Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga dengan kedatangan tahun baru Hijrah kali ini, kita dapat mempertingkatkan amalan ketaatan demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Marilah kita bersama-sama menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk: “Perpaduan Teras Malaysia Madani” yang menjadi tema sambutan Maal Hijrah 1445H dan sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan pda 26 Julai 2023.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Tahun 1444H telah melabuhkan tirainya. Pelbagai cabaran dan ujian kehidupan telah kita tempuhi, sama ada suka atau pun duka. Jadikanlah pengajaran dan pengalaman lalu sebagai pembakar semangat untuk terus bergerak maju ke hadapan.
Kedatangan Maal Hijrah merupakan suatu yang penting bagi umat Islam sempena memperingati peristiwa yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah.
Golongan yang berhijrah mendapat tempat yang istimewa disisi Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah at-Taubah, ayat 20 yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi yang bermaksud:
“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang yang memakmurkan masjid sahaja), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
Peristiwa hijrah telah merakamkan pengobanan besar golongan Muhajirin yang sanggup meninggalkan tanah tumpah darah tercinta, harta benda, keluarga dan segala-galanya demi mempertahankan akidah dan mentaati perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sejarah telah merakamkan hikmah yang besar daripada peristiwa hijrah itu apabila golongan Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan sehingga mereka menjadi umat yang terhebat dan menjadi suri tauladan kepada seluruh umat manusia sehingga ke hari ini.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Negara Madinah merupakan manifestasi sebuah negara yang maju dari aspek fizikal dan kerohanian yang didirikan atas petunjuk wahyu. Ia bukan negara yang berasaskan bangsa, kaum dan budaya, sebaliknya ia mengatasi sempadan yang merentasi bangsa, bahasa dan budaya yang disatukan di bawah lembayung tauhid kepada Allah SWT.
Allah SWT mencipta manusia dengan kepelbagaian bangsa, warna kulit dan keturunan. Sekiranya Allah SWT berkehendak, nescaya semua manusia dijadikan satu umat sahaja, bertutur menggunakan satu bahasa, memiliki perangai yang sama dan serupa pada fizikal.
Namun, diwujudkan keadaan kita dengan kepelbagaian supaya manusia dapat bersatu dan berkasih-sayang, berlumba-lumba berbuat kebajikan dan menjadikan kepelbagaian sebagai satu hikmah untuk keharmonian dan kesejahteraan.
Sesungguhnya takwa kepada Allah SWT ialah ukuran kemuliaan manusia. Kuasa, pangkat, harta, bangsa dan warna kulit bukanlah ukuran kemuliaan seseorang insan. Lihatlah dalam kehidupan bernegara di Madinah, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah melakukan penganiayaan dan penindasan terhadap mana-mana kaum dan taraf kehidupan.
Bahkan sejarah Islam telah membuktikan, bagaimana seorang muslim yang berkulit gelap dan berambut kerinting mampu meraih takwa, kemuliaan dan kepimpinan masyarakat Madinah seperti Bilal bin Rabah Radiallahu’anhu.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam usaha memperkukuh masyarakat Madani yang membangun dari segala aspek pembangunan, kita mesti saling kenal-mengenal antara satu sama lain, mengukuhkan persaudaraan dan persahabatan di antara kaum dan mewujudkan hubungan kekeluargaan yang penuh dengan kasih-sayang. Natijahnya, pasti kita akan saling menghormati dan saling melindungi di antara satu sama lain. Perpaduan di antara kita lebih utama daripada perbezaan yang hanya secebis.
Nilai-nilai keamanan, kedamaian dan ketenteraman ialah anugerah yang besar daripada Allah SWT. Islam mewajibkan hubungan sesama manusia berdasarkan rasa belas ihsan, kemesraan dan setia kawan. Ia menggalakkan sifat berlapang dada, saling memaafkan kelemahan, bermurah hati, ramah-tamah dan suka melihat orang lain meraih kejayaan dan kemakmuran. Rasulullah SAW sangat menganjurkan berbelas kasihan dan sopan santun dalam perhubungan.
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah Radiallahu’anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak akan mengasihani orang yang tidak mengasihani manusia (yang lain).”
Negara kita mempunyai komposisi kaum yang unik lagi istimewa, yang mencerminkan bangsa besar dunia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Siam, peribumi Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun, Bajau dan lain-lain kaum. Kita juga mempunyai pelbagai bahasa yang dituturkan namun kita disatukan di bawah bahasa Melayu yang berperanan penting untuk menjadi jalinan perhubungan yang sejahtera di peringkat nasional.
Dalam aspek beragama, Allah SWT melarang kita daripada menghina sembahan-sembahan penganut agama lain, kerana ianya hanya menimbulkan kemarahan, dendam dan kedengkian, sehingga mereka pula membalas dengan menghina Islam secara melampaui batas. Akhirnya, terjadilah permusuhan yang tidak berkesudahan.
Kehidupan kita hari ini sering dipenuhi dengan persepsi-persepsi negatif dan sentimen-sentimen yang boleh memecah belahkan perpaduan masyarakat. Lihat sahaja di media-media sosial, perbezaan pemikiran dan ideologi politik telah sedikit sebanyak meruntuhkan nilai-nilai kebersamaan, kasih sayang dan toleransi sesama kita. Isu-isu utama masyarakat seperti kemiskinan, kenaikan kos sara hidup, kekurangan ilmu pengetahuan agama dan ilmu-ilmu teras negara maju serta pelbagai lagi isu tidak dapat kita selesaikan.
Justeru, mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, sebagai warganegara yang terdiri daripada pemimpin, ahli akademik, ahli politik, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, penggiat-penggiat seni, para pendakwah, para pempengaruh media sosial, para usahawan dan sebagainya yang menjadi entiti masyarakat, marilah kita memainkan peranan di bidang masing-masing untuk menyumbangkan tenaga dan idea ke arah kemajuan negara.
Bersatulah atas dasar akidah Islam demi mengukuhkan perpaduan, utamakanlah kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran bagi membina negara yang bertamadun, memiliki modal insan yang tinggi, harmoni dan maju di masa hadapan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Negara Madinah merupakan manifestasi sebuah negara yang maju dari aspek fizikal dan kerohanian yang didirikan atas petunjuk wahyu, rakyatnya bersatu di bawah lembayung tauhid kepada Allah SWT.
Kedua: Jadikan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai contoh membangunkan negara Madinah sehingga menjadi sebuah tamadun yang hebat, rakyatnya bersatu padu, harmoni, aman dan sejahtera.
Ketiga: Sebagai warganegara, mainkanlah peranan di bidang masing-masing untuk menyumbangkan tenaga dan idea ke arah kemajuan negara tercinta.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’, ayat 1 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”

Tarikh Dibaca: 3 Muharam 1445H/21 Julai 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment