Larangan Terlibat Dalam Aktiviti Berfokus Politik Di Masjid dan Surau Seluruh Negeri Selangor 

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak membenarkan sama sekali Pentadbir Masjid dan Surau untuk membantu atau terlibat dalam apa jua aktiviti yang berfokus politik. Sebaliknya, pihak masjid dan surau hendaklah menghalangnya daripada berlaku jika jelas secara tampak aktiviti / program yang melibatkan calon parti bertanding, aktivis politik, gambar-gambar tokoh parti serta slogan dan lambang yang mewakili parti-parti tertentu. Selain itu, semua bentuk bahan kempen atau propaganda parti politik hendaklah dipastikan tidak berada di dalam premis bangunan atau di dalam kawasan pagar masjid dan surau.

Ini memandangkan, terdapat kemungkinan akan berlakunya usaha dan ikhtiar daripada parti-parti politik untuk mengadakan aktiviti propaganda politik mereka seperti di masjid dan surau di negeri Selangor. Aktiviti yang lazim sebelumnya adalah seperti program pengenalan calon yang bertanding dalam pilihan raya, Program Sumpah Mubahalah, program berkumpulan ahli / penyokong parti untuk tujuan atau keutamaan ahli dan parti serta lain-lain seumpamanya.

Perkara ini telah diingatkan kepada Pegawai dan Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Selangor di dalam surat jabatan ini Bil.26 dlm JAI.SEL.BPM/01/006/2 JLD.6 bertarikh 22 Ogos 2022M.

Ketetapan ini selaras dengan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengkehendaki masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas daripada propaganda politik dan politik kepartian. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017, Pentadbir Masjid dan Surau hendaklah membantu apa juga ketetapan yang dibuat oleh MAIS.

Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Pegawai masjid juga boleh, dalam masa yang sama dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7(f), Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

Sekian dimaklumkan.

Wassalam.

(𝗗𝗔𝗧𝗢’ 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗠𝗢𝗛𝗗 𝗦𝗛𝗔𝗛𝗭𝗜𝗛𝗔𝗡 𝗕𝗜𝗡 𝗔𝗛𝗠𝗔𝗗) 𝗗.𝗣.𝗠.𝗦., 𝗣.𝗣.𝗧

Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor

22 Julai 2023

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑