fikiran ingin tahu, jadi adalah wajar untuk mereka sering bertanyakan soalan kepada orang dewasa. Tradisi Islam kita mengakui keperluan untuk bermain dan membina perbualan yang sihat dengan mereka. Prinsip ini boleh dilihat dalam banyak contoh dari ayat-ayat Al-Quran dan riwayat Nabi.

Walaupun kita mungkin mempunyai jawapan kepada kebanyakan soalan yang ditanya mereka, tidak mudah untuk kita menjawab dengan tepat kepada budak yang masih belum berupaya untuk berfikir sematang orang dewasa. Soalan-soalan mereka yang persis ‘falsafah’ juga kadang-kadang boleh membuatkan kita terkejut dan tidak bersedia. Walaupun agak sukar untuk kita menjelaskan secara mendalam, kita boleh menjawabnya secara ringkas atau melalui contoh dan cerita. Perbualan dengan kanak-kanak amat penting dan merupakan kemahiran yang boleh kita pelajari untuk kita praktikkan dari semasa ke semasa. 

Di bawah ini terdapat beberapa soalan yang ditanyakan kanak-kanak tentang Islam:

Kenapa Allah Tidak Bercakap Dengan Saya? Saya Tak Pernah Dengar Suara Dia. 

Memandangkan bercakap adalah salah satu bentuk komunikasi langsung yang diketahui oleh kanak-kanak, kita boleh berkongsi dengan mereka cara komunikasi yang berbeza. Dan salah satu cara bagaimana Allah berkomunikasi dengan kita adalah melalui Al-Quran. Allah SWT membimbing kita dan memberitahu kita apa yang baik dan buruk untuk kita dalam Al-Quran. Terdapat banyak ayat al-Quran yang berbentuk percakapan. Seperti ayat:

 ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),”

(Al-’Alaq, 96:1)

Dengan membaca Al-Quran, bertemu dengan kisah-kisah yang indah dan relevan, kita dapat memahami bahawa Allah Maha Pengasih dan Maha Adil dan hanya menghendaki yang terbaik untuk kita. Al-Quran itu ‘bercakap’ kepada kita seolah-olah ayat-ayat itu secara langsung bercakap dengan kita. Sebagai umat Islam, kita percaya bahawa Al-Quran adalah kitab petunjuk dan Mu’jizah (mukjizat). Semakin kita membaca dan menggandingkannya dengan pemahaman yang betul, semakin kita dapat mengeratkan hubungan kita dengan Allah SWT.

Malah, kita juga boleh berkongsi kisah-kisah al-Quran dan kisah orang-orang soleh terdahulu dan bagaimana mereka menyeru serta berhubung dengan Allah SWT ketika mereka melalui fasa yang mengagumkan dan mencabar dalam kehidupan.

Satu lagi ayat Al-Quran yang berbicara kepada kita ialah ayat:

ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Ghafir, 40:60)

Kita boleh berkongsi dengan anak-anak bahawa mereka boleh memberitahu segala-galanya kepada Allah. Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Allah juga Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Dia mendengar bisikan hati kita yang paling dalam dan mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Kenapa Kita Mesti Solat? Mengapa Saya Tidak Boleh Bercakap Dengan Allah Untuk Mengucapkan Terima Kasih?

Solat sebenarnya adalah cara terbaik untuk bersyukur kepada Allah SWT. Kita perlu memberitahu anak-anak bahawa solat merupakan anugerah Allah SWT. Ini tercermin dalam kisah epik Isra’ Mi’raj seperti yang tercatat di dalam Al-Quran dan dengan lebih terperinci dalam Hadith (riwayat Nabi), di mana Nabi SAW naik ke langit ke tujuh dan sampai ke Sidratul Muntaha (sempadan yang tidak boleh dilalui oleh sesiapa pun). Di sini, Nabi SAW telah diberikan ketetapan Ilahi untuk mendirikan solat fardhu lima waktu sehari.

Solat adalah satu-satunya ketetapan yang diberikan kepada Nabi SAW di Syurga, tanpa sebarang perantara. Apabila kita berdoa, kita berhubung secara rohani kepada Allah SWT. Fikirkannya begini, apabila kita menyayangi seseorang, kita pasti akan rindu untuk meluangkan masa dan menunjukkan komitmen kita kepada orang tersebut. Ini adalah sama tentang solat. Melaluinya, kita dapat mempunyai masa yang berkualiti untuk menyatakan rasa cinta, kehambaan dan kesyukuran kepada Allah SWT, sekurang-kurangnya 5 kali sehari.

Berbeza Bangsa Juga Boleh Jadi Islam?

Ini adalah pemerhatian yang menarik oleh kanak-kanak. Mereka mungkin telah memerhatikan orang di sekeliling mereka dan tidak melihat banyak perwakilan daripada komuniti etnik lain dalam kepercayaan yang sama. Islam bukanlah agama yang boleh dituntut oleh mana-mana bangsa. Islam adalah untuk semua manusia. Ini kerana Nabi SAW diutus untuk seluruh umat manusia. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا كَآفَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا

Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya,”

( Saba’, 34:28)

Kita juga boleh berkongsi cerita tentang para sahabat Nabi, sebahagian daripada mereka bukan sahaja orang Arab tetapi juga dari etnik lain, seperti Yahudi, Afrika dan Parsi. Nabi SAW juga pernah menjemput raja-raja dari negara-negara lain kepada Islam, dan sebahagiannya daripada empayar Rom timur juga. Di seluruh dunia hari ini, kita boleh berkongsi dengan kanak-kanak bagaimana umat Islam dari komuniti etnik yang berbeza di seluruh dunia adalah unik tetapi tetap berkongsi kepercayaan yang serupa.

Mengapa Tuhan Mencipta Kegagalan?

Adalah penting untuk kita memberitahu kanak-kanak bahawa tidak ada kegagalan dalam tindakan penciptaan Tuhan. Allah SWT menciptakan alam semesta dengan hikmah dan tujuan. Allah SWT tidak melakukan sebarang kesilapan. Walau bagaimanapun, Dia membenarkan kita, ciptaan-Nya, untuk melakukan kesilapan dan mengalami kegagalan, sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Melalui kegagalan, kita boleh belajar bagaimana untuk bangkit semula dan berdiri di atas kaki sendiri. Tanpa melakukan kesilapan, kita mungkin tidak tahu bagaimana cara untuk meminta maaf. Melalui kelemahan, barulah kita sedar akan kepincangan dalam cara kita.

Walaupun melakukan kesilapan bukanlah perkara yang mudah untuk ditelan, apa yang penting ialah apa yang harus kita lakukan dari saat itu dan seterusnya. Kegagalan ini tidak semestinya pengakhiran segala-galanya. Nabi SAW juga mengalami begitu banyak kehilangan dalam hidupnya. Namun, dia tetap teguh di jalan Allah dan memenuhi tujuan kewujudannya. Kehidupannya terpahat di dalam Al-Quran untuk menjadi contoh terbaik bagi seluruh umat manusia.

Siapa Yang Mencipta Tuhan?

Adalah menjadi kecenderungan kanak-kanak untuk bertanya mengapa dan mencari punca hampir segala-galanya. Soalan seperti ini tidak seharusnya dilihat sebagai terlarang, tetapi peluang untuk membincangkan dan memperkenalkan keajaiban Islam dan Pencipta kita. Kita boleh berkongsi dengan anak-anak bahawa Allah adalah istimewa dan tidak seperti kita. Dia tidak diciptakan, tetapi Dia menciptakan segala sesuatu. Allah Maha Besar. Kita juga boleh membacakan kepada anak-anak salah satu Surah yang paling mudah dibaca, Surah Al-Ikhlas:

 قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ. ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ. لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ. وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

(Al-Ikhlas, 112:1-4)

Mengapa Allah Menjadikan Ribuan Manusia?

Bukan setakat beribu, malah berbilion atau lebih. Allah Maha Kuasa dan Dia Menciptakan segala-galanya. Untuk menjawab soalan ini, kita boleh membiarkan kanak-kanak meneroka imaginasi mereka. Minta mereka bayangkan bermain bersendirian tanpa kawan-kawan. Adakah ia menyeronokkan untuk bermain sendirian? Bayangkan hidup di dunia sendirian, bukankah bosan hidup tanpa orang lain selain kita dan semua sendiri? Keluarga dan sahabat kita adalah berkat Allah SWT dalam hidup kita. Tanpa mereka, hidup akan kehilangan banyak makna.

Hidup bersama orang lain adalah sebahagian daripada kebijaksanaan Allah SWT dalam penciptaan-Nya. Dengan kata lain, Allah meletakkan kita di tempat kita bersama orang lain dengan tujuan. Ada sebabnya kita dicipta untuk berhubung antara satu sama lain. Manusia pula lebih cenderung untuk bersosial. Manusia itu tidak boleh hidup bersendiriaan. Apa yang penting kita bekerjasama dan bersatu dalam kebaikan dan ketakwaan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah Al-Ma’idah, 5:2)

Apabila Rasulullah SAW pertama kali tiba di Madinah dari Makkah, pesanan pertamanya adalah tentang mewujudkan dan mengekalkan keamanan dengan orang lain. Ini termasuk interaksi kita dengan penganut agama lain juga. Ia adalah salah satu mesej terpenting dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصِلُوا الأَرْحَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

“Wahai manusia! Sebarkanlah salam, sambunglah silaturrahim, berilah makan, dan solatlah ketika orang lain tidur, kalian pasti masuk Syurga dengan selamat.”

(Sunan Ibn Majah)

Kesimpulan

Terdapat lebih daripada satu cara untuk berhubung dengan kanak-kanak. Tentu sekali ianya memerlukan usaha dan kreativiti untuk berkomunikasi dengan mereka. Di atas ialah beberapa cadangan untuk kita memulakan perbualan yang bermakna dengan kanak-kanak. Apa yang penting adalah untuk orang dewasa terus belajar dan memperoleh lebih banyak pengetahuan.

Wallahu a’lam

Sumber: Muslim.SG

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑