Teks Khutbah Jumaat: Santuni Saudara Baharu 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan menjunjung segala titah perintah-Nya. Laksanakanlah setiap kewajipan dan tingkalkanlah segala perkara yang boleh mengundang kemurkaan-Nya. Mudah-mudahan segala amal ibadah dan ketaatan akan menatijahkan kejayaan dalam kehidupan kita di dunia mahupun akhirat.

Marilah kita bersama-sama menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk: “Santuni Saudara Baharu”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Penyebaran dakwah Islam di negara kita telah berkembang sejak mula-mula warisan Islam telah bertapak lama di negara ini. Perkembangan dakwah Islam pada zaman ini juga telah menarik ramai orang untuk menerima Islam sebagai agama dan cara hidup mereka. 

Perkembangan positif ini menjadikan kita dan syiar Islam semakin menyubur di bumi bertuah ini. Sememangnya Islam adalah agama yang satu-satunya membawa ketenangan hakiki kepada manusia. Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada mereka yang baru memeluk Islam. Diampunkan segala dosa tidak ubah seperti seorang bayi yang baru dilahirkan tanpa ada dosa dan dirinya umpama kain putih yang suci dan bersih. Ini berdasarkan Firman Allah SWT menerusi Surah Al-Anfal, ayat 38 yang telah diperdengarkan pada mukadimah khutbah sebentar tadi, yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.”

(Al-Anfal 8:38)

Kalimah mualaf atau disebut juga sebagai saudara baharu bermaksud seseorang yang telah menerima Islam sebagai agamanya dan beriman kepada Allah SWT, dan meninggalkan kepercayaan sebelum itu. Namun status mualaf bukanlah suatu gelaran yang digunakan selama-lamanya. 

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menetapkan tempoh seorang saudara baharu digelar sebagai mualaf di Wilayah Persekutuan ialah selama lima tahun. Ia merupakan tempoh yang munasabah untuk mendidik mereka dengan agama Islam.

Ia juga merupakan jangka masa yang munasabah bagi membela nasib mereka sehingga mampu berdikari dan teguh hati terhadap ajaran Islam. Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Cawangan Kebajikan Saudara Baru, Bahagian Pengurusan Dakwah bertanggungjawab menguruskan sebarang urusan mengenai pendaftaran, pendidikan agama Islam dan kebajikan saudara baru.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Baitulmal telah meluluskan bantuan permulaan bagi mualaf yang baharu memeluk Islam sebanyak RM3,000.00 yang disalurkan dalam dua fasa.

Fasa pertama ialah sebanyak RM1,500.00 setelah mualaf tersebut mendaftarkan pengislamannya manakala bakinya akan diberikan setelah dia menghadiri Kelas Intensif Fardu Ain (KIFA). Dia juga mendapat bayaran sebanyak RM50.00 bagi setiap sesi kelas pengajian yang dihadiri di beberapa buah masjid yang telah ditetapkan atau kelas pengajian yang dijalankan di Kompleks Darul Hidayah (KDH).

Selain daripada itu, pihak JAWI bersedia menyantuni asnaf mualaf yang baharu seandainya mereka tiada tempat penginapan, hilang sumber mata pencarian atau menerima tentangan dari pihak keluarga atas pengIslaman mereka sehinggakan terpaksa keluar dari rumah keluarga.

Antara santunan yang wajar para mualaf perolehi daripada isu-isu tersebut ialah bantuan kecemasan maksimum sebanyak RM250.00 dengan tujuan memberi sokongan kewangan segera dan penginapan serta pembelajaran di Kompleks Darul Hidayah yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak JAWI dan MAIWP. Setiap santunan dan bantuan diberikan berdasarkan kes dan kesahihan aduan yang diterima yang diuruskan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Menelusuri perjalanan sirah dakwah Rasulullah SAW, golongan saudara baharu yang memeluk Islam telah mendapat sokongan dan jaminan daripada pemerintah dan masyarakat. Ia bagi memelihara dan mengukuhkan akidah Islam dalam jiwa mereka yang sangat memerlukan bimbingan dan sokongan kerana ia melibatkan pelbagai aspek terutama pemikiran, emosi, budaya dan kepercayaan.

Perkara utama yang mesti ditekankan ialah aspek pendidikan. Justeru, JAWI sentiasa menumpukan berkaitan penerapan asas-asas agama seperti asas-asas fardu ain yang merangkumi perkara ibadah, bacaan al-Quran, asas pengajian tauhid dan akhlak Islam.

Penurunan al-Quran kepada Nabi SAW secara beransur-ansur menunjukkan bahawa membimbing saudara baru juga harus berperingkat-peringkat. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu yang bermaksud:

“Hendaklah kamu permudahkan dan janganlah kamu sukarkan. Hendaklah kamu menyampaikan khabar gembira dan janganlah kamu menjauhkan mereka (dari agama).”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sebagai umat Islam, kita juga bertanggunggjawab memainkan peranan dalam menyantuni saudara baharu. Tidak semua mereka yang baru memeluk Islam datang daripada golongan gelandangan, orang fakir dan miskin serta rendah taraf pendidikan. Bahkan terdapat ramai mualaf terdiri daripada kalangan profesional seperti doktor, tentera, polis, pegawai kerajaan, usahawan dan sebagainya. Jangan prejudis dan bersangka buruk terhadap mereka sekiranya mereka datang menyatakan hasrat untuk mempelajari Islam. 

Bantulah mereka mendalami Islam sebaik-baiknya. Pempengaruh media sosial juga hendaklah berusaha menghasilkan kandungan atau karya kreatif yang boleh memberikan panduan mudah dan jelas tentang Islam kepada mualaf selain pembelajaran daripada para ilmuan Islam.

Kita tidak seharusnya meminggirkan mereka dalam kehidupan bermasyarakat biarpun berbeza bangsa dan kaum. Libatkanlah mereka dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pengimarahan masjid, program gotong-royong dan sebagainya.

Usaha-usaha ini secara tidak langsung akan meningkatkan keharmonian dalam masyarakat. Masyarakat juga perlu memberi layanan yang berhikmah di samping mengamalkan sikap toleransi, berlapang dada, berfikiran matang dan terbuka yang dapat menjamin keharmonian di dalam masyarakat. Aspek kebajikan saudara baharu juga menjadi perkara penting yang mesti kita ambil peduli.

Alhamdulillah, realiti hari ini menyaksikan banyak pihak yang tampil atas kesedaran untuk membantu dan menguruskan hal ehwal kebajikan saudara baru sebagai golongan yang perlu diberikan pembelaaan. Namun, tugas-tugas ini mesti kita pikul bersama. Jika terdapat dalam komuniti kita golongan saudara baharu yang memerlukan perhatian dan bantuan, segeralah menghulurkan bantuan dan salurkan maklumat tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab.

Mimbar menasihatkan kepada setiap saudara baharu, berusahalah dengan sedaya upaya memperkasakan diri untuk menjadi muslim yang sebenar. Jadikanlah tokoh-tokoh saudara baharu yang telah berjaya menjadi seorang murabbi ummah dan berjaya dalam pelbagai bidang sebagai idola. Teruskan belajar menguasai ilmu-ilmu Islam dan pelbagai lapangan ilmu yang lain biarpun kita telah mencapai kecemerlangan dalam hidup.

Seluruh masyarakat Islam akan memberikan sokongan dan menunjukkan kebersamaan walaupun kita hidup dalam kepelbagaian tetapi dapat mengekalkan keharmonian kerana Islam menyatukan kita semua. 

JAWI melalui Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Sentul Kuala Lumpur menyediakan pelbagai program bermula dengan pengajian Islam yang bermodul dengan pelbagai bahasa, program hari-hari kebesaran Islam seperti sambutan Aidilfitri dan Aidiladha serta program-program motivasi yang sesuai dengan keperluan golongan yang baru memeluk Islam ini.

Tidak terhenti di situ, menyedari keperluan semasa golongan saudara baharu ini JAWI sentiasa berkerjasama dengan banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam bagi membantu melestarikan pendidikan dan kebajikan mualaf di Wilayah Persekutuan. Mualaf adalah amanah Allah SWT kepada kita, jangan berhenti menyantuni dan membantu mereka.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Tingkatkan usaha menyebarkan dakwah Islam dengan bijaksana dan penuh hikmah agar dapat menarik mereka yang belum Islam untuk memeluk agama tauhid ini.

Kedua: Jadilah muslim yang baik dan dapat menjadi contoh tauladan kepada saudara-saudara baharu terutama dalam mengamalkan ajaran Islam dan menjalani kehidupan yang penuh dengan akhlak terpuji.

Ketiga: Santunilah saudara-saudara baharu dengan memberikan pendidikan asas Islam kepada mereka dan sempurnakan hak-hak dan kebajikan mereka sehingga mereka mencapai keteguhan akidah kepada Allah SWT.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah Luqman, ayat 22 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.”

(Luqman 31:22)

Tarikh Dibaca: 25 Zulhijjah 1444H/14 Julai 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑