Imam Syafi’i memberi wasiat berkenaan lima perkara yang perlu diingati, iaitu:
- Perbanyakkan menyebut الله Allah daripada menyebut makhluk.
- Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
- Perbanyakkan menyebut dan mengingatkan hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
- Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
- Jangan menyebut-nyebut dan menampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Demikian wasiat Imam Syafi’i, iaitu lima perkara yang elok disebut-sebut selalu bagi memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup. Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan umatnya berkenaan menggunakan lima kesempatan sebelum tiba lima bencana, iaitu muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, dan hidup sebelum mati.
Perbanyakkan Menyebut Allah SWT
Kita biasa menyebut ataupun memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.
Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut Allah SWT. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habis-habisan. Tetapi, nikmat yang terlalu banyak Allah SWT berikan langsung kita tidak ingat.
Sebaik-baiknya, elok lidah kita dibasahi dengan memuji Allah SWT pada setiap masa. Bukan hanya mengucapkan Alhamdulillah ( ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ) apabila sudah kenyang sehingga sendawa. Pujian begini hanya dilidah, tidak meresap hingga ke hati.
Perbanyakkan Menyebut Akhirat
Manusia yang paling cerdik adalah mereka yang sibuk merancang akhiratnya. Saham-saham dunia tidak penting. Apa yang paling penting ialah saham akhirat yang tidak pernah rugi dan merudum, malah sentiasa naik berlipat kali ganda. Hanya orang yang berfikiran sempit yang sibuk memikirkan dunia sehingga terlupa akhirat.
Perbanyakkan Menyebut dan Mengingati Mati
Dunia ibarat kebun akhirat. Jikalau tidak diusahakan kebun dunia ini, masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini, elok sekiranya kita mencontohi sikap sahabat, Saidina Ali bin Abu Talib RA. Meskipun sudah terjamin syurga untuk dirinya, Saidina Ali RA, masih mengeluh dengan hebat tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Bagaimana pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
Jangan Membanggakan Diri
Syaitan memang sentiasa memerangkap diri kita dengan menyuruh ataupun membisikkan supaya kita sentiasa mengingat ataupun menyebut kebaikan yang kita lakukan. Allah SWT memberi amaran kepada sesiapa yang bersifat riya’, dia tidak mencium bau syurga. Riya’ adalah satu daripada unsur syirik yang tersembunyi. Kita perlu sedar, perbuatan baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang daripada Allah SWT. Allah SWT sebenarnya yang menyuruh kita berbuat baik. Justeru, kita patut bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadikan kita orang yang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik.
Jangan Dedah Buruk, Aib Orang
Kegelapan hati ditokok dengan ransangan syaitan selalu menyebabkan kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Menuding jari mengatakan orang tidak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri yang tidak betul. Ibarat menunjukkan jari telunjuk kepada orang. Satu jari mengarah kepada orang itu, empat hari menuding ke arah diri sendiri.
Sumber: 30 Wasiat Imam Syafi’i oleh Khairul Ghazali
Leave a comment