Nasi Ayam Halal Berstatus Michelin di Nasi Ayam Chee Meng, Jalan Klang Lama

Oleh Mymuslimin.com

Bukankah restoran berstatus Michelin Star mahal harganya? Ye, betul. Tetapi, bermula tahun 1997, Michelin mewujudkan anugerah khas yang diberi nama: The Bib Gourmand*. Anugerah ini merujuk kepada restoran yang menghidangkan sajian yang enak serta memberi lebih nilai kepada wang pelanggan. Restoran berstatus Bib Gourmand ini dijanji memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan. 

Nasi Ayam Hainan Chee Meng yang terletak di Jalan Klang Lama ini adalah di antara 32 restoran di Malaysia yang berstatus Bib Gourmand * oleh Michelin. Ianya setaraf dengan restoran De Wan 1958 dan Dancing Fish di Bangsar. 

Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng pertama kalinya dibuka pada tahun 1965. Mulanya warung ini dikenali sebagai Chee Meng Kai Fun yang bermaksud nasi ayam yang popular. Kemudian pada tahun 1988, Chee Meng Kai Fun ditukar nama dan ditubuhkan sebagai perniagaan Nasi Ayam Chee Meng yang berlokasi di Jalan Klang Lama. Kedai yang telah beroperasi hampir 60 tahun ini mengekalkan keaslian masakan hainan resepi turun-temurun keluarga Encik Yeok Kai Seng. 

Nasi Ayam Chee Meng telah mendapat pengiktirafan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membekalkan makanan yang menepati Hukum Syarak atau Syariah. 

Nasi ayam di sini beraroma dan ayamnya cukup lazat! Dari segi portion, kuantiti nasinya kecil sedikit berbanding nasi ayam yang biasa, tetapi rasanya tip top. Kami mencuba ayam rebus dan ayam goreng, keduanya memuaskan. Tetapi, ketika kunjungan kami, bahagian ayam terhad kerana sudah menjelang petang.

Pelanggan boleh memilih bahagian kepak (RM12), peha (RM13), dada (RM12), belakang (RM13) serta ayam tanpa tulang (RM13). Tambahan nasi ayam pula berharga RM3.80.  Selain nasi ayam, Chee Meng juga menyediakan pembuka selera seperti kerabu mangga, kerabu kaki ayam, wantan goreng, hidangan sup, ayam, telur dan tauhu, serta sajian makanan laut, sayuran serta pelbagai hidangan mi. 

Kedai di Jalan Klang Lama ini mempunyai tempat duduk terhad dan sememangnya vintaj! Di sinilah perniagaan Nasi Ayam Hainan Chee Meng bermula 58 tahun dahulu. Untuk yang ingin ke sini, parking di Jalan Klang Lama ini mencabar, jadi, pandai-pandailah meletak kereta di bahu jalan dan pastikan kereta anda tidak mengganggu trafik. 

Selain di Jalan Klang Lama, terdapat dua lagi cawangan Nasi Ayam Hainan Chee Meng iaitu di Jalan Bukit Bintang KL dan di Glenmarie, Shah Alam. 

Nasi Ayam Hainan Chee Meng
Sub Lot A-1, Batu 4 1, 4, Jln Klang Lama, 58000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Buka: 11pagi – 7 petang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑