Oleh Mymuslimin.com
Al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diturunkan Allah Azza Wajalla kepada Rasulullah SAW sebagai panduan kepada semua hamba-hamba-Nya di dunia ini. Al-Quran umpama lautan ilmu yang tiada berkesudahan. Walaupun Al-Quran telah ditelaah berkurun lamanya, Al-Quran masih lagi aktif ditafsir oleh para cendikiawan dan alim ulama di seluruh dunia untuk menambah pemahaman dan taqwa umat sejagat terhadap Allah SWT.
Dalam beberapa siri pendek, Mymuslimin.com ingin menampilkan benda-benda yang disebut secara spesifik di dalam Al-Quran sebagai peringatan dan renungan kita bersama.
Terdapat tujuh jenis buah-buahan yang dinyatakan di dalam Al-Quran secara spesifik walaupun di dunia ini kita diberkati dengan lebih 2000 jenis buah-buahan beraneka jenis, rupa dan rasa. Mengapa tujuh? Tentu sahaja buah-buahan ini istimewa dan mempunyai limpahan khasiat dan kebaikan untuk manusia dan haiwan di bumi Allah SWT ini.
Zaitun (زيتون)
Buah zaitun atau olive disebut 7 kali di dalam Al-Quran. Dua kali Zaitun disebut bersendirian dan 5 kali disebut bersama dengan buah-buahan lain seperti kurma, delima, anggur dan buah tin. Jelas sekali buah ini berkhasiat dan mendatangkan pelbagai kebaikan kepada kehidupan manusia di dunia ini. Diriwayatkan daripada ‘Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perisakan (makananmu) dengan minyak zaitun dan sapukanlah tubuh dengannya, kerana ia berasal dari pohon yang diberkati.” (Sunan Ibn Majah 3319)

Diriwayatkan dari Anas bin Malik: Nabi SAW datang menziarahi Sa’d ibn Ubaidah, dan dia menghidangkan roti dan minyak zaitun, lalu baginda menikmatinya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Semoga orang-orang yang sedang berpuasa berbuka bersama kamu, dan orang-orang yang bertakwa makan makanan kamu, dan para malaikat mendoakan keberkatan ke atas kamu. (Sunan Abi Dawud 3854).
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta).
Tin (تِيْن)
Allah SWT bersumpah dengan buah Tin, dalam surah At-Tin ayat pertama. Menurut tafsir, Allah SWT bersumpah dengan buah Tin dan buah Zaitun kerana keduanya memberi pelbagai manfaat dan berkat kepada manusia. Buah Tin tidak diragui khasiatnya dan Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata, ‘inilah buahnya (tin)’, sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya.” (HR Abu Darda; Suyuti).

Delima (رمان)
Buah Delima atau (Rumman) disebut di dalam Al-Quran sebanyak tiga kali dan ia juga disebut sebagai buahan daripada syurga. Lihat sahaja kecantikan buah ini, dengan bentuknya yang bulat berkilat, biji-bijinya tersusun rapi dengan warna yang merah membara, serta rasanya yang masam-masam manis, tidak hairanlah mengapa Imam Al Ghazali mengajak manusia agar merenung tentang penciptaan buah delima sebagai tanda kehebatan penciptaan Allah SWT.

Menurut Ibn Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas dan lembap, oleh sebab itu ia amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada dan paru paru kerana ia akan melegakan batuk. Dan daripada Ali dan Abu Nu’aim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Buah delima dan kulitnya dapat menguatkan perut untuk penghadaman”.
Pisang (طلح)
Allah berfirman dalam surah Al-Waqiah yang bermaksud: “Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,” (Al-Waqiah 56:27-29)

Dengan ayat ini, jelas bahawa pisang adalah salah satu buah-buahan syurga. Tidak terbayang betapa lazatnya rasa buah pisang di syurga kelak sedang pisang yang kita nikmati di dunia ini dicipta oleh Allah Yang Maha Pemurah dengan rasa yang sedap, boleh diguna secara versatil, serta kaya dengan nutrients dan kebaikan untuk manusia dan haiwan.
Kurma (تمر)
Terlalu banyak khasiat kurma yang diketahui umum. Kurma atau pokok kurma disebut dalam al-Quran sebanyak 22 kali, lebih banyak berbanding pokok buah-buahan lain. Kurma kini dikenali sebagai superfood kerana nilai nutriennya yang tinggi dan mempunyai pelbagai khasiat kesihatan. Cara terbaik untuk menikmati kurma ialah dimakan begitu sahaja. Hadis Saad r.a: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwa setiap paginya, maka pada hari itu ia tidak akan dibahayakan oleh racun mahupun sihir.”

Rasulullah bersabda: “Apabila seseorang berbuka puasa, maka berbukalah dengan buah kurma. Sekiranya tiada kurma, maka minumlah air kerana ia suci.” (Riwayat al-Tirmizi). Kurma menjadi kemestian kepada umat Islam terutama di bulan Ramadan untuk bersahur dan berbuka kerana sebutir kurma mengandungi kadar tenaga yang tinggi.
Anggur (العنب)
Anggur disebut banyak kali di dalam Al-Quran. Buah ini telah mahsyur semenjak beribu-ribu tahun dahulu, disebut di dalam kitab-kitab terdahulu seperti Taurat. Anggur mengandungi antioksidan lutein dan zeaxanthin, yang boleh membantu mengekalkan kesihatan mata, boleh mengurangkan tekanan oksidatif dan kerosakan pada retina, dan membantu mencegah katarak dan keadaan lain. Anggur juga mengandungi catechin, quercetin dan anthocyanin serta antioksidan lain, dan sangat berkhasiat untuk manusia. Namun, apabila diproses menjadi alkohol, ianya tidak lagi halal kepada umat Islam.

Rasulullah juga menghalang merendam kismis dengan kurma dalam satu masa yang sama kerana ianya akan menghasilkan alkohol. Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Jangan kalian membuat minuman dengan mencampurkan kurma yang hampir matang dengan kurma yang sudah matang. Jangan kalian buat minuman dengan mencampurkan kismis dan kurma. Tetapi pisahkanlah keduanya pada tempatnya masing-masing’,” (HR Bukhari 5602).
Bidara (سدر)
Bidara atau dikenali sebagai Sidr atau dalam bahasa Inggerisnya, Lote, dan beberapa nama lain, ialah buah yang kelihatan seperti buah apel comel. Buah dan pohon Bidara ini disebut di dalam Al-Quran dalam beberapa ayat. Sidratul Muntaha digambarkan sebagai Pohon Bidara yang sangat besar, tumbuh mulai langit keenam dan besarnya sehingga langit yang ketujuh. Daun pokok ini sebesar telinga gajah dan buah-buahannya seperti bejana batu. Menurut Kitab As-Suluk, Sidrat al-Muntahā adalah sebuah pohon yang terdapat di bawah ‘Arsy, pohon tersebut memiliki daun yang sama banyaknya dengan sejumlah makhluk ciptaan Allah.

Bidara juga antara pohon yang ada di syurga sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.” (Al-Waqiah 56:28) Pohon bidara di dunia mempunyai beberapa manfaat khusus kepada manusia seperti untuk merawat sihir dan sebagainya.