Pernahkah anda melihat sungai yang airnya mengalir terus menerus mengairi dataran dan lembah? Begitulah Thalhah bin Ubaidillah. Dia adalah seorang dari kaum muslimin yang kaya raya, tapi pemurah dan dermawan. Isterinya bernama Su’da binti Auf.
Pada suatu hari isterinya melihat Thalhah sedang murung dan duduk termenung sedih. Melihat keadaan suaminya, si isteri bertanyakan penyebab kesedihannya dan Thalhah menjawab, “Wang yang ada di tanganku sekarang ini begitu banyak sehingga memeningkanku. Apa yang harus kulakukan?” Maka isterinya berkata, “Wang yang ada ditanganmu itu bahagi-bahagikanlah kepada fakir miskin.” Maka dibahagi-bahagikanlah seluruh wang yang ada di tangan Thalhah tanpa meninggalkan sedikitpun.
Assaib bin Zaid berkata tentang Thalhah, katanya, “Aku berkawan dengan Thalhah baik dalam perjalanan mahupun sewaktu bermukim. Aku melihat tidak ada seorangpun yang lebih dermawan dari dia terhadap kaum muslimin. Ia mendermakan wang, pakaian makanannya.” Jaabir bin Abdullah berkata, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih dermawan dari Thalhah walaupun tanpa diminta.” Oleh kerana itu patutlah jika dia digelar “Thalhah Si Dermawan”, “Thalhah Si Pengalir Harta”, “Thalhah Kebaikan dan Kebajikan”.
Pengorbanan Thalhah Kepada Rasulullah
Bila diingatkan tentang perang Uhud, Abu Bakar RA selalu teringat pada Thalhah. Dia berkata, “Perang Uhud adalah harinya Thalhah. Pada waktu itu akulah orang pertama yang menjumpai Rasulullah SAW. Ketika melihat aku dan Abu Ubaidah, baginda berkata kepada kami: “Lihatlah saudaramu ini.”
Pada waktu itu aku melihat tubuh Thalhah terkena lebih dari tujuh puluh tikaman atau panah dan jari tangannya putus.” Diceritakan ketika tentera Muslim terdesak mundur dan Rasulullah SAW dalam bahaya akibat kurangnya disiplin pemanah-pemanah dalam menjaga pos-pos di bukit, di ketika itu pasukan musyrikin bagai maju untuk menyerang tentera muslim dan Rasulullah SAW, terbayang di pikiran mereka kekalahan yang amat memalukan di perang Badar.
Mereka masing-masing mencari orang yang pernah membunuh keluarga mereka sewaktu perang Badar dan berniat untuk membunuh dan memotong-motong mereka dengan ganas. Semua musyrikin berusaha mencari Rasulullah SAW. Dengan pedang-pedang mereka yang tajam dan berkilat, mereka terus mencari Rasulullah.
Tetapi kaum muslimin dengan sekuat tenaga melindungi Rasulullah SAW dengan tubuh mereka dengan daya upaya, mereka rela terkena sabitan, tikaman pedang dan anak panah. Tombak dan panah menghujani mereka, tetapi mereka tetap bertahan melawan kaum musyrikin Quraisy.
Hati mereka berucap dengan teguh, “Aku korbankan ayah ibuku untuk engkau, ya Rasulullah”. Salah satu diantara mujahid yang melindungi Nabi adalah Thalhah Ubaidillah. Beliau berperawakan tinggi kekar. Dia menghayunkan pedangnya ke kanan dan ke kiri. Dia melompat ke arah Rasulullah yang tubuhnya berdarah. Dipeluknya Baginda SAW dengan tangan kiri dan dadanya. Sementara pedang yang ada di tangan kanannya dihayunkan ke arah lawan yang mengelilinginya bagai kelkatu yang tidak mempedulikan maut.
Alhamdulillah, Rasulullah terselamat. Thalhah merupakan salah satu pahlawan dalam barisan tentara perang Uhud, berkorban jiwa dan raga demi membela Nabi SAW.
Dia ditempatkan di barisan depan kerana Allah SWT menganugerahkan kepadanya tubuh yang kuat dan kekar, keimanan yang teguh dan keikhlasan pada agama Allah. Akhirnya kaum musyrikin beredar meninggalkan medan perang. Mereka menganggap Rasulullah SAW telah tewas. Pada hakikatnya Rasulullah selamat walaupun dalam keadaan penuh luka.
Baginda SAW dipapah oleh Thalhah menaiki sebuah bukit di hujung medan pertempuran. Tangan, tubuh dan kakinya dicium oleh Thalhah, seraya berkata, “Aku tebus engkau Ya Rasulullah dengan ayah ibuku.” Nabi SAW tersenyum dan berkata, “Engkau adalah Thalhah kebajikan.” Di hadapan para sahabat Nabi bersabda, “Keharusan bagi Thalhah adalah adalah memperoleh ….” Yang dimaksud Nabi SAW ialah memperoleh syurga. Sejak peristiwa Uhud itulah Thalhah mendapat julukan “Burung Helang Hari Uhud.”
Sumber: 10 Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga oleh Asratul Kiraam
Leave a comment