ASMAUL HUSNA (AS-SOMADU) – Yang Diharapkan

Asmaul Husna yang ke-68 ialah As-Somadu bererti Tuhan tempat bergantung sekalian makhluk. Dia tidak berhajat kepada yang lain kerana Allah SWT yang menjadikan segala-galanya. Maka itulah sebabnya Dia tidak memerlukan makhluk. Sebaliknya makhluk yang mesti bergantung kepada Allah SWT kerana makhluk itu lemah dan serba kekurangan.

Justeru itu manusia sebagai makhluk dalam kehidupan hariannya tidak boleh bersendiri, kerana sebahagian besar daripada keperluannya ada pada orang lain. Walaupun keperluan itu pada zahirnya ada pada orang lain, namun pada hakikatnya ia tetap kepunyaan Allah SWT. Jika sakit berjumpa doktor minta rawatan, namun hakikatnya Allah SWT yang menyembuhkannya. Apabila dahaga atau lapar lalu isteri menyajikan makanan dan minuman, tetapi Allahlah yang menghilangkan dahaga dan mengenyangkannya.

Jika manusia beriman dengan Tuhan yang bersifat As-Somadu maka dia mesti bergantung hidup kepada-Nya. Roh yang ada dalam dirinya hanyalah pinjaman daripada Allah SWT yang As-Somadu. Roh tersebut akan ditarik oleh Allah SWT pada bila-bila masa. Begitu juga benda-benda yang menjadi keperluan hidup lainnya, hanya Allah As-Somadu yang menyediakannya. Tiada alasan untuk manusia menyombong diri sama ada sombong sesama manusia, lebih-lebih lagi terhadap Allah SWT.

Orang mukmin sewajarnya sentiasa berdoa sejak awal pagi lagi kepada Allah SWT; “Ya Allah ya Tuhanku, aku berpagi-pagi berada dalam nikmat-Mu. Oleh itu sempurnakanlah nikmat seterusnya, kesihatan yang sedang kunikmati sekarang ini lanjutkanlah dan perlindungan-Mu itu teruskanlah hingga akhir hidupku.”

Oleh kerana Allah SWT bersifat As-Somadu iaitu tidak bergantung kepada yang lain, maka manusia sepatutnya mengambil pengajaran daripada sifat Tuhan itu. Mereka hendaklah tidak bergantung atau meminta tolong daripada orang lain, tetapi berusaha membantu dan menolong orang lain.

Meskipun secara realitinya manusia tidak mungkin meminta pertolongan daripada orang lain, namun janganlah dijadikan suatu kebiasaan; apabila ada masalah mesti berjumpa orang untuk meminta tolong. Atasi dahulu segala masalah dengan usaha dan daya. Jika semua ikhtiar tidak berhasil, maka ketika itu munasabahlah meminta pertolongan daripada orang lain.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑